Cari @ Amanz

WhatsApp Communities merupakan satu ciri yang menawarkan kebolehan buat pengguna menguruskan WhatsApp Group dengan lebih baik. Jika sebelum ini ia hanya diuji untuk sebilangan pengguna kecil sahaja, akhirnya ciri berkenaan bakal ditawarkan kepada semua pengguna. Dalam satu kenyataan, WhatsApp memaklumkan yang mana pengguna di Malaysia akan mendapat akses awal mendahului pelancaran global.

Menerusi ciri WhatsApp Communities, beberapa WhatsApp Groups yang berkait boleh dihimpunkan di bawah satu halaman sekaligus memudahkan pengurusan untuknya. Misalnya, pengguna boleh membentuk sebarang komuniti berkaitan kerja, pembelajaran atau lain-lain, seterusnya ia disertai oleh kumpulan (Groups) berbeza yang berkait dengannya. Ia bukan sahaja memudahkan pengurusan, malahan turut membolehkan pentadbir (admin) membuka sebarang perbincangan lebih kecil berdasarkan topik yang mahu dibincangkan dengan lebih baik.

Dalam masa sama, pentadbir juga boleh menghantar mesej pengumuman kepada semua ahli menerusi kumpulan tertentu. Kemudian hanya pentadbir dan ahli tertentu yang diberi kebolehan untuk menambah masuk ahli baru ke dalam komuniti, sama ada secara individu atau menerusi pautan undangan. Kemas kini ini akan diperkenalkan secara berperingkat dalam tempoh beberapa minggu yang mendatang.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd