OnePlus 10T adalah peranti mercu baharu OnePlus yang baru sahaja dilancarkan beberapa minggu lalu. Ia adalah peranti mercu mampu milik daripada OnePlus yang memfokuskan kepada prestasi dengan menggunakan cip Snapdragon 8+ Gen 1, iaitu cip peranti Android paling berkuasa sekarang. Walaupun menggunakan rekaan seumpama OnePlus 10 Pro, peranti ini bukanlah penggantinya.

Selepas beberapa minggu menggunakan peranti ini sebagai peranti harian, saya kongsi pengalaman penggunaan serta pendapat adakah peranti in berbaloi untuk dimiliki? OnePlus 10T pada saya adalah cubaan OnePlus untuk menarik perhatian orang ramai yang tidak pernah menggunakan peranti mereka. Tetapi adakah mereka berjaya?
Spesifikasi Dan Rekaan
OnePlus 10T | |
---|---|
Skrin | 6.7″ Fluid AMOLED, 2412 x 1080 FHD+ (394 ppi) , 120Hz, HDR10+ |
Pemproses | Snapdragon 8+ Gen 1 (4nm) |
Cip | 1x 3.19 GHz Cortex-X2 3x 2.75 GHz Cortex-A710 4x 1.80 GHz Cortex-A510 |
Cip Grafik | Adreno 730 |
RAM | 16GB LPDDR5 |
Muatan Dalaman | 256 GB UFS 3.1 |
Kamera Utama | 50MP f/1.8, OIS 8MP f/2.2, sudut ultra lebar 2MP f/2.4, makro Nightscape, Super Stable, Video Nightscape, RAW |
Kamera Swafoto | 16 Megapixel, f/2.4 |
Bateri | 4,800 mAh Pengecasan berwayar 150W |
SIM/Telefoni | Dwi SIM nano |
NFC | Ada |
Audio | Stereo, Dolby Atmos |
Kalis Air | Tiada |
Sistem Imbasan | Imbasan jari bawah skrin |
Harga Jualan | RM 3,199 (16/256 GB) |
Secara keseluruhan, OnePlus 10T masih nampak seperti sebuah OnePlus 10 Pro sahaja. Ia menggunakan panel kaca di belakang, bonggol kamera gergasi, skrin hadapan dengan bezel hampir sekata dengan lubang pada skrin dan mempunyai rupa bentuk sebagai sebuah peranti yang premium.

Peranti ini menggunakan skrin 6.7-inci FHD+ Fluid AMOLED dengan sokongan kadar segar semula tinggi 120Hz yang menggunakan sistem adaptif tetapi skrin bukan dari jenis LTPO. Peranti dijana dengan cip pemprosesan Snapdragon 8 + Gen 1 dan dipadankan dengan memori 16GB RAM LPDDR5 serta storan dalaman 256GB UFS 3.1 dengan sokongan memori maya sehingga 7GB. Peranti turut hadir dengan sistem speaker stereo, pengimbas cap jari bawah skrin dan bateri 4800mAh yang menyokong pengecasan pantas 150W.

OnePlus turut telah membuang suis lungsur ikonik mereka, yang mana menjadikan peranti ini sebagai peranti mercu pertama mereka tidak mempunyainya. Ini adalah satu isu besar untuk saya, kerana selama ini suis inilah yang menjadikan peranti OnePlus unik dan berbeza dengan peranti lain. Di bawah syarikat BBK, suis ini telah digunakan pada peranti Vivo.
Untuk kamera, walaupun bonggol besar digunakan sensor sebenar adalah 50MP+8MP+2MP sahaja. Ia adalah konfigurasi kamera yang kerap digunakan pada banyak peranti kelas pertengahan sekarang. Memandang OnePlus menyatakan OnePlus 10T tidak memfokuskan pada kamera dan lebih kepada prestasi, sistem kamera Hasselblad turut tidak disertakan.

Sambungan kepada skrin peranti ini, saiz 6.7-inci dengan panel Fluid AMOLED yang hanya mempunyai resolusi FHD+ adalah satu turun taraf berbanding OnePlus 10 Pro yang menyokong QHD+. Tetapi saya terkejut dengan kualiti skrin pada peranti ini yang cukup terang, warna yang sangat tajam dan cantik, warna hitam yang benar-benar gelap dan sedia menyokong HDR10+ pada Netflix tanpa sebarang masalah.
Menonton video pada peranti ini adalah sangat memuaskan, kerana paparan yang luas, besar dan lebar. Saya banyak menghabiskan masa dengan peranti ini untuk menstrim video. Netflix dan YouTube dilihat tiada masalah, tetapi pada Prime Video kandungan FHD dilihat sukar untuk dimainkan dan kerap tergendala. Tetapi tidak semua kandungan mengalami masalah ini, cuma ia satu perkara yang aneh kerana kandungan ini hanya bermasalah pada OnePlus 10T dan tidak berlaku pada peranti lain.

Sokongan kadar segar semula 120Hz pada peranti ini juga cukup pantas, lancar dan stabil. Sejak sokongan kadar segar semula tinggi mula digunakan pada siri OnePlus 7 Pro, yang hanya bergantung kepada perisian – ia jarang mengecewakan. Walaupun bukan panel AMOLED dengan teknologi LTPO, kadar segar semula pada peranti OnePlus 10T ini boleh dikatakan cukup hebat dan setanding dengan peranti mercu di pasaran sekarang.
Penggunaan Dan Perisian
OnePlus 10T masih lagi menjalankan Oxygen OS 12.1 berasaskan Android 12 yang mereka katakan adalah tersendiri, kerana belum bergabung lagi dengan Color OS. Tetapi untuk saya yang banyak menguji peranti Oppo, Realme dan mengenali Oxygen OS zaman Carl Pei – Oxygen OS 12.1 sebenarnya banyak persamaan dengan peranti-peranti Oppo dengan pengalaman penggunaan seakan peranti Realme.

Banyak elemen Color OS disertakan dalam perisian yang digunakan, tetapi identiti OnePlus itu masih terpelihara. Sedikit. Ini bukan satu masalah untuk saya, selagi konsep Oxygen OS sebenar itu masih dikekalkan iaitu satu sistem operasi yang lancar dan pantas seakan Android asli. Walaupun tiada rupa, tetapi ia pantas seakan peranti tidak menggunakan tema yang berat.
Sepanjang penggunaan peranti ini, saya tidak pernah alami langsung masalah sistem tergendala dan masalah lengah masa. Peranti sentiasa berjalan dengan lancar dan pantas seperti sebuah peranti mercu sebenar.


Antara perkara yang masih saya tahu peranti ini masih lagi peranti OnePlus adalah ciri RAM Boost yang sudah lama ada sejak OnePlus 7T, Zen Mode, ikon Oxygen, Game Mode mereka yang tersendiri dan paling penting yang masih dikekalkan sehingga hari ini adalah OnePlus Shelf iaitu ruangan widget khas tersembunyi yang tidak memakan ruangan di skrin utama. Saya masih selesa menggunakan peranti ini walaupun ia bukan lagi yang terbaik dan kegemaran saya. Saya boleh menjalankan banyak aplikasi serentak, menulis artikel, bermain permua, menggunakan kamera, menstrim video dengan lancar sekali.


Mod permua pada peranti OnePlus pula tidak membantu banyak walaupun ada Performance Mode. Ia memberi ciri tambahan seperti menguruskan memori dengan lebih baik, mengubah suara, kawalan sentuhan yang lebih sensitif dan beberapa lagi untuk menjadikan pengalaman bermain permua lebih baik.

Performance Mode tadi lebih kepada pengurusan bateri sahaja. Walaupun begitu, bermain permua pada peranti masih lagi hebat dan menarik kerana memori dan cip yang digunakan. PUBG Mobile boleh dimainkan pada tetapan grafik paling tinggi dan sesi permainan adalah sangat lancar tanpa ada masalah pemanasan. Bermain Asphalt 9 pada peranti juga sangat menyeronokkan dan membuatkan saya mudah untuk fokus dan menjadi tempat pertama di garis penamat.
Penanda Aras
OnePlus nampaknya masih mengehadkan penggunaan CPU mereka seperti yang pernah dilakukan pada OnePlus 9 dan OnePlus 9 Pro tahun lepas. Dalam ujian AnTuTu 3D dan Geekbench 5, peranti tidak dapat menerima skor yang sepatutnya diterima untuk peranti yang dijana cip pemprosesan Snapdragon 8+ Gen 1 dan dipadanakn dengan memori 16GB serta storan dalaman 256GB yang menyokong memori maya 7GB.

Dengan AnTuTu 3D, peranti ini hanya boleh menerima skor 918,160. Sedangkan Black Shark 5 Pro dengan 8GB RAM pun boleh capai sehingga 1 juta. Untuk Geekbench 5 pula, skor yang diperoleh adalah 1040/3485. Ini mungkin berlaku kerana dalam mod permua, OnePlus tidak membenarkan CPU dilewahjam untuk penggunaan yang lebih berkuasa. Di bawah adalah perbandingan dengan peranti Snapdragon 8+ Gen 1 lain yang pernah diuji di makmal Amanz;
AnTuTu 3D
- OnePlus 10T: 918,160
- ROG Phone 6 Pro: 1,099,5132
- Samsung Galaxy Z Flip4: 804,731
Geekbench 5
- OnePlus 10T: 1040/3485
- ROG Phone 6 Pro: 1312/4191
- Samsung Galaxy Z Flip4: 1282/3686
Walaupun skor tidak sehebat peranti pesaing. Pengalaman penggunaan sebenar adalah memuaskan dan sangat pantas. Perkara ini boleh dilakukan kerana peranti menggunakan sistem penyejukan serba baharu yang lebih besar untuk memastikan haba tersebar dengan rata dan tidak pada satu tempat sahaja. Bukan itu sahaja, OnePlus turut menjual kerangka pelindung OnePlus 10T 5G Glacier Mat Case yang mempunyai pad gel untuk menyerap haba agar peranti kekal sejuk ketika pengecasan dan bermain permua.

Telefoni Dan GPS
OnePlus 10T 5G seperti namanya, adalah peranti yang sedia menyokong rangkaian 5G. Tetapi ketika artikel ini sedang ditulis, ia masih belum disenaraikan di laman DNB. Walaupun begitu, untuk sambungan rangkaian 4G peranti ini tidak mengalami sebarang masalah. Ia cukup stabil dan pantas, tidak seperti peranti mercu lain yang harganya jauh lebih mahal. Sambungan WiFi juga dilihat cukup baik, dan jarang saya alami masalah sambungan terputus.
Untuk telefoni, peranti menyokong VoWiFi dan VoLTE dengan rangkaian Maxis. Semua panggilan telefon yang saya terima adalah jelas dan tiada isu dengan gangguan bunyi. GPS juga berfungsi dengan baik, dengan berjaya mengunci lokasi dengan tepat dan memberi arahan selok-belok tanpa saya sesat.
Kamera
Disebabkan OnePlus 10T menggunakan rekaan sama dengan OnePlus 10 Pro dengan bonggol kamera besar, orang yang tidak mengenali jenama ini dan tidak mengikuti perkembangan OnePlus mudah menjadi keliru. Peranti ini tidak mempunyai kemampuan kamera yang sama dengan OnePlus 10 Pro dengan penalaan dan teknologi Hasselblad. Sebaliknya konfigurasi kamera adalah seakan sebuah peranti kelas pertengahan sahaja dan yang menjadikan kamera peranti ini serba boleh adalah cip pemprosesan dan perisian sahaja.
Contoh pertama adalah kamera swafoto, hanya menggunakan sensor 16MP dan tidak ada sebarang keunikan atau kehebatan pun pada peranti yang mencecah lebih RM3K. Hasil yang diberikan tidak begitu memuaskan dan rasa biasa sahaja. Mod potret kamera hadapan juga tidak kemas dengan kesan kabur yang tidak konsisten, sementara sistem fokus tidak begitu bagus.

Kamera utama peranti, iaitu 50+8+2 Megapixel bukanlah satu konfigurasi yang terbaik. Lebih-lebih lagi sensor 2MP untuk makro. Sistem makro pada peranti tidak berkualiti, seakan tiada fungsi langsung kerana tidak mampu memberikan satu imej yang boleh digunakan. Kemudian sensor 8MP untuk sudut ultra-lebar, OnePlus yang dulunya hebat dengannya kini tidak lagi. Malah hasil kamera pada mod ini adalah seakan menggunakan kamera peranti kelas pertengahan sahaja.


Kamera 50MP pada peranti OnePlus dilihat ada baiknya. Pertama sekali adalah pasca-proses yang pantas, sistem fokus yang baik serta hasil warna yang lebih cantik, butiran yang jelas dan secara keseluruhan adalah kamera peranti mercu. Mod 50MP pada peranti ini adalah antara yang terbaik pernah saya saksikan dan uji. Ia mempunyai hasil yang sedap mata memandang dan sejuk sahaja hati melihat.
Apa yang saya tidak gemar pada peranti ini adalah, mod malam mereka iaitu Night Sight. Walaupun AI sudah dimatikan, dan mengambil gambar tanpa menggunakan mod malam – ia tetap digunakan secara automatik. Jika hasilnya memuaskan tidak mengapa, tetapi ini antara AI dan tanpa AI tiada bezanya.


Untuk mod auto pula, yang mana sensor 50MP digunakan tetapi hasil melalui pasca-proses dan dimampatkan menjadikan saiz yang kecil – juga kelihatan baik sekali. Butiran dipelihara dengan baik, warna yang masih tajam, fokus yang jelas pada subjek serta mempunyai nilai HDR yang memuaskan. Tetapi jika kurang cahaya, hasil gambar yang dihasilkan penuh dengan hingar dan mengalami masalah pasca-proses yang melampau sehingga imej seakan menggunakan kamera dengan sensor yang lebih kecil.







Bateri
Buat pertama kalinya dalam sejarah OnePlus, mereka hadir dengan sistem pengecasan paling pantas dalam sejarah. Malah di Malaysia, ia adalah antara yang paling pantas yang anda boleh beli iaitu SuperVOOC 150W. Pengecas yang diberikan pula adalah SuperVOOC 160W dan menjanjikan peranti boleh dicas dari 0% ke 100% dalam masa 10 minit sahaja. Bukan itu sahaja, OnePlus turut mempunyai sistem perlindungan bateri dan kesihatan bateri terbina dalam Oxygen OS untuk peranti boleh digunakan pada jangka masa panjang tanpa alami kerosakan pada bateri.

Biasanya dengan sokongan pengecasan pantas sebegini, saya tidak begitu hiraukan dengan ketahanan bateri kerana hanya mengambil masa yang singkat untuk mengecas peranti. Mengejutkan, OnePlus 10T yang saya gunakan ini mempunyai ketahanan lebih 7 jam SOT untuk penggunaan ringan dan sekitar 5-6 jam SOT untuk penggunaan berat. Untuk saya, peranti ini mempunyai ketahanan bateri yang cukup baik.
Audio
Walaupun OnePlus 10T adalah peranti mercu mampu milik, OnePlus tidak menggunakan penalaan Dirac Tuner seperti pada peranti Nord. Sebaliknya OnePlus menggunakan sistem Dolby Atmos yang lebih dikenali ramai. Walaupun ia bukan sesuatu yang unik, tetapi ia amat membantu untuk menjadikan kualiti audio lebih menarik. Sistem speaker stereo pada peranti cukup kuat dan sepanjang penggunaan untuk mendengar muzik dan tonton video, ia memberikan saya pengalaman yang mengasyikkan. Audio yang dihasilkan juga cukup seimbang dan memuaskan untuk penggunaan harian dan boleh dikatakan ia adalah audio yang baik untuk peranti dalam kelasnya.
Pesaing
OnePlus 10T | ROG Phone 6 | Samsung Galaxy Flip4 |
6.7″ Fluid AMOLED, 2412 x 1080 FHD+ (394 ppi), 120Hz, HDR10+ | 6.78″ AMOLED, 2448 x 1080 FHD+ (395 ppi), 165Hz, HDR10+ | 6.7″, Dynamic AMOLED 2X, 2640 x 1080 FHD+ (425 ppi), 120Hz, HDR10+ 1.9″ Super AMOLED Display, 512 x 260 (302 ppi) |
Snapdragon 8+ Gen 1 (4nm) 1x 3.19 GHz Cortex-X2 3x 2.75 GHz Cortex-A710 4x 1.80 GHz Cortex-A510 | Snapdragon 8+ Gen 1 (4nm) 1x 3.19 GHz Cortex-X2 3x 2.75 GHz Cortex-A710 4x 1.80 GHz Cortex-A510 | Snapdragon 8+ Gen 1 (4nm) 1x 3.19 GHz Cortex-X2 3x 2.75 GHz Cortex-A710 4x 1.80 GHz Cortex-A510 |
Adreno 730 | Adreno 730 | Adreno 730 |
16GB RAM LPDDR5 256 GB UFS 3.1 | 12/16 GB RAM LPDDR5 256/512 GB UFS 3.1 | 8GB RAM LPDDR5 128GB/256GB/1TB UFS 3.1 |
50MP, f/1.8 (utama) 8MP, f/2.2 (sudut ultra-lebar) 2MP, f/2.4 (makro) | 50MP, f/1.9, (utama) 13MP, f/2.2, (ultra-lebar) 5MP, makro | 12MP, f/1.8, OIS (utama) 12MP, f/2.2 (ulta lebar) |
16MP, f/2.4 | 12MP | 10MP, f/2.4 |
Tiada bicu audio 3.5mm | Ada bicu audio 3.5mm | Tiada bicu audio 3.5mm |
Audio Stereo | Audio Stereo | Audio Stereo |
4,800 mAh Pengecasan pantas 150W | 6,000 mAh Pengecasan pantas 65W | 3,700mAh Pengecasan pantas 25W |
RM3,199 (16/256 GB) | RM3,599 (12/256 GB) RM4,399 (16/512 GB) | RM4,099 (8/128 GB) RM4,399 (8/256 GB) RM4,899 (8/1,000 GB) |
Kesimpulan
OnePlus 10T walaupun bukan pengganti kepada OnePlus 10 Pro, ia masih lagi sebuah peranti mercu yang cukup berkuasa dan tidak dinafikan hebat. Peranti ini mempunyai skrin yang cantik, terang, prestasi yang pantas dan lancar, menyokong pengecasan pantas yang gila pantas serta menawarkan satu pakej yang baik untuk mereka yang pentingkan prestasi.
Kamera masih bukan kekuatan untuk peranti ini kerana itu bukan fokus utama. Siri T adalah untuk mampu milik jadi banyak pengorbanan yang dilakukan. Tetapi peranti ini terasa terlampau generik untuk sebuah peranti mercu dan tiada kekuatan spesifik. Lagi-lagi dengan mereka yang telah membuang suis lungsur ikonik mereka. Jadi buat masa ini, keunikan peranti ini adalah sokongan pengecasan 150W SuperVOOC dan peranti dengan cip Snapdragon 8+ Gen 1 paling murah di pasaran tempatan sekarang.

OnePlus 10T dijual pada harga RM3199 dengan memori 16GB RAM dan 256GB storan dalaman. Jika anda inginkan peranti OnePlus terkini, peranti dengan cip paling berkuasa dan tidak ingin habiskan sehingga RM4199 pada OnePlus 10 Pro dengan hanya 12GB RAM – ini mungkin pilihan terbaik. OnePlus 10T juga akan menjadi peranti kedua OnePlus menerima kemas kini Oxygen OS 13 berasaskan Android 13 nanti.
Pro
- Skrin yang cantik, terang dan pantas.
- Prestasi yang lancar tanpa masalah pemanasan.
- Audio yang lantang dan sedap untuk kegunaan harian.
- Pengecasan ultra pantas, 10 minit boleh penuh.
- Rekaan yang nampak menarik dan premium.
Kontra
- Oxygen OS 12.1 tiada identiti, mirip Color OS/Realme UI.
- Kamera dengan fokus yang tidak konsisten.
- Tiada perlindungan daripada air dan debu.
- Tiada lagi suis lungsur ikonik
