Carian
Pandang Pertama Samsung Galaxy Z Flip4 – Iterasi Kecil Untuk Sekian Kali
August 10, 2022 Effi Saharudin

Samsung Galaxy Z Flip4 telah diumumkan sebentar tadi sebagai variasi ke empat peranti skrin boleh-lipat kompak dari Samsung. Tahun lalu, Galaxy Z Flip3 ialah peranti skrin boleh-lipat dengan jualan tertinggi dengan mudah mengalahkan Galaxy Z Fold3. Faktor utama jualan yang lebih tinggi ini ialah harganya yang jauh lebih mampu milik berbanding Flip 5G dan juga saiznya yang jauh lebih kecil membuatkannya kelihatan lebih bergaya untuk golongan fesyenista.

Samsung tidak melakukan perubahan yang besar pada Z Flip4 tahun ini dengan perbezaan dilakukan pada komponen dalaman dan sentuhan kecil pada kosmetik. Dalam hal ini Samsung meminjam gaya pemasaran Apple yang turut hanya memberikan perubahan kosmetik kecik dengan kemas kini pada komponen dalaman.

Setelah menggunakan rekaan yang hampir sama untuk empat generasi, persoalan yang perlu dijawab adakah iterasi kecil yang diberikan masih mampu menjadikan Z Flip4 peranti skrin boleh-lipat yang perlu dibeli tahun ini?

Spesifikasi

Samsung Galaxy Z Flip4
SkrinDalam – 6.7″ Dynamic AMOLED 2X, 120Hz, HDR10+
Luar – 1.9″ SAMOLED
PemprosesQualcomm Snapdragon 8+ Gen 1 (4nm)
Cip1x 3.19 GHz Cortex-X2
3x 2.75 GHz Cortex-A710
4x 1.80 GHz Cortex-A510
Cip GrafikAdreno 730
RAM8GB LPDDR5
Muatan Dalaman128/256/512 GB UFS 3.1
Kamera Utama12+12 Megapixel f/1.8+f/2.2, OIS
Kamera Swafoto/Kamera Dalaman10 Megapixel f/2.4
Bateri3700 mAh
Pengecasan berwayar 25W
Pengecasan nirwayar 10W
Pengecasan berbalik 4.5W
SIM/TelefoniNano/5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirIPX8
Sistem ImbasanPengimbas cap jari sisi
Harga JualanRM 4099 (8/128GB)
RM 4399 (8/256GB)
RM 4899 (8/512GB)
RM 4599 Bespoke Edition (8/256)

Skrin

Skrin 6.7″ Dynamic AMOLED 2X boleh-lipat yang sama tahun lalu digunakan semula. Ia dari jenis LTPO yang membolehkan kadar segar semula turun ke 1Hz dan melonjak ke 120Hz apabila diperlukan. Peranti terasa amat responsif kepada sentuhan dan tatalan kerana teknologi ini.

Skrin turut menyokong mod HDR10+ untuk aplikasi yang menyokongnya seperti Netflix dan YouTube. Kandungan nampak terang dan jelas ketika kami gunakan untuk tempoh masa yang pendek. Sudut pandangan juga baik. Malang sekali kami tidak dapat pula menguji keterangan skrin di bawah matahari yang terang kerana ruang percubaan adalah tertutup.

Skrin masih lagi mempunyai lubang kamera swafoto di hadapan di tengah-tengah. Walaupun teknologi kamera bawah skrin (UDC) telah digunakan di Z Fold3 tahun lalu dan Z Fold4 tahun ini, Samsung belum bersedia untuk menawarkan teknologi UDC mereka pada Z Flip4. Oleh itu kandungan video masih lagi terganggu oleh lubang kamera apabila menggunakan mod skrin penuh.

Kita perlu menyentuh soal kesan lipatan pada Z Flip4 kerana ia masih lagi jelas kelihatan sebaik sahaja peranti dibuka. Masuk ke generasi ke-empat, isu kesan lipatan masih lagi belum dapat diselesaikan. Kesan lipatan boleh dilihat walaupun skrin menggunakan imej latar belakang yang gelap.

Samsung berkata mereka meningkatkan ketahanan Ultra Thin Glass yang digunakan pada permukaan skrin boleh-lipat Z Flip4. Tetapi kami tidak tahun berapakah peningkatan dan ketahanan jangka panjangnya di dunia sebenar kerana di makmal ia diuji sehingga 200,000 kali dibuka dan ditutup tanpa sebarang kerosakan menurut Samsung.

Skrin luar masih lagi 1.9″ AMOLED tidak seperti beberapa ura-ura yang dilaporkan sebelum ini. Saiz skrin sekunder in masih terlalu kecil untuk menjadikannya praktikal seperti pada Motorola RAZR 2020. Tetapi pengguna kini boleh menghantar mesej balasan pantas terus dari skrin luar seperti yang disokong pada Galaxy Watch4. Ciri tahun lalu yang membenarkan AOD dikemaskini dengan animasi, imej statik, widget dan skrin swafoto yang lebih menarik. Singkatan pantas untuk meletakkan individu yang paling kerap dihubungi juga boleh dilakukan pada skrin luaran ini.

Rekaan

Rekaan tahun sama seperti Z Flip3. Sisinya peranti dan permukaan belakangnya rata dengan bingkai diperbuat daripada bahan aluminium tahan lasak. Dalam tangan peranti masih terasa sama cuma dengan penawaran warna yang berbeza. Tahun ini Z Flip4 edisi Bespoke akhirnya boleh dipesan oleh pengguna di Malaysia.

Pilihan lima warna untuk panel atas, lima warna untuk panel bawah dan tiga warna untuk bingkai serta engsel ditawarkan kepada pelanggan. Versi ini akan dijual pada harga yang lebih premium berbanding Z Flip4 biasa dan pelanggan perlu menunggu antara 4-6 minggu sebelum peranti tiba di tangan.

Sebelum ini edisi Bespoke hanya ditawarkan kepada pengguna di Korea Selatan dan Amerika Syarikat sahaja. Pendekatan yang menarik keran hanya Z Flip4 ditawarkan dalam edisi Bespoke dam bukannya Z Fold4.

Engsel dan bezel telah diubah pada Z Flip4 bagi mengecilkan saiz peranti dalam mod tertutup dan terbuka. Perkara pertama yang kami sedari adalah engsel yang jauh lebih kecil. Bezel yang lebih kecil tidak begitu ketara dengan mata kasar kerana kami tidak pula mempunyai sebuah Z Flip3 untuk dibandingkan. Peranti juga terasa lebih ringan dalam tangan.

Walaupun engsel telah diubah rekaannya sedikit, pengalaman membuka peranti masih terasa tegap. Tiada isu engsel berbunyi seperti pintu pondok usang atau mekanisme penutup terlalu keras sehingga sukar untuk membuka/menutup skrin.

Butang kuasa dan laras suara diletakkan pada sisi kanan. Sebuah pengimbas cap jari fizikal masih lagi disertakan pada butang kuasa yang saiznya agak besar. Kami masih merasakan kedudukan butang kuasa/pengimbas cap jari adalah terlalu tinggi tetapi dengan mekanisme lipatan di tengah, kedudukan butang ini tidak boleh diubah ke lokasi yang lebih ergonomik.

Bagi yang tidak menggemari pengimbas cap jari sisi, sistem imbasan wajah boleh diaktifkan tetapi dari jenis 2D sahaja. Tanpa pemancar IR sistem ini juga tidak boleh digunakan dalam bilik yang gelap.

Talam SIM diletakkan pada sisi kiri. Hanya satu SIM nano disokong tanpa slot untuk kad mikro SD atau SIM sekunder. Jika dua perkhidmatan selular ingin digunakan, pengguna perlu menggunakan eSIM. Tiada lagi sokongan mikro SD tetapi ini sudah dilakukan sejak beberapa tahun lalu oleh Samsung pada peranti mercu mereka.

Speaker stereo dibekalkan lengkap dengan sokongan audio Dolby Atmos. Kekisi audio di bahagian bawah dipadankan dengan speaker lebih kecil di gagang telinga. Dalam konfigurasi ini audio tidak begitu terang dengan speaker bawah jelas lebih lantang.

Peranti masih lagi melepasi piawaian kalis air IPX8 yang amatlah melegakan kerana dengan terdapat banyak komponen terbuka, tanpa kemampuan alis air ia adalah menakutkan.

Penggunaan Dan Perisian

Sistem operasi yang digunakan masih lagi Android 11 dengan pelancar One UI 4.1.1 Maka tidak banyak ciri baharu diperkenalkan kerana ini ialah versi sistem operasi yang sama digunakan Z Flip3 pada waktu ini.

Ciri standard mod gelap, Side Panel dan Multi Window diberikan. Tidak banyak inovasi ciri dapat dilihat pada perisian Z Fip4. Dari segi sudut pandangan inovasi ini adalah mengecewakan kerana ia tidak mampu memberikan keunikan pada model yang lebih baharu. Tetapi ini juga bermakna tiada ciri gimik yang ditambah semata-mata atas nama inovasi. Seperti yang pernah kami tulis sebelum ini, One UI 4 ialah pelancar yang sudahpun penuh dengan pelbagai ciri sehingga sudah menjadi agak berat dengan peranti hanya dilengkapi 8GB RAM.

Penggunaan adalah amat lancar dan kemas. Membuka aplikasi dapat dirasakan lebih pantas. Ini sudah dijangka kerana peranti menggunakan cip Snapdragon 8+ Gen 1, dipadakan dengan memori 8GB RAM dan storan sehingga 512GB. Adalah memalukan jika peranti dengan cip terpantas Android pada waktu ini tidak dapat beroperasi dengan lancar.

Jika 8GB RAM anda rasakan tidak mencukupi, penambahan memori secara maya menerusi RAM Plus boleh dilakukan. Samsung menawarkan memori maya dalam saiz 2, 4, 6 dan 8 GB dengan sebahagian storan akan diambil untuk digunakan sebagai RAM. Oleh sebab itu Samsung menawarkan storan 512GB pada Z Flip4 di Malaysia supaya pengguna tidak lagi akan merungut storan terlalu kecil atau tidak mencukupi untuk menggunakan RAM Plus.

Kamera

Sensor 12MP f/1.8 lensa sudut lebar dipadankan dengan sensor 12MP f/2.2 lensa ultra sudut lebar di bahagian belakang dengan lensa sudut lebar dilengkapi sistem OIS. Pada bahagian hadapan pula sensor 10MP f/2.4 diletakkan dalam sebuah lubang kamera. Tiada perubahan pada saiz megapixel tetapi saiz pixel adalah lebih besar pada sensor tahun ini untuk prestasi penggambaran yang lebih baik menurut Samsung.

Kamera sekadar menyokong zum secara digital sehingga 10X sahaja. Penambahbaikan kamera yang lebih ketara hanya diberikan kepada Z Fold4 sahaja tahun ini. Satu ciri baharu pada kamera Z Flip4 tahun ini ialah Flex Cam. Peranti boleh dipegang seperti sebuah kamera video camcorder klasik ketika merakam video

Bateri

Bateri 3700 mAh tahun ini lebih besar berbanding 3300 mAh tahun lalu. Rungutan utama pengguna Z Flip3 ialah ketahanan baterinya yang cukup tragis tidak mampu bertahan sepanjang hari. Sistem pengecasan yang disokong juga meningkat ke 25W berbanding hanya 15W. Peranti turut boleh dicas secara nirwayar 10W dan mengecas peranti lain secara nirwayar.

Kesimpulan

Samsung percaya dalam arena peranti skrin boleh-lipat evolusi rekaan yang mendadak tidak diperlukan jika iterasi sahaja sudah memadai. Pesaing mereka dalam pasaran peranti skrin boleh-lipat dalam bentuk clamshell hanyalah Huawei P50 Pocket yang dijual pada harga yang jauh lebih mahal.

Oleh sebab itu kemas kini rekaan lebih padat, penggunaan pemproses yang paling berkuasa untuk Android, storan lebih besar, bateri berkapasiti lebih tinggi dan pengecasan sedikit lebih pantas sahaja telah dilakukan. Strategi Samsung ialah menarik minat pengguna yang belum memiliki Z Flip4 dan bukan pengguna Z Flip3 atau Z Flip 5G.

Strategi yang bijak sebenarnya kerana jumlah pengguna peranti skrin boleh-lipat perlu ditambah terlebih dahulu sebelum perubahan besar dilakukan pada setiap model baharu. Pakej Z Flip4 tahun ini masih lagi menarik kerana ia kini adalah peranti skrin boleh-lipat paling berkuasa di pasaran.

Pada harga bermula RM4099 ia sedikit mahal berbanding model tahun lalu yang dijual pada harga bermula RM3999. Isu rantaian bekalan, kekurangan cip, inflasi dan nilai Ringgit yang semakin menyusut menyebabkan ini tidak dapat dielakkan. Hakikatnya Samsung Galaxy Z Flip4 ialah peranti skrin boleh-lipat padat paling berkuasa dan terbaik setakat ini. Sama ada betul atau tidak hanya akan diketahui selepas kami mengulasnya kelak.

Pro

  • Rekaan yang lebih kemas dan padat berbanding Z Flip3.
  • Spesifikasi kelas mercu dalam saiz yang padat.
  • Kalis air IPX8.
  • Bateri lebih besar dengan pengecasan lebih pantas.
  • Menyokong pengecasan nirwayar.

Kontra

  • Sistem kamera dikitar semula.
  • Skrin sama seperti tahun lalu.
  • Skrin luar masih lagi agak kecil untuk menjadi benar-benar berguna.
  • Gunakan kod AMGZF4VIP apabila membeli Galaxy Z Flip4 atau Galaxy Z Fold4 dan dapatkan Super Fast Wireless Charger Duo yang bernilai RM 369 termasuk kabel dan pengecas 15W PD.
Komen