Seperti kita sedia tahu, HarmonyOS ialah sistem kendiri Huawei yang boleh digunakan pada pelbagai jenis peranti berbeza. Ini termasuklah peranti pintar, jam tangan pintar, televisyen pintar, paparan pintar, tablet dan sewaktu dengannya. Terbaru, variasi kemas kini untuk sistem operasi ini telah diperkenalkan secara umum. Namun begitu, buat masa ini pengenalannya terhad di China terlebih dahulu sebelum dikembangkan dengan lebih meluas pada masa mendatang.
Sebagai kemas kini serba baharu, sistem operasi ini menampilkan pelbagai keupayaan terkini sekaligus menawarkan penggunaan lebih baik. Dalam masa sama, antara muka turut telah diperkemaskan dengan rupa baharu dan ciri lebih baik selaras dengan tujuannya untuk memudahkan penggunaan semua. Prestasi aplikasi dan pengalaman penggunaan juga dikatakan 11% lebih baik berbanding generasi sebelumnya. Berikut adalah apa perkara baharu yang terdapat pada HarmonyOS 3.0 :
1) Antaramuka Dengan Widget Serba Baharu
HarmonyOS 3.0 membuat kemunculan sulung menerusi tablet baharu MatePad Pro 11. Perubahan ketara adalah pada antara muka dengan widget yang kini boleh disesuaikan mengikut beberapa aspek. Ia merangkumi bentuk, saiz, warna dan gaya. Ia juga boleh disusun atur dengan mudah, misalnya berdasarkan warna atau diklasifikasikan mengikut fungsi. Dalam masa sama, ia kini turut lebih menegak. Kebolehan menambah teks dan pelekat turut disertakan. Selain itu, ia turut boleh diletakkan pada menu utama, antara aplikasi atau di antara widget itu sendiri untuk penjimatan ruang.
2) HyperTerminal Disokong Lebih Banyak Peranti
Bagi mereka yang mungkin tidak menyedari, HyperTerminal merupakan ciri yang membolehkan gabungan sambungan secara nirwayar berbilang peranti dibuat menerusi pusat kawalan utama. Misalnya, sambungan di antara fon telinga pada televisyen pintar untuk pengalaman tontonan lebih baik dan sebagainya. Melaluinya kemas kini baharu, lebih banyak peranti yang disokong termasuklah pencetak pintar, cermin mata pintar dan peranti kereta. Selain telefon pintar, peranti seperti skrin pintar dan PC Windows 11 juga boleh menjadi pusat utama peranti.
3) Perkongsian Skrin Ke Skrin
Kebolehan perkongsian skrin ke skrin kini disokong menerusi kemas kini baharu ini. Melaluinya, ia membolehkan anda menstrim paparan komputer riba ke monitor secara langsung – misalnya seperti Huawei MateBook dan MateStation X. Sesuai untuk mereka yang mahu membuat dan menyunting video dengan pantas dan cekap.
Di mana, anda boleh menyunting video dengan paparan beresolusi lebih tinggi dan warna sinematik. Selain itu, pelbagai proses lain seperti zum, menghilangkan kabur dan sebagainya juga boleh dilakukan dengan mudah. Dalam masa sama, anda turut boleh menyambungnya dengan fon telinga Huawei untuk pengalaman bekerja lebih produktif.
4) Komunikasi Lebih Lancar
Peranti dengan HarmonyOS 3.0 kini tidak memerlukan sambungan Wi-Fi untuk perkongsian komunikasi dengan peranti utama. Ia boleh disambungkan secara automatik menerusi tetapan pada peranti utama. Ini bermaksud apabila ianya diaktifkan, rangkaian untuk dua peranti Huawei yang berdekatan boleh disambungkan secara automatik. Sekaligus, ia membolehkan panggilan masuk dijawab atau mesej dipaparkan menerusi tablet seumpama kedua-duanya adalah peranti yang sama. Ia merupakan ciri yang mirip seperti sistem yang digunakan oleh Apple.
5) Akses Privasi Dipertingkatkan
HarmonyOS 3.0 membolehkan pengguna mengakses pelbagai profil privasi aplikasi dengan satu langkah mudah. Kini ia mempunyai pusat privasi yang boleh ditemui dalam menu tetapan. Melaluinya, ia memberi gambar bagaimana aplikasi sedia ada sering mengakses data pada peranti.
Fungsi pengesanan risiko keselamatan automatik yang terbina pada sistem pula bantu memudahkan kawalan serta pengurusan sebarang aplikasi sekaligus mengelakkan isu privasi diceroboh. Fungsi pelindungan privasi imej pula menyembunyikan sejumlah data sensitif seperti lokasi, model peranti digunakan dan masa imej diambil. Ini sekaligus membolehkan pengguna berkongsi gambar tanpa bimbang di media sosial.
6) Kemudahan Penggunaan Aplikasi Mudah Alih
HarmonyOS 3 kini membolehkan pelbagai aplikasi mudah alih digunakan pada kereta. Dalam erti kata mudah ciri khusus yang boleh mengubah peranti Android menjadi seakan skrin inforia pada sesebuah kenderaan. Ini sekaligus membolehkan pengguna menggunakan aplikasi telefon pintar pada papan pemuka kereta seumpama Android Auto.
7) Sambungan Fon Telinga Serentak
Ciri yang membolehkan dua set fon telinga / fon kepala Huawei disambungkan secara nirwayar untuk perdengaran audio secara serentak. Melaluinya, dua pengguna boleh berkongsi pengalaman mendengar lagu yang sama secara serentak menggunakan satu peranti utama.
8) Perkhidmatan Pembantu Digital Xiaoyi
Ia akan mengesyorkan pelbagai perkhidmatan dan pemberitahuan yang bersesuaian dengan keadaan semasa seumpama Celia. Misalnya, sewaktu anda sedang menaiki pesawat atau keretapi di bawah tanah, ia akan mengesyorkan kod perjalanan yang sepatutnya. Seterusnya, sewaktu anda bangun pagi pula ia akan berkongsi maklumat berkaitan cuaca dan masa. Lain-lain pemberitahuan termasuklah tutorial kecergasan ringkas, cadangan restoran dan sebagainya.
Tidak ketinggalan, HarmonyOS 3.0 juga membawakan sejumlah lagi kemas kini menarik lain seperti avatar maya 3D, kawalan kelengkapan rumah pintar menerusi peranti pintar, pengalaman video hiburan yang dipertingkatkan dan sebagainya. Huawei merancang untuk memulakan kemas-kini besar-besaran pada peranti keluarannya bermula bulan September. Senarai peranti pintar yang disokong masih tidak diumumkan setakat artikel ditulis.