Cari @ Amanz

Razer hari ini telah melancarkan tetikus gaming baharu dalam siri Basilisk, iaitu Basilisk V3 Pro – tetikus dengan rekaan tirus ke depan untuk cengkaman yang baik. Berbeza dengan Deathadder V3 Pro sebelum ini, Basilisk V3 Pro hadir dengan sokongan lampu RGB 13 zon Razer Chroma untuk memeriahkan lagi meja gaming pengguna.

Banyak elemen rekaan masih sama dengan Basilisk V3 biasa. Tetapi dalamannya lebih berkuasa seperti penggunaan suis optikal Razer baharu dan roda skrol yang boleh berubah-ubah antara mod taktil dan mod putaran bebas. Sensor yang digunakan pula adalah jenis 30,000 DPI untuk kawalan yang lebih jitu dan pantas. Jika itu tidak cukup, ciri daripada DeathAdder V3 Pro iaitu Razer HyperPolling Wireless Dongle turut disertakan agar boleh mengubah kadar respons kepada 4000Hz dengan sela masa 0.25ms. Tetapi dongel ini perlu dibeli secara berasingan.

Razer Basilisk V3 Pro turut menyokong pengecasan nirwayar dengan menawarkan dermaga pengecasan tersendiri, Razer Mouse Dock Pro. Setiap pembelian pengecas nirwayar ini, modul magnetik untuk mengaktifkan pengecasan nirwayar juga disertakan. Modul ini akan menggantikan penutup plastik di bawah tetikus, tempat menyimpan dongel nirwayar 2.4GHz. Pengecasan nirwayar pada tetikus ini turut menyokong Qi, jadi pengguna bebas memilih untuk membeli dermaga sekali atau hanya modul magnetik ini. Selain itu sokongan Hyperspeed untuk penggunaan ke banyak peranti turut dikekalkan.

Harga jualan Razer Basilisk V3 Pro adalah bermula dari RM799. Anda boleh senarai harga di bawah untuk berkas yang mereka tawarkan;

  • Basilisk V3 Pro + Wireless Charging Puck – RM859
  • Basilisk V3 Pro + Mouse Dock Pro – RM1,019
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd