Rangkaian peranti di bawah siri Poco M sering memfokuskan terhadap ciri serta fungsi yang memadai, misalnya seperti ketahanan bateri cukup panjang. Kebanyakan daripadanya juga dijual dengan tanda harga yang mampu milik. Terbaru, model kemas kini buat siri berkenaan dijangka tiba tidak lama lagi berikutan munculnya desas-desus awal mengenai kewujudan Poco M5.

Mengulas dengan lebih lanjut, ia mungkin dilancarkan sebagai peranti 4G yang dijana cip MediaTek Helio G99. Ini merupakan cip berasaskan 6nm yang memfokuskan terhadap peranti permua mampu milik. Selain daripda itu, peranti juga dijangka memuatkan bateri 5,000mAh yang menyokong pengecasan 33W, memori sehingga 6GB RAM dan skrin LCD sebesar 6.58-inci beresolusi FHD+.
Seterusnya, sumber turut menyatakan pelancaran untuk peranti ini dijangka berlangsung sekitar bulan September hadapan. Namun, tiada tarikh khusus yang didedahkan buat masa ini. Dalam masa sama, jangkaan awal juga menyasarkan harga jualan peranti mungkin di bawah INR15,000 (~RM843) untuk model asas.