Selepas acara pelancarannya dibatalkan minggu lalu kerana lawatan Nancy Pelosi ke Taiwan, hari ini Motorola Razr 2022 akhirnya dilancarkan secara rasmi. Ia adalah peranti skrin boleh-lipat pertama dengan skrin 6.7″ FHD+ 144Hz HDR10+ dan turut dilengkapi skrin sekunder di luar sebesar 2.7″ OLED 60Hz.

Ini dipadankan dengan Snapdragon 8+ Gen 1, memori sehingga 12GB RAM, storan sehingga 512GB dan bateri 3500 mAh yang menyokong pengecasan 33W. Kemampuan kamera utama pula ialah 50MP sudut lebar dan 13MP ultra sudut lebar. Sementara itu kamera swafoto peranti pula sebesar 32MP. Sistem operasi yang digunakan masih lagi Android 12 dengan pelancar myui 4.0.

Ciri lain yang menarik ialah peranti turut mempunyai Flex Mode tersendiri apabila menggunakan aplikasi kamera seperti Z Flip4. Audio Dolby Atmos turut disokong menerusi speaker stereo. Kerana skrin luarnya yang besar, pelbagai notifikasi, widget dan tugasan membalas mesej boleh dilakukan terus tanpa skrin utama dibuka. Di China Motorola Razr 2022 dijual pada harga RMB 5999 (~RM 3959) untuk 8/128GB, dan RMB 6499 (~RM 4287) untuk 8/256GB dan RMB 7299 (~RM 4815) untuk 12/52GB.
