Xiaomi tahun ini tidak serancak seperti tahun lepas dengan lambakan peranti Xiaomi Mi 11 atau Redmi Note 11. Tahun ini Xiaomi lebih perlahan, tetapi masih mampu menarik perhatian orang ramai seperti dengan Xiaomi 12S Ultra dengan kamera Leica, robot CyberOne, Redmi K50 Ultra dan banyak lagi.

Xiaomi Malaysia hari ini telah melancarkan peranti Xiaomi 12 baharu iaitu Xiaomi 12 Lite sebagai pengganti kepada Xiaomi 11 Lite 5G NE. Malah Xiaomi 12 Lite secara keseluruhannya masih lagi sama dengan model lalu dengan sedikit perubahan sahaja.

Xiaomi 12 Lite masih menggunakan skrin OLED 6.55-inci, tetapi kini dengan sokongan kadar segar semula 120Hz dan bukan lagi 90Hz. Ia turut menyokong paparan Dolby Vision dan HDR10+ yang boleh memberi warna yang lebih tajam dan terang. Cip pemprosesan juga masih sama iaitu Snapdragon 778G, tetapi memori kini tiada lagi 6GB RAM sebaliknya hanya mempunyai 8GB RAM LPDDR4X dengan storan dalaman 128/256 GB UFS 2.2.

Untuk kamera, peranti ini menggunakan modul kamera yang lebih kurang sama dengan Xiaomi 12. Tetapi untuk sensor ia dilihat menggunakan 108MP Samsung HM2, f/1.88 yang digabungkan dengan sensor 8MP f/2.2 sudut ultra lebar dan 2MP f/2.4 makro. Kamera belakang peranti turut menyokong sistem fokus penjejakan mata, rakaman pergerakanm mod malam baharu dan ciri AI Cinema satu-klik.
Untuk kamera swafoto pula peranti ini menggunakan sensor 32MP GD2 f/2.45 dengan ciri memfokuskan mod potret serta Xiaomi Selfie Glow iaitu dwi-LED flash di hadapan.

Xiaomi 12 Lite turut menjalankan MIUI 13 berasaskan Android 12. Untuk bateri ia hadir dengan kapasiti 4300mAh dengan sokongan pengecasan pantas 67W Xiaomi AdaptiveCharge. Untuk audio, ia hadir dengan sistem stereo yang ditala oleh Dolby Atmos. Sokongan 5G turut terdapat pada peranti ini.

Untuk rekaan, Xiaomi 12 Lite menggunakan rekaan rata secara keseluruhan yang masih sama dan mempunyai tubuh yang ringan untuk mudah dikendalikan. Di Malaysia, Xiaomi menawarkan pilihan warna Lite Green, Lite Pink dan hitam dengan harga jualan RM1,699 untuk 8/128 GB dan RM1,899 untuk 8/256 GB.

Pra-tempahan akan bermula pada 19 Ogos sehingga 26 Ogos dengan potongan harga RM100. Mereka yang membeli di kedai rasmi Xiaomi akan menerima penimbang pintar, beg sandang dan botol air. Sementara mereka yang beli melalui Shopee atau Lazada akan menerima Redmi Buds 3 Lite secara percuma.
