200 Stesen Shell Dijangka Dilengkapi Pembayaran TNG RFID Menjelang Hujung 2022

Diterbitkan pada Ogos 11, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Shell dan Touch n Go telah pun umum kerjasama sebelum ini, dan telah pun melancarkan penawaran pembayaran menggunakan TNG RFID di stesen minyak Shell terpilih baru-baru ini.

Setakat ini, sekitar 88 stesen minyak Shell telah dilengkapi dengan sokongan pembayaran ini. Shell turut berkongsi, menyasarkan sekitar 200 stesen Shell akan dilengkapi sokongan pembayaran RFID ini menjelang penghujung 2022 kelak.

Melalui pembayaran secara RFID ini, pengguna hanya perlu ke pam minyak yang dilengkapi teknologi RFID, dan membayar melalui imbasan pelekat TNG RFID pada kereta, dan mengesahkan melalui dompet digital TNG eWallet. Pengguna tidak lagi perlu ke kaunter, atau berinteraksi dengan pam minyak secara manual untuk tujuan pembayaran.

Shell turut menyasarkan untuk melengkapkan penawaran pembayaran RFID ini di 50% stesen minyak Shell sekitar Semenanjung Malaysia dalam tempoh tiga tahun lagi.

Buat masa ini, bilangan pam dengan sokongan pembayaran RFID di setiap stesen adalah terhad. Namun, sekiranya permintaan tinggi, tidak mustahil kita melihat Shell mengimplementasi ia secara menyeluruh pada setiap stesen minyak mereka.

komen


© Amanz / 2022 Kami