Ulasan OnePlus Nord Buds – Prestasi Baik Dengan Sedikit Kompromi

Diterbitkan pada Ogos 1, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Keberanian Apple membuang bicu audio pada iPhone memulakan era fon telinga nirwayar yang serius enam tahun yang lalu. Di peringkat awal kebanyakan fon telinga bluetooth di pasaran adalah tidak memuaskan dengan isu sambungan tidak stabil, audio seperti tin kosong dan hayat bateri yang terlalu pendek.

Selepas enam tahun teknologi TWS semakin maju dan kini sudah wujud fon telinga nirwayar yang menyokong audio resolusi tinggi menerusi LDAC da juga mempunyai sokongan ANC yang amat baik. Tetapi harga jualannya juga meningkat sehingga tidak mampu dimiliki kebanyakan pengguna.

OnePlus Nords Buds mula dipasarkan di Malaysia pada pertengahan Julai pada harga RM299. Harga yang adalah mampu milik jika dibandingkan dengan apa yang ditawarkan oleh Apple, Samsung dan Sony. Apakah kompromi yang diambil oleh OnePlus untuk menghasilkan fon telinga ini dan lebih penting sekali sama ada ia berbaloi ataupun tidak?

Spesifikasi

OnePlus Nord Buds
JenisFon dalam telinga
Pemandu12.4 mm Titanium Drivers
Mikrofon4 mikrofon
Bateri7 jam
30 Jam dengan pod pengecas
Port pengecasUSB-C
Pengecasan nirwayarTiada
CODECAAC, SBC
Sistem operasi disokongSemua
Sokongan pembantu mayaTiada
Pad KawalanYa
Kemampuan kalis airIP55
Harga Jualan RM 299

Fon telinga adalah dari jenis putik dengan pemandu audio sebesar 12.4mm yang mempunyai diafragma diperbuat daripada titanium. Saiz pemandu yang lebih besar jika dibandingkan dengan AiPods Gen 3 dan Galaxy Buds2 yang dijual pada harga lebih premium. Setiap putik audio juga dilengkapi dua mikrofon untuk melakukan perbualan serta menyokong sistem pembatalan hingar.

Kami kurang gemar dengan rekanan putik audio Nord Buds kerana ia akan berkotak pada bahagian tangkai yang menjadikannya sedikit kurang selesa untuk dikeluarkan dari pod pengecas. Pada bahagian tangkap terdapat pad sesentuh berbentuk bulat. Pad sesentuh ini menyokong kawalan standard tekan sekali untuk menjeda/memainkan muzik, melangkau ke depan dan melangkau ke belakang.

Putik audio adalah dari jenis rekaan standard dengan bahagian silikon yang dimasukkan ke dalam lubang telinga. Kami cukup selesa dengan saiz silikon yang diberikan tetapi OnePlus memberikan dua lagi pasang putik silikon – satu lebih besar dan satu lagi lebih kecil. Selepas dimasukkan ke dalam telinga ia masih belum cukup kedap untuk menghalang bunyi luar dari menerjah masuk ke dalam telinga.

Nord Buds adalah dari kelas asas maka tidak ada ciri tambahan sensor yang menjeda muzik sebaik sahaja ia ditanggalkan dari telinga dan memyambungnya semula apabila mengesan telinga. Ia juga terasa amat plastik jika ingin dibandingkan dengan kemasan pada AirPods, Sony Linkbuds dan Buds Pro.

Kami rasakan kemasan plastik yang licin pada Nord Buds adalah sama dengan yang digunakan pada Galaxy Buds2. Seperti Buds2, Nord Buds mempunyai isu terlalu licin sehingga sedikit sukar untuk ditarik keluar dari pod pengecas. Ini adalah kerana magnet yang digunakan pada pod pengecas adalah cukup kuat. Ia boleh memegang Nord Buds dalam pod simpanan walaupun diterbalikkan. Insiden putik audio terjatuh dengan mudah dari pod simpanan sukar berlaku pada Nord Buds. Kalau terjatuh sekalipun tidak perlu risau kerana putik audio Nord Buds melepasi piawaian IP55.

Pod pengecas juga diperbuat daripada bahan plastik berkilat dengan bahagian penutup yang juga bermagnet bagi mengelakkan ia terbuka dengan mudah apabila disimpan di dalam beg. Sekali lagi kami tidak gemar dengan kemasan plastik ini kerana membuatkan Nord Buds terasa murah seperti produk audio OEM.

Terdapat lampu LED di hadapan untuk tahap bateri dan status tambatan. Di belakang terdapat port pengecasan USB-C dan butang tambatan manual. Kami cukup suka dengan produk audio yang dilengkapi butang tambatan fizikal kerana jauh lebih mudah digunakan. Satu perkara yang tidak disertakan pada Nord Buds ialah pengecasan nirwayar. Hanya pengecasan berwayar disokong.

Penggunaan dan Perisian

Tiada sokongan Google Fast Pair pada peranti Android. Sebaliknya hanya sokongan OnePlus Fast Pair diberikan pada peranti OnePlus. Mengecewakan kerana ini ialah ciri yang sepatutnya standard bagi sebuah pengeluar peranti Android kerana menjimatkan masa.

Tambahan pada peranti bukan OnePlus dan komputer boleh dilakukan dengan menekan butang tambatan fizikal sehingga lampu berkelip-kelip seperti dada Ultraman. Kami sarankan pengguna memuat turun aplikasi HeyMelody di peranti Android dan iOS untuk pengalaman penggunaan yang lebih baik.

Aplikasi diperlukan untuk membaik taraf firmware, mengubah pelbagai tetapan pad sesentuh, mengaktifkan Game Mode dan mengakses equaliser untuk mengubah tona bunyi Nord Buds. Tetapan untuk mengaktifkan mod pertukaran tambatan pantas antara dua peranti juga hanya boleh diaktifkan menerusi HeyMelody.

OnePlus mengatakan Nord Buds mempunyai sistem kecerdasan buatan untuk pembatalan hingar. Tetapi pada HeyMelody tiada tetapan untuk mengawal kekuatan ciri ini atau mengaktifkan mod tembus. Kerana sudah terbiasa menggunakan fon telinga dan fon kepala dengan mod tembus, ketiadaannya amat kami rasai. Kerap kali di pejabat kami perlu berhenti seketika untuk mencabut Nord Buds untuk berbual dengan rakan sepejabat kerana tiada mod tembus.

Kualiti Audio

Kualiti audio adalah mengejutkan bagi sebuah TWS yang dijual pada harga RM299. Pada harga ini kami pada asalnya menyangka audio mungkin tidak cukup lantang, berkecamuk, tidak cukup dinamik dan mempunyai masalah tambatan tetapi ini tidak berlalu sama sekali.

Sebaliknya ia cukup berkuasa untuk memainkan muzik dari pelbagai genre. Kami cukup suka menggunakan Nord Buds untuk mendengar muzik rock dan akustik. Treble nyaring dan jelas walaupun pada tetapan audio yang tinggi. Setiap instrumen yang dimainkan dapat didengari dengan jelas tanpa ia menjadi berkecamuk. Agak jarang sekali fon telinga dalam kelas mampu milik memberikan pengalaman audio seperti ini.

Pementasan bunyi sedikit terhad tetapi ini ialah perkara yang tidak boleh dielakkan pada fon dalam telinga. Kekurangan yang ada hanyalah bass yang kurang meletup walaupun apabila equaliser dipilih untuk menguatkannya. Oleh itu kami merasakan Nord Buds lebih sesuai untuk mendengar muzik instrumental, klasik, pop dan rock.

Terdapat mod gaming yang kami rasakan tidak memberikan sebarang perubahan yang ketara kerana dalam mod biasa sekalipun kami rasakan tidak ada sela masa yang begitu ketara dalam permua yang kami mainkan.

Kami meletakkan pengalaman audio Nord Buds hanya sedikit sahaja di bawah Galaxy Buds2 yang dijual pada harga hampir dua kali ganda lebih mahal. Kemampuan menghalang bunyi luar dari menerjah masuk rongga telinganya adalah lebih baik berbanding AirPods Gen 3 yang dijual pada harga yang hampir tiga kali ganda lebih tinggi.

Mikrofon

Kualiti mikrofon juga baik. Ketika menghadiri beberapa sesi telesidang, suara kami dapat didengari dengan jelas dan tidak kedengaran seperti pecah-pecah. Panggilan telefon juga dapat dilakukan dengan terang dan jelas. Tidak ada sebarang isu dilaporkan oleh mereka yang menerima panggilan daripada kami.

Bateri

Bateri putik telinga boleh bertahan sehingga 7 jam. Dalam penggunaan sepanjang tempoh ulasan, ia bertahan sehingga 6 jam pada tetapan audio yang tinggi hampir sepanjang masa. Hampir boleh bertahan seharian di pejabat. Pod pengecas menawarkan 23 jam lagi hayat penggunaan. Terdapat mod pengecasan pantas yang membolehkan putik telinga digunakan selama 5 jam selepas dicas selama 10 minit sahaja. Tetapi untuk pengecasan penuh sebenar bersama pod pengecas, ia mengambil masa sekitar 2 jam.

Dalam Kotak

Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian peranti di Malaysia.

  • 1x OnePlus Nord Buds.
  • 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
  • 2x Pasang putik silikon.
  • 1x Pelekat.
  • 1x Manual.

Kesimpulan

OnePlus Nord Buds menawarkan pengalaman audio yang memuaskan walaupun dijual pada harga yang mampu milik. Dari segi prestasi audio, ia hampir menandingi kualiti audio Galalxy Buds2 dan AirPods Gen 3 yang dijual pada harga jauh lebih mahal. Amat serasi untuk mendengar muzik pop, rock, instrumental dan klasikal kerana bunyi yang seimbang. Ia juga kalis air IP55 yang membuatkannya boleh digunakan untuk bersenam. Dengan bateri sehingga 7 jam sekali caj dan 30 jam dengan bantuan pod simpanan, Nord Buds menawarkan masa penggunaan yang amat baik.

Kekurangan hanyalah bass yang tidak cukup memuaskan bagi peminat muzik EDM, dan hip hop. Ketiadaan sokongan ANC dan mod tembus juga amat dirasakan. Bagi mereka belum pernah menggunakan TWS dengan dua ciri ini, ketiadaannya mungkin bukan masalah besar.

Pada harga RM299, ia memberikan pengalaman audio yang lebih baik dari harga jualannya. Tiada ciri lebih premium tetapi pada harga serendah ini, kompromi tiada sistem ANC, mod tembus dan pengecasan nirwayar boleh dimaafkan.

Pro

  • Pengalaman audio yang lebih baik dari jangkaan.
  • Rekaan pod simpanan yang padat.
  • Ketahanan bateri yang amat baik.
  • Sokongan aplikasi yang baik.
  • Kalis air IP55.
  • Pad sesentuh yang responsif.

Kontra

  • Bass tidak cukup mantap.
  • Tiada ANC atau mod tembus.
  • Kemasan plastik terasa sedikit murahan.
  • Tiada Google Fast Pair.

komen


© Amanz / 2022 Kami