Carian
Ulasan Honor 70 5G – Kamera Baik Dalam Tubuh Menarik
August 24, 2022 Amy Maizuraa

Honor 70 merupakan sebuah lagi peranti baru daripada Honor buat segmen pertengahan mereka. Ia mempunyai rekaan yang premium di samping beberapa titik jualan utama yang menarik. Misalnya seperti kamera utama dengan sensor Sony IMX800, bateri lebih besar dan cip pemproses lebih baik. Tetapi, apa lagi perkara lebih lanjut yang perlu anda tahu mengenai telefon pintar ini? Dengan tanda harga RM1999 yang dilihat sama seumpama model terdahulu, adakah berbaloi untuk anda memilikinya sebuah? Kami akan ceritakan dalam artikel ulasan di bawah.


Spesifikasi Ringkas Peranti

Telefon PintarHonor 70
Skrin6.67-inci OLED, 120Hz, FHD+, (1080 x 2400 piksel) (~395 ppi)
PemprosesSnapdragon 778G+ 5G (6 nm)
1 x 2.5 GHz Cortex-A78
3 x 2.4 GHz Cortex-A78
4 x 1.8 GHz Cortex-A55
Cip GrafikAdreno 642L
RAM8GB RAM
Muatan Dalaman256GB ROM
Kamera UtamaUtama – 54MP (f/1.9)
Sudut Ultra-Lebar – 50MP (f/2.2)
Kedalaman – 2MP (f/2.4)
Kamera Swafoto32MP (f/2.2)
Bateri4,800mAh
Pengecasan Berwayar 66W
SIM/TelefoniSIM Nano + SIM Nano
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas jari sisi
Imbasan Wajah
Harga JualanRM1,999

Untuk generasi baharu ini, tidak banyak perubahan ketara susulan acuan yang sama seperti sebuah Honor 50 masih dapat dirasai melaluinya. Honor 70 mempunyai skrin sebesar 6.67-inci berbanding 6.57-inci pada model terdahulu. Walaupun sedikit berbeza tetapi ia bukanlah jurang yang besar. Seterusnya, ia turut dipadankan panel sejenis OLED FHD+ (2400 x 1080 piksel) dan kadar segar semula 120Hz. Sebagai pilihan, kadar segar semula 120Hz dinamik dan standard pada 60Hz turut disokong oleh peranti menerusi tetapan bagi mengurangkan penggunaan bateri.

Skrin melengkung pada bahagian siri kiri dan kanan masih dikekalkan sekaligus membolehkannya tampak seakan mempunyai bezel yang kecil seumpama Honor 50. Bukan itu sahaja, malah bahagian dagu dan dahi juga kelihatan kecil. Pengimbas cap jari turut diletakkan di bahagian bawah skrin. Ianya pantas dan mampu mengesan cap jari dengan baik apabila diletakkan pada ikon sensor. Tetapi, kedudukannya dirasakan terlalu bawah berbanding biasa. Sebagai pilihan, peranti juga boleh dibuka menggunakan beberapa tetapan sekuriti lain seperti sistem imbasan wajah dan penetapan kata laluan atau nombor pin.

Panel belakang diperbuat daripada plastik yang berkilat seumpama Honor 50, di samping turut masih mempunyai dwi-bonggol kamera. Ia bagaimanapun lebih tinggi berbanding pendahulunya, pada masa sama sistem tri-kamera digunakan di sini. Kesemua kamera ini disusun secara menegak dengan satu Flash LED. Honor 70 yang kami terima untuk artikel ulasan ini berwarna Crystal Silver. Lebih menarik, ia dilengkapi motif berbentuk berlian yang cantik untuk dilihat apabila terdapatnya pantulan cahaya.

Kesemua butang kawalan diperbuat dengan binaan yang teguh. Malangnya buat mereka yang masih bergantung harap dengan fon telinga berwayar kerana Honor 70 tidak menyertakan bicu audio 3.5mm. Sekaligus, pembelian beberapa aksesori tambahan seperti fon telinga nirwayar atau dongel adalah diperlukan. Tambahan pula, Honor langsung tidak menyediakan sebarang aksesori tambahan di dalam kotak pembelian.

Butang kuasa dan laras audio diletakkan pada sisi kanan, sementara itu sisi kiri pula dilihat kosong. Begitu juga dengan sisi atas yang hanya disertakan lubang untuk mikrofon. Di bawah pula terdapatnya slot kad SIM, port USB-C, lubang mikrofon dan kekisi pembesar suara. Peranti juga sekadar menyokong kebolehan dwi-nano tanpa sokongan tambahan untuk kad mikroSD.

Seterusnya, cip Snapdragon 778+ dengan binaan 6nm digunakan sebagai tunjang utama peranti. Ini adalah kemas kini lebih baik berbanding model sebelumnya yang menggunakan Snapdragon 778G. Ia juga mempunyai teknologi grafik GPU Turbo X untuk pengalaman permainan yang lebih lancar.

Padanan memori pula 8GB RAM dan storan dalaman 256GB, di samping turut menyokong ciri Honor RAM Turbo yang membolehkan ruangan dikembangkan sehingga 2GB RAM secara maya. Ia juga dimuatkan dengan kapasiti bateri lebih besar iaitu 4,800mAh dengan sistem pengecasan berwayar yang masih dikekalkan dengan kuasa output 66W.

Tiada sensor 108-Megapixel, sebaliknya Honor menggantikannya dengan 54-Megapixel Sony IMX800 Super Sensing (f/1.9) untuk sensor utama. Bersama-sama dengannya, Honor turut memuatkan sensor 50-Megapixel (f/2.2) untuk kebolehan ultra-lebar dan makro. Seterusnya, sensor kedalaman 2-Megapixel (f/2.4) turut disertakan sebagai pelengkap kepada semua sensor yang dinyatakan tadi. Kebolehan zum pula boleh mencapai 10X secara dinamik.

Pada bahagian hadapan pula sensor sebesar 32-Megapixel (f/2.4) digunakan untuk tangkapan swafoto dan rakaman video beresolusi 1080P. Sementara itu, kemampuan merakam video menggunakan kamera belakang bagaimanapun lebih baik dengan tetapan maksimum 4K HDR. Tiada kebolehan mengambil gambar pada nisbah 16:9, sebaliknya ia sekadar menyokong pada nisbah 1:1, 4:3 dan penuh.

Seperti yang pernah kami katakan, setiap perkara itu ada pro dan kontranya. Sama seperti peranti ini sendiri yang tidak melepasi sebarang piawaian kalis dan debu. Agak mengecewakan kerana ia menjadi keperluan bagi memastikan peranti tidak mudah rosak. Bukan itu sahaja, sokongan audio juga sekadar mono dan tidak menyertakan kebolehan pengecasan secara nirwayar.


Pengalaman Penggunaan

Pengalaman memegang Honor 70 5G adalah sama seumpama sewaktu kami membuat ulasan untuk Honor 50 sebelum ini. Sungguhpun daripada keluarga peranti kelas pertengahan, tetapi binaannya langsung tidak terasa murah, malahan cukup anggun serta premium. Tubuh Honor 70 5G dilengkapi dengan bingkai sisi logam yang kukuh, sementara itu panel belakang pula diperbuat daripada polikarbonat.

Benar, kemasan ini masih lagi berkualiti tinggi seperti yang dilihat pada Honor 50 sebelum ini. Peranti terasa ringan dan nipis dengan bantuan skrin melengkung di kedua-dua sisi menjadikannya selesa untuk dipegang di tangan. Lengkungannya bagaimanapun terasa sedikit tajam apabila dicengkam dengan erat.

Hal ini bagaimanapun bergantung pada pengguna sendiri untuk memutuskan sama ada suka atau tidak. Ia sememangnya cantik untuk dilihat namun sebenarnya turut boleh menimbulkan ketidakselesaan buat sesetengah pengguna kerana lebih banyak mendatangkan masalah berbanding ciri tambahan yang menarik. Misalnya seperti imej atau video melimpah keluar ke sisi, dalam masa sama menyu6karkan proses mengakses sesetengah elemen antara muka.

Bukan itu sahaja, ia juga sedikit sebanyak mengundang masalah tersentuh tanpa sengaja pada skrin peranti, terumata sekali sewaktu sedang menaip mesej. Prestasi skrin adalah baik dengan olahan warna dan kecerahan yang cukup bermaya. Ini sekaligus menjadikan setiap kandungan video atau permua yang dipaparkan kelihatan baik sekali. Penggunaan di bawah matahari juga memuaskan kerana kandungan pada skrin mudah untuk dibaca.

Pengalaman menatal juga terasa lancar dengan skrin 120Hz yang diaktifkan. Kami mendapati ia berfungsi dengan baik, dalam masa sama padanan memori dan storan yang memadai turut membolehkan sejumlah aplikasi dapat dilancarkan secara serentak. Kami menggunakan peranti untuk pelbagai tugas harian juga terasa baik dengan peralihan animasi yang baik.

Isu pemanasan yang melampau juga tidak kami alami sepanjang tempoh ulasan. Seterusnya, mana-mana aplikasi atau perkhidmatan yang memerlukan log masuk Google seperti Google Playstore, YouTube, Maps, Mail dan sewaktu dengannya boleh diakses tanpa masalah kerana adanya GMS.

Perkara ini semestinya akan menggembirakan pengguna yang mahukan sebuah peranti dengan DNA Huawei tetapi boleh mengakses perkhidmatan Google. Tambahan pula, penggunaan pelancar MagicUI 6.1 berasaskan Android 12 kelihatan mirip seperti EMUI dengan ikon, susunan menu tetapan, ciri dan pilihan kustomasi adalah sama. Antara muka juga tampak minimalis dan mudah dipelajari.

Kebolehan fail yang boleh dibesarkan seumpama ColorOS 13 turut disokong sekaligus bantu mempercepatkan proses membuka aplikasi. Ia boleh dilakukan secara terus daripada papan pemuka utama tanpa keperluan untuk membuka folder.

Penanda Aras

Cip Snapdragon 778G+ yang digunakan pada peranti ini adalah sama dengan yang digunakan pada Nothing Phone (1) maka adalah serasi jika kedua-dua marka penanda aras Antutu 3D dan Geekbench 5 peranti dibandingkan.

AnTuTu 3D

  • Honor 70 5G : 554,434
  • Nothing Phone (1): 583,079

Geekbench 5

  • Honor 70 5G: 814/2926
  • Nothing Phone (1): 819/2935

Tiada perbezaan besar dalam markah yang dicatatkan dengan Honor 70 berfungsi dengan lancar dengan tiada isu menjalankan aplikasi-aplikasi popular di pasaran.


Prestasi Kamera

Honor 70 menyediakan ciri fotografi dan videografi yang pelbagai dengan antara muka kamera yang mudah digunakan. Ia merangkumi Aperature, Night, Portrait, Photo, Video, Multi-Video, Pro, Slow-Mo, Panorama, HDR, Time-Lapse, Stickers, Document, Super Macro, High-Res, Solo-Cut dan Story. Kesemua ciri serta fungsi ini dimuatkan berfungsi dengan lancar dan dimuatkan dalam tubuh peranti yang dibekalkan dengan sistem tri-kamera 54MP + 50MP + 2MP dan kamera swafoto 32MP. Resolusi rakaman video maksimum pula ialah 4K 60 FPS.

Tiada sokongan untuk OIS, sebaliknya peranti sekadar disertakan dengan EIS. Di antara senarai fungsi serta ciri yang dinyatakan tadi, ciri Solo-Cut sebenarnya agak menarik untuk digunakan. Ia berfungsi seumpama rakaman dual-view tetapi lebih menarik dengan kebolehan menjejak objek tertentu di dalam video. Kedua-dua rakaman dilihat mampu menghasilkan rakaman yang berkualiti tinggi dengan masalah hingar yang minima.

Kemampuan kamera utama turut boleh dipuji dengan penghasilan semula imej yang baik tanpa kelihatan kusam dalam pelbagai situasi. Ini termasuklah pada pencahayaan yang rendah dengan hasil lebih memuaskan jika dibandingkan dengan kualiti gambar pada Honor 50 sebelum ini. Kamera juga mampu menangkap gambar dengan pantas. Warna yang dihasilkan juga nampak hidup dengan perincian pada subjek yang teliti kecuali apabila digunakan untuk tangkapan gambar potret. Harus kami akui kekurangan ketara terletak pada isu edge detection yang tidak sempurna. Bukan sahaja helaian rambut manusia, malahan objek yang rata seperti tudung juga tidak mampu dipisahkan dengan baik. Seperkara lagi yang kami perasan, peralihan antara mod kamera pada unit ulasan kami turut menunjukkans sedikit sela masa. Tetapi kami berharap agar pemasalahan ini tidak berlaku pada model yang akan dijual.

Seterusnya, rakaman gambar ultra-lebar nampak baik sahaja dengan herotan imej yang minima. Mod malam pula boleh diaktifkan secara manual menerusi aplikasi kamera dan masa tangkapan adalah bergantung pada sumber cahaya semasa. Semakin kurang cahaya, semakin lama masa yang diambil untuk tangkapan dibuat. Ia menunjukkan hasil yang baik dengan pewarnaan lebih terang berbanding tangkapan menggunakan mod automatik.

Mod Malam OFF
Mod Malam ON

Sungguhpun begitu, kami menyedari terdapat sedikit masalah dedahan berlebihan sewaktu gambar diambil di kawasan yang terang dengan sumber cahaya. Misalnya, lampu jalan menunjukkan dedahan berlebihan apabila fokus diberikan pada persekitaran. Tetapi persekitaran mula berubah menjadi gelap gelita apabila fokus diubah pada lampu itu sendiri. Kebolehan zum pula mencapai 10X secara digital, tetapi kemampuan yang baik sekadar pada 5X.

Namun begitu, prestasi kamera dilihat mula merudum apabila di zum dengan perincian yang hilang dan warna menjadi kusam. Terutamanya, gambar yang diambil pada tetapan zum 10X. Kita juga sering dimomokkan dengan tanggapan kebolehan makro pada peranti sekadar gimik, namun sokongan mod makro terbina sedikit sebanyak membantu untuk tangkapan gambar makro yang baik.

Mungkin tidak sempurna tetapi baik-baik sahaja untuk digunakan. Akhir sekali, tangkapan gambar swafoto juga memberi hasil memuaskan, di samping ia turut menyediakan mod kecantikan terbina yang boleh di laras mengikut kesesuaian.


Ketahanan Bateri

Bateri 4,800 mAh yang digunakan adalah lebih besar berbanding 4,300 mAh yang digunakan pada Honor 50. Pada penggunaan berat ia bertahan dengan bacaan SOT mencapai 7 jam, sementara itu penggunaan sederhana pula meningkat ke 11 jam. Penggunaan yang ringan dengan tetapan skrin 120Hz dinamik turut membolehkan peranti bertahan seharian penggunaan. Proses pengecasan semula pula boleh dilakukan dengan sistem pengecasan 66W yang pantas. Bateri boleh dicas sepenuhnya dalam masa mencapai 50 minit. Tidak ada sokongan pengecasan nirwayar yang diberikan.


Audio

Sistem audio yang disertakan adalah sejenis mono. Ia memang mengecewakan kerana membuatkan kekuatan audio kurang seimbang. Kesan bunyi akibatnya sedikit terjejas terutamanya pada kelantangan tertinggi. Penggunaan fon telinga adalah disarankan untuk pengalaman audio lebih baik. Sekali lagi perlu diingatkan, peranti tidak menyertakan bicu audio 3.5mm.


Perbandingan Pesaing

Honor 70Nothing Phone (1)
Oppo Reno8
6.67″ OLED, 120Hz, FHD
(~395 ppi)
6.55″ OLED, 120Hz, FHD+ (~402 ppi)6.4″ AMOLED 90Hz, FHD+ (~411 ppi)
Snapdragon 778G+ 5G (6 nm)
1 x 2.5 GHz Cortex-A78
3 x 2.4 GHz Cortex-A78
4 x 1.8 GHz Cortex-A55
Snapdragon 778G+ 5G (6 nm)
1 x 2.5 GHz Cortex-A78
3 x 2.4 GHz Cortex-A78
4 x 1.8 GHz Cortex-A55
MediaTek Dimensity 1300 (6nm)
1 x 3.0 GHz Cortex-A78
3 x 2.6 GHz Cortex-A78
4 x 2.0 GHz Cortex-A55
Adreno 642LAdreno 642LMali-G77 MC9
8GB RAM LPDDR5
256GB ROM UFS3.1
8/12GB RAM LPDDR5
256GB ROM UFS3.1
8GB LPDRR4X
128GB UFS 3.1
Utama – 54MP (f/1.9) (EIS)
Sudut Ultra-Lebar & Kedalaman – 50MP (f/2.2)
Makro -2MP (f/2.4)
Sudut Lebar – 50MP (OIS)
Sudut Ultra Lebar – 50MP
Utama – 50MP (f/1.8)
Sudut Lebar – 8MP (f/2.2)
Makro-2MP (f2.4)
32 MP (f/2.5)32 MP (f/2.2)32 MP (f/2.5)
NFCNFCTiada
TiadaIP53Tiada
Audio MonoAudio StereoAudio Stereo
4,800mAh
(Berwayar 66W)
4,500 mAh
(33W Berwayar PD 3.0)
4,500mAh
(Berwayar 80W)
RM1,999 (8/256GB)RM2,399 (8/256 GB)
RM2,699 (12/256 GB)
RM2,399 (8/128 GB)

Kesimpulan

Agak mengejutkan apabila Honor masih mengekalkan harga jualan yang sama seumpama Honor 50 sebelum ini. . Ia mungkin tidak sempurna sepenuhnya, namun anda boleh mendapatkan peranti dengan paparan, prestasi, kamera dan hayat bateri yang baik. Malahan sekiranya anda gemar mengambil gambar terutamanya dalam pencahayaan rendah maka Honor 70 antara pilihan yang baik. Honor turut berinovasi dengan ciri fotografi dan videografi yang pelbagai terutamanya menerusi Solo-Cut Mode.

Paling penting, ia turut menyokong perkhidmatan GMS dan sambungan 5G untuk penggunaan jangka masa panjang. Malangnya, kekurangan pula terletak pada pembesar suara mono, tiadanya bicu audio 3.5mm dan tidak menyokong slot kad mikro SD serta kebolehan OIS pada kamera. Dalam pada itu, peranti juga tidak melepasi penarafan rintangan air sekaligus memerlukan penjagaan yang rapi sewaktu menggunakannya untuk jangka masa. Bagi yang berminat, Honor 70 dijual pada RM1,999 sebuah.


Pro

  • Rekaan yang premium, ringan dan nipis.
  • Skrin cukup baik dengan tatalan yang lancar.
  • Antara muka minimalis, lancar dan mudah dipelajari.
  • Prestasi memuaskan untuk sebuah kelas pertengahan.
  • Kamera baik dengan ciri fotografi dan videografi yang pelbagai.
  • Bateri besar dengan pengecasan pantas.

Kontra

  • Audio kurang memuaskan.
  • Tiada penarafan kalis air.
  • Tiada bicu audio 3.5mm.
  • Tiada ruang tambahan kad mikro SD.
  • Tiada sokongan OIS.
Komen