Carian
Ulasan OnePlus Buds Pro: Audio Mantap Dalam Pakej Hampir Lengkap
August 3, 2022 Fahim Zahar

OnePlus sudah lama berkecimpung dalam dunia audio. Produk mereka yang paling jelas dalam ingatan saya adalah set fon telinga JBL mereka serta yang paling premium pada ketika itu OnePlus Icon. Tetapi bertahun kemudian, OnePlus ingin ikuti trend TWS dan hadir dengan beberapa variasi – cuma semuanya adalah dalam kelas pertengahan dan yang biasa-biasa sahaja. Tahun lalu, mereka akhirnya mengeluarkan TWS pertama dalam kelas mercu iaitu OnePlus Buds Pro.

Selepas sekian lama mengulas produk audio di Amanz, TWS premium kegemaran saya ialah Jabra Elite 85t. Oleh itu saya tidak sangka saya boleh menerima OnePlus Buds Pro ini. Ia bukanlah yang terbaik pernah saya gunakan tetapi saya selesa dengannya kerana ia menyeimbangkan kemampuan audio dan keperluan fungsi menjadikannya cukup untuk menjadi kegemaran saya sekarang.


Spesifikasi Dan Rekaan

OnePlus Buds Pro
JenisFon dalam telinga
Pemacu Audio11mm jenis dinamik
Mikrofon3x mikrofon untuk SANC dan ENC
Pembatalan Hingar Pintar Adaptif
CodecLHDC, AAC, SBC
SensorBluetooth 5.2
Auto jeda
Bateri40mAh fon telinga
520mAh pod pengecasan
7 jam
38 jam dengan pod pengecasan
TambatanBluetooth 5.2
Google Fast Pair
PengecasanUSB-C
Nirwayar Qi
Sokongan aplikasiHeyMelody untuk peranti bukan OnePlus
KawalanPicit dan tekan
Kemampuan kalis airIP55 – fon telinga
IPX4 – pod pengecasan
Harga JualanRM799

Pada awalnya, saya ingatkan OnePlus Buds Pro akan mempunyai spesifikasi lebih kurang sama dengan Oppo Enco X2. Tetapi sebenarnya, di atas kertas Oppo lebih bagus dan OnePlus ini biasa sahaja. Terdapat banyak ciri dan fungsi yang telah dipinjam antara satu sama lain. OnePlus turut menggunakan pemacu audio 11mm jenis dinamik, tiga mikrofon pada setiap fon telinga, sokongan Bluetooth 5.2, tambatan pantas Google Fast Pair dan turut sokongan codec LHDC.

Juga bukan lagi satu perkara asing untuk TWS mempunyai sokongan pengecasan nirwayar yang akan memudahkan lagi proses pengecasan. Ia juga mempunyai sokongan perlindungan air dan debu IP55 pada putik audio dan IPX4 untuk pod pengecas. Selari dengan TWS premium lain, OnePlus Buds Pro turut boleh ditambat kepada dua peranti serentak.

Rekaan OnePlus Buds Pro ini juga menarik kerana menggunakan rekaan pod pengecasan yang rata. Ini menjadikan keseluruhan tubuh nipis memudahkan ia disimpan dalam kocek atau diselitkan dalam ruangan kecil dalam beg. Di luar juga nampak kemas dan bersih, tiada butang dan tiada benda yang aneh kecuali engsel berwarna perak, port USB-C, lampu LED di depan dan ukiran teks OnePlus berwarna perak.

Untuk fon telinga, sekilas pandang nampak seperti AirPods Pro. Tetapi tangkai pada versi warna putih yang saya ulas ini berwarna perak yang berkilat dengan silikon pada hujung yang lembut dan selesa di dalam telinga. Rekaan fon telinga nampak kemas, ringkas dan jelas menunjukkan ia dari kelas premium.

Kualiti Audio

Penawaran daripada OnePlus ini nampak menarik, tetapi ketika pelancaran jujur saya katakan saya langsung tidak rasa teruja. Ia tidak berjaya menangkap perhatian penuh saya. Tetapi selepas menggunakannya untuk beberapa minggu, saya rasakan ia adalah satu pakej yang bagus dan patut dicuba oleh semua orang dan bukan pengguna OnePlus sahaja.

Bass/Lows

OnePlus Buds Pro mempunyai bass yang cukup dalam serta dengan dentuman yang kuat. Cuma sayang sekali bass pada TWS ini tidak mempunyai definisi yang bagus. Ia hanya sekadar kuat sahaja dan tidak mempunyai keseimbangan yang baik. Ia seakan terlampau berkuasa dan hanya membuatkan saya rasa teruja untuk seketika dan kemudian terus rasa bosan. Baru beberapa minit gembira dengan menghentak kaki mengikut rentak, saya terus tukar ke lagu yang lebih ringan. Mudah untuk jelaskan kepada anda adalah, bass pada TWS ini menarik tetapi tidak tenang dan terlebih rancak.

Vokal/Mids

Vokal yang dihasilkan oleh TWS ini dilihat menyebelahi suara lelaki lebih kepada suara wanita. Contoh lagu yang saya dengar adalah Ed Sheeran, Shivers yang mana vokal amat jelas dan sedap. Ia juga lembut dan tidak terlampau lantang dan membuatkan saya selesa mendengar pada jangka masa panjang. Lagu Taylor Swift, I Knew You Were Trouble kedengaran lembut dan baik sahaja. Tetapi ia sedikit tenggelam dengan bass yang terlampau dalam membuatkan vokal wanita tidak begitu menyerlah.

Nada Tinggi/Highs

Nada tinggi pada OnePlus Buds Pro mempunyai butiran yang baik. Ia membuatkan saya teringat pada kualiti audio Oppo Enco X2 yang tidak tajam dan tidak begitu nyaring. Ia sedap dan selesa, membuatkan saya seronok mendengar petikan gitar. Dengan bass yang dalam tadi ia sedikit mengganggu bahagian nada tinggi, tetapi tidak begitu teruk dan banyak muzik masih boleh dinikmati dengan penuh nikmat.

Mikrofon

Mengejutkan juga, 3x mikrofon yang terbina pada setiap fon telinga OnePlus Buds Pro dengan sistem AI untuk pembatalan hingar ketika panggilan telefon adalah bagus sekali. Suara kedengaran dengan jelas, terang dan bersih. Malah apabila menggunakan aplikasi perakam suara juga ia mampu memberikan hasil audio yang memuaskan. Belum lagi tahap seperti AirPods Pro atau kualiti studio, tetapi memadai dan mencukupi yang saya tidak sangka ia sebegini.

ANC, Mod Tembus Bunyi Dan Lain-Lain

Biasanya TWS pada harga yang dijual oleh OnePlus ini mempunyai sokongan ANC (Active Noise Cancellation) iaitu pembatalan hingar aktif. Tetapi TWS ini tidak mempunyai sistem yang aktif dan menggunakan sistem manual yang perlu dilaras pada aplikasi atau menggunakan sistem pintar mereka “ANC” (Adaptive Noise Cancellation). Pada awal saya kurang yakin dengannya, tetapi selepas mendengar dan menggunakannya saya amat terkejut dengan kemampuan ia membatalkan bunyi bising di sekeliling. Bunyi kipas di rumah, bunyi penyaman udara juga tidak kedengaran. Pembatalan hingar juga tidak memberi kesan tekanan yang menjengkelkan.

Untuk mod tembus bunyi pula, ia berfungsi dengan baik sekali. Ia mempunyai audio yang bersih dan tidak mempunyai kesan bunyi seakan frekuensi radio sedang mencari saluran yang betul. Saya sudah lama tidak menggunakan TWS dengan kualiti pembatalan hingar serta mod tembus bunyi seperti ini. Malah saya berani katakan ia menghampiri dengan kualiti pada Jabra Elite 85T cuma sedikit lebih selesa.

Kawalan Dan Aplikasi

Setiap fon telinga OnePlus Buds Pro boleh dikawal melalui kaedah memicit pada setiap tangkai. Ia seakan AirPods, cuma kurang sedap ditekan. Tetapi ia berfungsi dengan baik dan tidak terlampau sensitif. Setiap kawalan yang ingin saya lakukan seperti picit sekali, dua kali atau tiga kali berfungsi dengan baik sekali.

Kawalan juga boleh diubah pada aplikasi dengan mudah. Yang mana aplikasi yang digunakan adalah HeyMelody sama dengan TWS Oppo jika ingin menggunakan TWS ini pada peranti bukan OnePlus.

Ia mempunyai sedikit kekurangan, yang mana pengguna tidak boleh melakukan penalaan pada aplikasi seperti Enco X2. Tetapi OnePlus menawarkan OnePlus Audio ID iaitu profil audio peribadi yang tersuai mengikut citarasa pengguna. Ini adalah sama seperti Jabra, cuma bezanya tidak begitu ketara dan saya rasakan ia lebih kepada gimik. Turut tersedia adalah ujian padanan ke dalam telinga, yang mana jika fon telinga longgar ia akan menyarankan pengguna untuk mengetatkannya untuk pengalaman audio yang lebih sempurna.

Aplikasi turut mempunyai ciri Dual Connection untuk tambatan ke dua peranti. Tetapi ia tidak boleh menggunakan ciri LHDC yang tidak kelihatan dalam aplikasi dan hanya terdapat pada peranti OnePlus sahaja. Dalam aplikasi turut ada ciri Zen Mode Air untuk meditasi seperti bunyi White Noise atau bunyi alam semula jadi seperti di hutan atau di kawasan yang menenangkan.

Bateri

Saya adalah seorang pengguna TWS yang tidak begitu menghiraukan ketahanan bateri kerana saya ada banyak TWS sampingan. Saya juga adalah seorang pengguna yang tidak memakai TWS pada jangka masa yang begitu lama. Apa yang penting untuk saya, jika ia boleh bertahan sekurang-kurangnya empat ke lima episod siri TV, dua filem atau dua jam muzik saya sudah cukup berpuas hati.

Dalam ujian OnePlus Buds Pro ini saya mengaktifkan ANC dan ia tidak mempunyai masalah untuk bertahan sekitar 4-5 jam. Tanpa ANC pula ia bertambah dua jam lagi. Pada pod pengecas pula, OnePlus mendakwa ia boleh bertahan sehingga 38 jam – yang saya boleh sahkan dakwaan mereka ini sahih. Saya tidak alami masalah bateri cepat habis walaupun menggunakan pada dua peranti serentak.

Kemudian dengan sokongan pengecasan pantas Warp Charge, pengecasan selama 10 minit memberikan ketahanan sehingga 10 jam. Ini hanya boleh dicapai jika kabel serta pengecas yang digunakan adalah daripada OnePlus atau dengan teknologi SuperVooc.

Dalam Kotak

Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian.

  • 1x OnePlus Buds Pro
  • 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
  • 2x Pasang putik silikon tambahan.
  • 1x Manual.

Kesimpulan

OnePlus Buds Pro adalah TWS yang menepati citarasa saya sendiri. Saya sukakan rekaannya, keselesaan di dalam telinga dan kualiti audio yang cukup untuk saya nikmati sepanjang hari. Ia juga mempunyai kemampuan ANC yang hebat yang berada di luar jangkaan saya. Secara keseluruhan ia seimbang dengan fungsi unik serta audio berkualiti. Sejak ada OnePlus Buds Pro ini, saya sudah lama tidak menggunakan Jabra saya.

Agak mengecewakan ciri LHDC yang menjamin sambungan yang lebih baik dengan penyampaian audio sela masa rendah terhad pada peranti OnePlus sahaja dan tidak boleh digunakan pada peranti lain walaupun sudah menggunakan aplikasi HeyMelody. Tetapi untuk RM799, saya rasakan ini adalah satu TWS terbaik yang memuaskan dan saya lebih rela membeli TWS ini berbanding Oppo Enco X2 yang saya gunakan sebelum ini.

Tidak kira anda pengguna Apple ataupun bukan OnePlus, ia adalah TWS yang baik yang anda boleh cuba untuk memenuhi kehendak audio harian seperti panggilan telefon atau hiburan. Saya yakin anda tidak akan menyesal dengan TWS ini, kerana pada hemat saya ia adalah satu produk yang berbaloi untuk dimiliki.


Pro

  • Rekaan dan binaan yang premium
  • Kualiti audio yang memuaskan
  • Padat dengan fungsi dan ciri menarik
  • Sistem pembatalan hingar yang mantap
  • Mesra dengan Android dan iOS

Kontra

  • OnePlus Audio ID seakan gimik
  • Warna putih yang cepat kotor
Komen