Cari @ Amanz

Ulasan Oppo Enco X2 – Masih Antara Yang Terbaik Walaupun Bukan Lagi Juara

Link Copied!

Seperti kebanyakan pengeluar peranti, Oppo juga ada mengeluarkan banyak aksesori audio. Produk mercu mereka dalam kategori ini adalah Oppo Enco X dan pada tahun ini mereka menawarkan pula Oppo Enco X2 dan X2 Pro sebagai pengganti. Tahun lepas, Enco X adalah antara TWS terbaik pernah kami uji – bagaimana pula dengan X2 ini?

Selepas berminggu menggunakan TWS ini sebagai aksesori harian, ini adalah artikel ulasan untuk saya berkongsi kepada anda semua pengalaman penggunaan dan memberi pendapat sama ada ia berbaloi untuk dimiliki atau lebih baik membeli TWS jenama pesaing sahaja?


Spesifikasi Dan Rekaan

Oppo Enco X2
JenisFon dalam telinga
Pemacu Audio11mm jenis dinamik +
6mm diafragma planar

Codec: LHDC/AAC/SBC
Mikrofon3x mikrofon Bone Voiceprint
ANC, ANC Pintar, ANC Max
Mod tembus bunyi
Peningkatan vokal
SensorBluetooth 5.2
Auto jeda
Bateri57mAh fon telinga
566mAh pod pengecasan
6.5 jam
27 jam dengan pod pengecasan
TambatanBluetooth 5.2
Google Fast Pair
PengecasanUSB-C
Nirwayar Qi
Sokongan aplikasiHeyMelody untuk peranti bukan Oppo
KawalanPicit dan tekan
Kemampuan kalis airIP54
Harga JualanRM799

Kualiti binaan Enco X2 masih lagi premium dan memuaskan. Ia mempunyai kualiti binaan dan rekaan yang amat mirip dengan AirPods. Perbezaan hanya terletak pada pod pengecasan dan pada tangkainya sahaja. Enco X2 menggunakan sambungan USB-C untuk pengecasan dan turut menyokong pengecasan secara nirwayar Qi. Ia juga hadir dengan satu butang di sisi untuk melakukan tambatan dan lampu LED di bawah untuk menunjukkan tahap bateri serta sambungan ke peranti.

Enco X2 menggunakan pemandu audio berkembar 11+6 mm jenis dinamik dan juga diafragma planar. Ia menggunakan tiga mikrofon untuk peningkatan vokal dan pembatalan hingar, dan turut mempunyai mod tembus bunyi sendiri. Sambungan adalah dengan Bluetooth 5.2 atau juga melalui tambatan pantas Google Fast Pair. TWS ini turut hadir dengan perlindungan IP54 yang menjadikannya kalis peluh ketika digunakan dalam sesi bersenam misalnya.

Kualiti Audio

Bass/Lows

Enco X2 menawarkan bass yang selesa untuk didengari pada sepanjang spektrum frekuensi gelombang audio. Pada mid bass ia sedikit padat dan terkawal tetapi tidak cukup memberikan impak, iaitu dentuman untuk bass yang memuaskan. Secara keseluruhan, bass Enco X2 ini adalah menyenangkan. Saya yang gemar mendengar muzik pop akan rasa gembira sentiasa sepanjang menggunakan TWS ini, tetapi jika muzik rock dengan penggunaan instrumen lebih berat – TWS ini tidak cukup berkuasa untuk bass yang dalam.

Vokal/Mids

Penggemar muzik pop seperti saya, lagi-lagi jika kerap mendengar lagu dari Grace VanderWaal dan Taylor Swift – vokal suara wanita tidak begitu jelas dan terang kerana ia seakan tertutup. Ia tidak menyerlah atau riang. Vokal suara lelaki walau bagaimanapun cukup baik dan mempunyai butiran yang mencukupi sahaja. Ia tidak begitu dalam dan tidak begitu terdedah. Secara keseluruhan, vokal yang dihasilkan pada Enco X2 adalah ke arah sedikit berlekuk dan tidak sekata.

Nada Tinggi/Highs

Dalam banyak TWS yang pernah saya uji, jarang saya temui TWS yang mempunyai kualiti nada tinggi yang menenangkan. Ia tidak tajam sehingga menyakitkan telinga dan ia tidak terlampau nyaring. Muzik dengan nada tinggi pada TWS ini adalah sedap, cuma ia tidak sampai ke tahap sempurna. Jika ada kemampuan untuk menala bahagian nada tinggi ini sahaja, ia pasti akan memuaskan semua orang.

ANC, Mod Tembus Bunyi Dan Lain-Lain

Untuk kualiti pembatalan hingar Enco X2, ia tidak cukup memuaskan kerana masih boleh dengar bunyi di persekitaran. Jika dibandingkan dengan Enco X sebelum ini yang lebih kedap dan lebih baik prestasinya. Walaupun bukan yang terbaik, ia masih memadai dan boleh dikatakan satu perkara biasa untuk TWS di bawah RM1000. Benar ia tidak boleh menandingi Apple atau Sony, tetapi ia lebih baik daripada Xiaomi Buds 3T Pro, Nothing Ear (1) atau ROG Cetra. MOd tembus bunyi dan mod biasa juga seakan tidak banyak perbezaan dan hanya ala kadar sahaja.

Secara keseluruhan penyampaian audionya yang lembut, tenang dan terang ini sebenarnya sudah cukup memuaskan untuk ramai orang. Tetapi kerana ia tidak cukup baik pada bahagian vokal dan tidak begitu menyerlah ia tidak boleh saya nobatkan menjadi TWS terbaik di pasaran.

Aplikasi

Dalam peranti Oppo dan OnePlus, kawalan Enco X2 sudah sedia terbina bersama ColorOS yang memudahkan penggunaannya. Pada peranti lain, aplikasi HeyMelody perlu digunakan. Aplikasi membolehkan kemas kini dilakukan, mengubah tetapan pada TWS ini dan juga menala audio mengikut kesesuaian pengguna.

Aplikasi HeyMelody menyertakan Enco Master EQ untuk memilih profil audio yang telah ditala oleh Dynaudio. Mod ANC juga boleh disesuaikan untuk pengguna berbeza seperti Golden Sound – untuk vokal kualiti studio yang pada saya hanya sekadar gimik, Game Mode untuk merendahkan sela masa, ciri LHDC dan mod dwi-sambungan ke dua peranti. Tanpa aplikasi ini, TWS masih boleh digunakan dengan baik – cuma dengannya pengalaman penggunaan akan berkali ganda lebih baik.

Bateri

Oppo Enco X2 diiklankan untuk bertahan sehingga 6.5 jam penggunaan berterusan. Tetapi itu tanpa ANC diaktifkan, jika diaktifkan ia dikatakan boleh bertahan sekitar 5 jam. Dalam penggunaan saya yang majoritinya dengan ANC, saya boleh dapat penggunaan hampir 5 jam. Tanpa ANC juga jika fon telinga disimpan dalam pod pengecasan ia sepatutnya boleh bertahan sehingga 27 jam dan hanya 20 jam dengan ANC. Berdasarkan penggunaan selama beberapa minggu, apa yang diiklankan boleh dicapai.

Masalah utama saya hanya satu sahaja iaitu masa pengecasan 1 jam untuk bateri yang hanya sebesar 566mAh. OnePlus mempunyai sistem pengecasan pantas Warp Charge tetapi kenapa tidak digunakan?

Kesimpulan

Walaupun kualiti pembatalan hingar tidak sehebat Enco X tahun lalu, kualiti audio pada Enco X2 adalah jauh lebih baik. Ia masih sedap dan jelas, vokal juga masih terang dan mempunyai bass yang mantap. Enco X2 adalah untuk mereka yang inginkan kualiti audio berbanding ciri dan fungsi tambahan. Kualiti audio TWS ini cukup memuaskan dan membuatkan anda terfikir, patutkah belanjakan wang sehingga RM799?

Jika anda inginkan produk audio dari pengeluar telefon pintar dan bukan syarikat audio, ini mungkin antara yang terbaik di pasaran sekarang. Rekaan juga cantik, kemas, ringkas dan padat. Walaupun saiznya kecil, ia cukup berkuasa. Ia juga mesra semua peranti Android dan tidak terikat dengan satu platform kerana anda boleh gunakan Google Fast Pair untuk tambatan dan aplikasi HeyMelody untuk kawalan tambahan.

Berbanding Xiaomi Buds 3T Pro yang kami ulas tempoh hari dengan gimik spatial audio – baik tambah sedikit wang untuk dapatkan yang terbaik secara keseluruhan.


Pro

  • Binaan kukuh dan premium
  • Mempunyai kemampuan audio terbaik dan cukup mantap
  • Mudah ditambat dan mesra peranti Android
  • TWS kategori premium yang berbaloi

Kontra

  • ANC yang tidak begitu memuaskan dan tidak cukup pintar
  • Warna putih yang cepat kotor
  • Rekaan fon telinga mirip AirPods Pro yang membosankan

Komen ()