Carian
Ulasan Moondrop Aria Snow – IEM Secantik Salju Audio Selembut Baldu
July 25, 2022 Fahim Zahar

Saya adalah seorang pengguna platform penstriman audio Spotify yang setia untuk beberapa tahun. Kadangkala saya juga menggunakan Tidal jika inginkan kualiti penstriman yang lebih baik, kerana platform ini menawarkan kualiti audio nirhilang dan menjadi lebih teruja apabila Spotify mengumumkan pelan HiFi mereka.

Namun ia ditunda dan pelan HiFi Tidal juga semakin mahal membuatkan saya beralih ke Apple Music. Apple Music melancarkan terlebih dahulu pelan audio nirhilang mereka tanpa sebarang caj tambahan. Sejak daripada itu saya mula minat dengan set fon telinga berwayar jenis dalam telinga atau dikenali ramai sebagai IEM. Saya banyak menggunakan jenama daripada China seperti FiiO atau TinHifi dan menyambungkannya dengan AMP/DAC mudah alih.

Dalam artikel ini akan kami di Amanz menguji IEM baharu daripada Moondrop iaitu model Aria, Snow Edition. Ia adalah iterasi Moondrop Aria baharu dengan pemacu audio dikemaskini serta dengan rekaan yang cantik.


Rekaan Dan Spesifikasi

Moondrop Aria Snow Edition ini menggunakan pemacu audio 10mm dwi-rongga. Pemacu adalah jenis diafragma DLC (Diamond-Like Carbon). Ia dibina dengan bahan binaan besi dengan corak empingan salji, mempunyai pin sambungan 2-pin 0.78mm yang dipadankan dengan kabel yang disalut dengan teras perak OFC(oxygen-free copper).

Kualiti Audio

Untuk set fon telinga berwayar ini, kami telah mengujinya dengan lagu-lagu di bawah dan turut menguji menggunakan AMP/DAC mudah alih Grace Design M9XX.

  • Joji – Glimpse of Us
  • Lorder – Solar Power
  • Billie Eilish – Bad Guy
  • The Weeknd – Starboy

Kualiti audio untuk Moondrop Aria Snow ini tidaklah sehebat mana atau mempunyai perubahan yang banyak dengan Moondrop Aria yang asal. Pemacu audio baharu yang digunakan memberi sedikit pengurangan pada mid-bass dan juga pada treble rendah yang mungkin tidak akan digemarai ramai. Set fon telinga ini mempunyai bunyi yang seimbang dan tenang yang tidak rasa bosan.

Keunikan pada IEM ini adalah, mereka menyertakan putik telinga Spring Tips. Walaupun sepatutnya ia adalah sejenis putik telinga yang bagus, tetapi untuk digunakan pada Aria Snow ia bukannya pilihan terbaik. Putik ini menyebabkan spektrum frekuensi pada IEM ini menjadi kurang dinamik dan menyebabkan pengalaman pendengaran seakan menggunakan set fon telinga berwayar biasa sahaja.

Dalam cubaan saya sendiri, secara peribadi saya sukakan putik telinga Spring ini. Ia selesa dan padat di telinga, tetapi untuk pengalaman yang lebih baik dan memuaskan saya uji menggunakan versi silikon biasa.

Bass/Lows

Bass pada Moondrop Aria Snow ini jelas dan mempunyai butiran yang dikehendaki, Cuma ia adalah sedikit masalah pada mid-bass yang tidak menjadikan ia sebagai satu IEM yang sempurna untuk telinga saya sendiri. Dentuman mungkin bukan yang terbaik, kerana ia tidak cukup dalam – tetapi ia mempunyai dentuman yang padat menjadikan ia agak seronok untuk dinikmati. Saya sebagai pendengar muzik pop, terpaksa mencari muzik yang banyak kesan bass hanya untuk menikmati IEM ini.

Vokal/Mids

Vokal penyanyi lelaki amat lembut dan mempunyai kesan suara dari perut yang baik. Tetapi ia tidak begitu konsisten dan kadangkala ada vokal lelaki rasa terlampau nipis dan tidak natural. Suara penyanyi wanita walau bagaimanapun cukup merdu dan membuatkan saya rasa cair. Ia enak dan selesa, tetapi bukan untuk jangka masa panjang kerana suara penyanyi wanita terasa sedikit sempit dan tidak mempunyai ruang untuk menyerlah.

Nada Tinggi/Highs

Pada bahagian nada tinggi, IEM ini bukanlah yang terbaik dan mungkin akan menjadi sebab utama kenapa ia bukan untuk saya. Ia tidak mempunyai kualiti yang konsisten dan saya perlu mencari satu demi satu lagu dalam pustaka penstriman audio untuk yang terbaik boleh dimainkan pada IEM ini. Pengalaman pendengaran nada tinggi sedikit kering dan tidak menyerlah serta sedikit tajam di dalam telinga. Ia juga tidak begitu memuaskan dan kurang kejelasan pada bahagian treble.

Pementasan Audio

Untuk IEM dengan pemacu audio jenis dinamik, pementasan audionya agak lebar berbanding kebiasaannya. Tetapi bunyinya lebih ke arah kedalaman yang menegak apabila dipadankan dengan AMP/DAC mudah alih Grace Design M9XX. Pada pengasingan instrumen pula, ia sebenarnya cukup baik cuma tidak begitu jelas. Posisi setiap instrumen itu boleh kedengaran, cuma ia tidak begitu jelas dan tidak kekal kerana akan terus rasa bosan dan butiran terus hilang selepas pendengaran untuk sesuatu tempoh yang tidak begitu lama.

Kesimpulan

Untuk siapakah IEM ini dan adakah ia berbaloi untuk dimiliki oleh semua orang? Dalam pengalaman saya secara peribadi, saya sudah cuba FiioO FH3, TinHiFi T5 dan TinHiFi T3 Plus – Moondrop Aria Snow ini sebenarnya agak seronok untuk digunakan sebagai set fon telinga berwayar harian.

Dengan audio yang dihasilkan ke arah yang tenang dan mempunyai tona yang menyegarkan – ia mungkin sesuai untuk digunakan ketika berehat atau sambil membaca. Binaan juga adalah premium dengan tubuh besi dan corak yang unik dan cantik.

Ketika menguji IEM ini, ia masih belum dijual di Malaysia lagi dan kami mendapatkannya melalui HiFiGO pada harga sekitar RM360 sepasang. Dalam harga ini, ini mungkin berbaloi untuk dimiliki jika anda baru mula ingin serius dalam dunia audio yang berkualiti tinggi.

Pro

  • Audio yang tenang dan seronok jika tidak inginkan sesuatu yang rumit
  • Binaan premium yang berkualiti tinggi
  • Kabel yang baik dan boleh tanggal
  • Putik telinga jenis Spring yang selesa

Kontra

  • Vokal yang tidak begitu konsisten dengan nada tinggi yang sempit
  • Pementasan audio yang tidak begitu luas
  • Bukan satu naiktaraf dari Moondrop Aria biasa
Komen