Carian
Xiaomi 12T Melepasi SIRIM – Pelancaran Mungkin Tidak Lama Lagi
August 18, 2022 Fahim Zahar

Siri Xiaomi T adalah antara yang popular di Malaysia kerana menawarkan spesifikasi hebat, kamera berkualiti dan dijual pada harga yang mampu milik berbanding peranti premium lain. Tahun ini Xiaomi dijangka akan hadir dengan Xiaomi 12T dan Xiaomi 12T Pro.

Masih tiada sebarang maklumat rasmi lagi mengenai dua peranti ini, tetapi Xiaomi 12T dan Xiaomi 12T Pro sudah pun melepasi SIRIM sejak Julai lalu. Ini bermakna, peranti akan dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi.

Xiaomi 12T Pro dijangka akan hadir dengan kamera 200MP, dijana cip Snapdragon 8+ Gen 1, bateri 5000mAh dengan pengecasan pantas 120W, skrin 6.7-inci OLED 120Hz dengan resolusi 1.5K serta pengimbas cap jari bawah skrin. Peranti ini dilihat adalah Redmi K50 Ultra/Extreme Edition yang dijenamakan semula sahaja.

Untuk Xiaomi 12T pula, ia dijangka akan menggunakan skrin 6.67-inci OLED dengan resolusi 1220 x 2712 piksel dengan kadar segar semula 144Hz. Cip pula dikatakan adalah Dimensity 8100-Ultra, kamera 108MP dan pengecasan 67W.

Setakat ini, Xiaomi Malaysia hanya akan melancarkan Xiaomi 12 Lite sebagai peranti baharu mereka. Tidak pasti lagi bila dua peranti Xiaomi 12T ini akan dilancarkan, sama-sama kita nantikan.

Komen