Cari @ Amanz

Razer ialah sebuah jenama peranti dan aksesori gaming yang cukup terkemuka seantero dunia, dan diantara perkakasan-perkakasan mereka yang paling popular ialah tetikus dan papan kekunci. Selain daripada faktor jenama, perkakasan Razer dilihat popular kerana kesemuanya dilihat boleh dikemaskini, diubahsuai dan diselarikan menggunakan satu perisian sahaja.

Baru-baru ini, syarikat tersebut telah memperkenalkan papan kekunci terbaru dan paling premium mereka, Razer Deathstalker v2 Pro yang tampil dengan gabungan rekaan berprofil rendah, ringan dan dimuatkan dengan sejumlah ciri-ciri tambahan yang membuatkan papan kekunci ini sangat mudah untuk dipasang dan digunakan.

Rekaan

Razer Deathstalker v2 Pro ialah sebuah papan kekunci bersaiz penuh yang hadir dengan rekaan berprofil rendah dengan gabungan penggunaan bahan polikarbonat untuk rangka bawah dan logam aluminum untuk bahagian atas.

Sebuah butang fizikal dan tombol dapat diperlihatkan di bahagian sisi atas papan kekunci ini yang boleh digunakan untuk menatal penjedaan media dan juga kawalan audio. Melalui perisian Razer Synapse 3, pengguna boleh mengubah tetapan untuk butang-butang tersebut dan juga menambah pintasan baru dan menukar tetapan profil berbeza.

Dari segi sokongan sambungan, papan kekunci ini boleh disambungkan ke komputer secara berwayar, menggunakan kabel USB-C, Bluetooth 5.0 ataupun WiFi, menggunakan teknologi HyperSpeed mereka. Untuk sambungan Bluetooth, tiada penyesuai diperlukan untuk menyambungkan papan kekunci ini kepada komputer, tetapi untuk sambungan Hyperspeed, anda akan perlu menggunakan sebuah penyesuai WiFi yang juga ditawarkan bersama-sama papan kekunci ini.

Papan kekunci ini juga menggunakan suis optikal yang dibangunkan sendiri oleh Razer dan hadir dalam dua penawaran, iaitu Razer Linear Low-Profile Optical Switch dan Razer Clicky Low-Profile Optical Switch, suis optikal linear dan clicky berprofil rendah mereka sendiri.

Dalam pada itu, papan kekunci ini juga hadir dengan ciri per-key RGB yang boleh diubahsuai corak pencahayaannya melalui perisian Synapse sekali lagi, tetapi untuk ini anda perlu menggunakan sambungan berwayar ataupun LightSpeed sebelum sebarang pengubahsuaian tetapan ini boleh dilakukan.

Kekunci Razer Deathstalker v2 Pro ini juga dilihat menggunakan plastik double-coated doubleshot ABS yang dikatakan mengurangkan isu kekunci berminyak apabila digunakan, yang merupakan satu isu yang agak biasa apabila menggunakan kekunci dengan bahan tersebut.

Bercakap tentang berminyak, oleh kerana permukaan atas papan kekunci ini diperbuat daripada aluminum, kesan-kesan sentuhan dapat dilihat dengan sangat mudah, dan anda akan perlu sentiasa rajin membersihkan permukaan papan kekunci ini sekerap yang mungkin untuk memastikan ia kekal bersih dan cantik.

Perisian

Sama seperti semua aksesori Razer yang lain, papan kekunci Razer Deathstalker v2 Pro ini menggunakan perisian Razer Synapse v3 untuk mengubah semua tetapan pada papan kekunci ini. Melalui perisian ini, anda boleh menukar corak pencahayaan dan warna setiap kekunci, tetapan untuk setiap kekunci, dan juga pelbagai jenis pintasan.

Jika anda mahu menukar sistem pencahayaan tanpa menggunakan Synapse, anda juga boleh menggunakan pintasan kekunci FN+Ctrl dan nombor 2 ke 7 untuk menukar corak pencahayaan dengan cepat dan mudah.

Salah satu kekunci yang boleh diprogramkan semula ialah tombol papan kekunci ini. Secara asalnya, ia akan digunakan untuk menatal kelantangan audio, tetapi melalui perisian Synapse, fungsinya boleh digunakan untuk beberapa fungsi lain seperti menukar kecerahan paparan, menggerakkan masa video kehadapan ataupun kebelakang dan sebagainya.

Perisian Synapse 3 ini juga digunakan untuk mengemaskini firmware papan kekunci sekiranya perlu, dan juga boleh digunakan untuk menetapkan fungsi inter-device yang membolehkan pengguna untuk menukar profil peranti Razer yang lain melalui satu peranti sahaja.

Ia juga membolehkan anda memperlihatkan jangkahayat bateri papan kekunci ini, dimana Razer mengatakan Deathstalker v2 Pro ini mempunyai jangkahayat selama 80 jam dengan satu pengecasan penuh.

Satu lagi cara mudah untuk melihat jangkahayat bateri anda ialah dengan singkatan FN+End, dimana anda akan dapat memaparkan anggaran jangkahayat tersebut melalui lima lampu LED di bahagian atas kekunci arah. Setiap LED memperlihatkan jangkahayat sekitar 20 peratus.

Melalui perisian Synapse ini juga anda boleh menetapkan ‘masa tidur’ papan kekunci ini untuk menjimatkan bateri sekiranya ia tidak digunakan dan dibiarkan untuk seketika.

Pengalaman Pengguna

Sebagai seorang yang sudah terlalu biasa menggunakan papan kekunci tersuai, tanggapan saya terhadap papan kekunci siap-pasang seperti Razer Deathstalker ini tidaklah begitu tinggi pada mulanya. Rekaan berprofil rendah, penggunaan suis optikal dan juga penstabil kekunci yang tidak diubahsuai secara lazimnya bagi saya akan memberikan pengalaman menaip yang tidak begitu baik.

Tetapi tanggapan saya mengenai prestasi papan kekunci ini sebenarnya adalah cukup baik sekali. Benar, suis Razer Linear Optical Switch yang dibekalkan bersama-sama dengan papan kekunci ini rasa sedikit lembut apabila menaip dengannya, tetapi bagi saya pengalaman menaip dengan papan kekunci ini lebih selesa apabila dibandingkan dengan papan-papan kekunci yang menggunakan kebanyakan suis-suis mekanikal berprofil rendah yang lain.

Bagi anda yang lebih mementingkan pengaktifan kekunci yang lebih cetek untuk permainan-permainan komputer, suis optikal ini hadir dengan tahap pengaktifan 1.2mm sahaja, sesuai untuk permainan-permainan yang memerlukan refleks yang lebih pantas seperti Valorant, Call of Duty Warzone dan sebagainya.

Menyentuh kepada kekunci Razer Deathstalker v2 Pro ini juga, sekali lagi anda tidak perlu risau mengenai isu minyak daripada jari mengotorkan kekunci-kekunci ini kerana penggunaan double-coating yang dilihat memastikan bahawa minyak dari jari-jemari anda sekurang-kurangnya akan mengambil masa yang lebih lama untuk mengotorkannya.

Apa yang mengejutkan saya juga ialah bahagian-bahagian seperti spacebar, Shift dan Enter tidak mempunyai bunyi hingar daripada bahagian penstabil besi yang secara lazimnya didengari pada banyak papan-papan kekunci siap-pasang yang lain.

Penggunaan perisian Razer Synapse 3 juga dilihat cukup mudah sekali, dan sekiranya anda menggunakan aksesori-aksesori Razer yang lain, anda sebenarnya sudahpun bersedia untuk menggunakan papan kekunci ini tanpa sebarang masalah.

Tetapi itu tidaklah berkata bahawa anda perlu menggunakan perisian tersebut. Anda boleh menyambungkan papan kekunci ini secara wayar dan nirwayar tanpa menggunakannya, tetapi untuk mengakses sebarang kemaskini dan tetapan untuk papan kekunci ini, anda akan perlu menggunakan perisian tersebut.

Bercakap mengenai sambungan nirwayar, Razer mengatakan sambungan Hyperspeed mereka hadir dengan lengah masa hampir sama dengan sambungan berwayar, akan tetapi bagi saya, perbezaan kelajuan ini diantara sambungan berwayar, Bluetooth dan juga Hyperspeed tidak begitu berbeza diantara satu-sama lain.

Satu-satunya perbezaan yang dapat saya rasakan apabila dibandingkan “kelajuan” sambungan Bluetooth dan Razer Hyperspeed ialah apabila papan kekunci ini dibangunkan daripada mod tidur, sambungan Hyperspeed tersebut dilihat berjaga lebih pantas berbanding dengan sambungan Bluetooth.

Penutup

Pada harga RM999, papan kekunci Razer Deathstalker v2 Pro ini adalah papan kekunci paling mahal keluaran Razer setakat ini. Tanda harga kelas kayangan ini termasuklah rekaan papan kekunci ini yang nipis dan ringan, sokongan sambungan berbeza, termasuklah wayar, Bluetooth dan WiFi dan juga sokongan pengubahsuaian kekunci dan tombol dan pelbagai lagi melalui perisian Razer Synapse.

Keputusan Razer untuk menggunakan suis optikal berprofil pastinya akan menyebabkan pendapat yang berbelah bagi. Pastinya akan ada mereka yang merasakan bahawa menaip dengan suis optikal tidak se-selesa seperti menggunakan suis optikal, manakala akan ada juga yang mengatakan bahawa suis berprofil rendah ini lebih sesuai digunakan untuk tujuan gaming semata-mata.

Bagi saya, papan kekunci ini dilihat sebagai satu pilihan yang baik untuk mereka yang mampu, ataupun sekiranya anda seorang peminat tegar Razer yang sudahpun memiliki ekosistem aksesori lain seperti tetikus, fon kepala, mikrofon dan sebagainya.

Jika anda tidak begitu mementingkan ciri-ciri seperti sambungan nirwayar Bluetooth ataupun WiFi, Razer Deathstalker v2 biasa juga ditawarkan di pasaran tempatan pada harga RM799 yang masih lagi pada saya tidaklah begitu jauh daripada harga permintaan untuk siri Pro, tetapi sekurang-kurangnya masih hadir dengan penjimatan sekitar RM200.

Pro:

  • Rekaan nipis dan ringan
  • Bersaiz penuh
  • Sokongan sambungan berwayar, Bluetooth dan WiFi
  • Tekanan aktivasi rendah sesuai untuk sejumlah permainan komputer yang memerlukan refleks tinggi
  • Sokongan Razer Synapse 3
  • Pencahayaan RGB yang cantik
  • Bateri yang bertahan lama

Kontra:

  • Harga kayangan
  • Suis optikal linear berasa sedikit lembik
  • Papan kekunci bersaiz penuh mungkin bukan untuk semua sekarang
© 2023 Amanz Media Sdn Bhd