Carian
Finland Memulakan Ujian Pasport Digital Pada Telefon Pintar
August 11, 2022 Effi Saharudin

Kita hidup di zaman hampir semua aktiviti boleh dilakukan secara digital. Tetapi mengembara ke negara luar masih lagi analog dengan keperluan membawa buku pasport. Inisiatif untuk mendigitalkan kad pengenalan dan pasport sudah dimulakan di Malaysia menerusi Identiti Digital Nasional tetapi Finland menjadi negara terawal yang akan menjadikannya realiti.

Menerusi ujian awal yang akan dilakukan tahun ini, warga Finland yang ingin pergi ke Croatia akan diminta menghantar dokumen perjalanan dalam versi digital ke pintu masuk sempadan sebelum tiba ke destinasi. Kesahihan akan disahkan oleh pegawai imigresen Croatia sebelum kebenaran merentas sempadan diberikan dalam aplikasi khas.

Di sempadan warga Finland hanya perlu mengesahkan identiti menerusi aplikasi dan imbasan wajah. Dengan tiada dokumen perlu diperiksa, disahkan, dan dicop terlebih dahulu penggunaan pasport digital diharap akan menyelesaikan masalah kesesakan di sempadan.

Finland akan menjadi negara pertama dalam Kesatuan Eropah (EU) memperkenalkan pasport digital dan sekiranya ia terbukti berjaya kemungkinan besar akan digunakan pula ke seluruh EU.

Komen