Carian
Xiaomi 12T Pro Tertiris Dengan Kamera 200MP Dan Snapdragon 8+ Gen 1
August 16, 2022 Amy Maizuraa

Desas-desus mengenai peranti Xiaomi dengan kamera bersensor 200MP sudah mula kedengaran sejak Jun lalu. Seakan-akan mengiyakan perkara itu, terdapat satu ciapan di Twitter yang didakwa berkongsi mengenai butiran utama pada peranti.

Mungkin dikenali sebagai Xiaomi 12T Pro, ia dikhabarkan hanyalah sebuah Redmi K50 Extreme Edition (Redmi K50 Ultra) yang dijenama semula untuk pasaran Global kelak. Perubahan ketara yang dilakukan hanya pada sensor utama di mana ia menyokong kamera bersensor 200MP. Bagaimanapun, maklumat lanjut mengenai sensor utama berkenaan masih belum diketahui. Melengkapi sistem kamera ini juga adalah sensor ultra-lebar 8MP dan 2MP pula untuk makro.

Disebabkan kedua-duanya didakwa sebagai peranti yang sama, maka skrin 6.7-inci AMOLED 120Hz dan cip Snapdragon 8+ Gen 1 akan digunakan pada peranti. Selain daripada itu, bateri 5000mAh dengan pengecasan pantas 120W, kamera swafoto 20MP dan pengimbas cap jari di skrin turut melengkapinya. Pengenalannya dijangka sekitar September depan, tetapi tiada tarikh pelancaran khusus yang diketahui.

Komen