Carian
Chromebook Menerima Ciri Produktiviti Suntingan Video, PDF Dan Kustomasi Secara Terbina
July 28, 2022 Effi Saharudin

Chromebook telah menerima kemas kini yang akan membawakan beberapa ciri produktiviti tambahan teriba yang akan menjadikannya lebih serasi untuk kegunaan harian. Ciri pertama yang bakal diberikan ialah kemampuan menyunting video secara terbina menerusi aplikasi Google Photos. Terdapat templat mengikut tema bagi memudahkan video dihasilkan.

Kecerdasan buatan juga boleh memberikan saranan babak dalam video yang mungkin boleh diambil dan juga memasukkan gambar statik dari simpanan Photos ke dalam susur masa video dengan mudah. Penuras True Tone juga boleh dikenakan pada video untuk memastikan tona kulit individu adalah sama seperti di dunia sebenar.

Bagi yang memerlukan aplikasi suntingan yang lebih profesional, aplikasi LumaFusion akhirnya akan boleh digunakan pada Chromebok dalam masa terdekat.

Aplikasi Gallery akan mempunyai kemampuan melakukan suntingan dokumen PDF secara natif. Memasukkan perkataan dan menurunkan tanda tangan boleh dilakukan secara terbina tanpa perlu memuat turun aplikasi lain. Seterusnya aplikasi Screencast membolehkan rakaman video skrin dilakukan lengkap dengan anotasi. Kemudian aplikasi Cursive pula memudahkan nota tulisan tangan menggunakan stylus disusun lebih baik dalam Chromebook.

Akhir sekali pelancar Chromebook turut ditambah baik dengan pilihan kustomasi tema dan latar belakang untuk menyerlah personaliti pengguna. Ini telahpun diumumkan sebelum ini bersama dengan Phone Hub untuk kawalan telefon pintar berhampiran lebih baik serta Nearby Share untuk penghantaran fail dari peranti Android lebih mudah.

Komen