Cari @ Amanz

OnePlus Buds Pro dilancarkan pada Julai tahun 2021. Ia adalah TWS versi “pro” pertama OnePlus dengan ciri pembatalan aktif pintar. Kemudian OnePlus mengembangkan lagi jenama Nord dengan memperkenalkan TWS pertama di bawah jenama ini iaitu Nord Buds yang dilancarkan pada bulan April lalu.

Terkini, OnePlus dilihat sudah bersedia melancarkan TWS ini untuk pasaran tempatan. Walaupun untuk OnePlus Buds Pro agak lama menunggu iaitu hampir setahun. Cukup menarik untuk melihat penawaran jenama Nord yang laju dipasarkan di Malaysia.

OnePlus Buds Pro

OnePlus Buds Pro adalah TWS premium dengan berat fon telinga hanya 4.35g, sementara berat pada pod pengecas adalah 52g. Setiap fon telinga mempunyai bateri 40mAh dengan perlindungan IP55 dan pada pod pengecas mempunyai bateri 520mAh dengan perlindungan IPX4.

OnePlus Buds Pro menggunakan pemacu audio dinamik 11mm dengan fokus kepada bass yang dalam, penstriman sela masa rendah, ditala oleh Dolby Atmos dan mempunyai enam mikrofon ENC. Mikrofon ini turut digunakan untuk sistem ANC pintar tersendiri mereka, Smart Adaptive Noise Cancellation dan turut menyokong mod tembus bunyi Transparency.

Cip Bluetooth adalah jenis 5.2, menyokong codec SBC, AAC, LHDC, jarak nirwayar boleh mencapai sehingga 10m, menggunakan pengecasan USB-C dan menyokong pengecasan nirwayar. OnePlus Buds Pro dikatakan mempunyai ketahanan bateri sehingga 7 jam penggunaan secara berterusan dan 38 jam dengan pod pengecas. Sistem pengecasan berwayar adalah jenis Warp dengan 10 minit pengecasan boleh bertahan sehingga 10 jam.

OnePlus Audio ID profil pengguna tersendiri dengan tetapan equalizer sesuai dengan diri masing-masing. Ciri senaman jiwa seperti mencari ketegangan dengan mod Zen iaitu Zen Mode Air turut disokong. TWS ini turut boleh digunakan pada mana-mana peranti Android melalui aplikasi HeyMelody. Sokongan tambatan pantas turut tidak dilupakan.

OnePlus Buds Pro di Malaysia hanya mempunyai pilihan Glossy White pada harga jualan RM799.

OnePlus Nord Buds

Nord Buds adalah TWS pertama di bawah jenama Nord selepas beberapa telefon pintar dilancarkan. TWS ini hadir dengan rekaan yang unik iaitu tangkai tebal, pendek dan leper. Berat fon telinga adalah 4.82g dengan berat pod pengecas pula adalah 41.7g sahaja.

OnePlus Nord Buds turut menggunakan pemacu audio dinamik jenis titanium bersaiz 12.4mm. Seperti kebanyakan ciri TWS OnePlus lain, Nord Buds turut memfokuskan kepada bass. Ia hadir dengan empat mikrofon terbina untuk panggilan telefon yang jelas.

Bateri fon telinga boleh bertahan sehingga 7 jam dengan mencapai 30 jam bersama pod pengecas. Ia tidak menyokong pengecasan nirwayar, tetapi pengecasan USB-C adalah selama 10 minit dengan ketahanan mencapai 5 jam. Nord Buds mempunyai perlindungan IP55, menyokong codec SBC dan AAC, menggunakan sambungan Bluetooth 5.2 dengan jarak nirwayar 10m, boleh menggunakan tambatan pantas Google Fast Pair serta menyokong tambatan dengan HeyMelody untuk peranti bukan OnePlus.

TWS ini ditala oleh Dolby Atmos dan pengguna turut boleh menggunakan Sound Master Equalizer untuk profil audio tersuai. Harga jualan adalah RM299 dengan pilihan warna Black Slate atau Blue Agate.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd