OnePlus malam tadi telah melancarkan peranti mercu kedua mereka untuk tahun 2022 iaitu OnePlus 10T 5G. Peranti ini adalah siri “T” pertama OnePlus selepas lebih setahun tidak memperkenalkannya ke pasaran. Dengan penggunaan siri “T”, ini bermakna peranti ini memfokuskan kepada prestasi tetapi mengorbankan banyak ciri pada versi Pro untuk dijual pada harga lebih mampu milik.
Dalam artikel ini akan saya kongsi pengalaman penggunaan selepas menggunakan peranti ini untuk beberapa jam. Saya juga akan cuba menjawab persoalan orang ramai mengenai adakah peranti OnePlus masih berbaloi untuk dimiliki dan untuk siapakah OnePlus 10T ini?
Spesifikasi Dan Rekaan
OnePlus 10T 5G | |
---|---|
Skrin | 6.7” 120Hz Fluid AMOLED, FHD+ 2412 X 1080 piksesl ~394 ppi, HDR10+, |
Pemproses | Snapdragon8+ Gen 1 (4nm) |
Cip | 1x 3.19 GHz Cortex-X2 3x 2.75 GHz Cortex-A710 4x 1.80 GHz Cortex-A510 |
Cip Grafik | Adreno 730 |
RAM | 8/16 GB LPDDR5 |
Muatan Dalaman | 128/256 GB UFS 3.1 |
Kamera Utama | 50MP Sudut Lebar, f/1.8, OIS 8MP Sudut Ultra Lebar 119.9 darjah, f/2.2 2MP Makro |
Kamera Swafoto | 16 Megapixel f/2.4 |
Bateri | 4800 mAh 150W SuperVOOC, Berwayar |
SIM/Telefoni | Dwi SIM nano 5G VoLTE, VoWiFi |
NFC | Ya |
Audio | Tiada bicu audio Pembesar suara stereo |
Kalis Air | Tiada |
Sistem Imbasan | Pengimbas jari bawah skrin |
Harga Jualan | $649 (~RM2890) 8/128 GB $749 (~RM3336) 16/256 GB |
OnePlus 10T 5G bukan sebuah peranti mercu premium daripada OnePlus. Sebaliknya ia sebuah peranti mercu mampu milik yang menggunakan rekaan seakan versi Pro dengan beberapa ciri lebih premium tidak lagi disertakan. Sama seperti yang dilakukan oleh Samsung menerusi siri Galaxy FE mereka. Contohnya pada peranti ini skrin 6.7-inci 120Hz Fluid AMOLED dengan resolusi FHD+ dan paparan HDR10+ sahaja digunakan bukannya QHD+ pada model Pro.
Tetapi paparan warna pada skrin masih terang dan cantik manakala kadar segar semula 120Hz membuatkannya masih terasa lancar semasa menatal. Aplikasi Netflix juga sudah sedia menyokong mod HDR10 sejak hari pertama lagi. Tidak seperti sesetengah peranti memerlukan kemas kini yang mengambil masa beberapa bulan. Untuk sokongan 120Hz, peranti ini tidak menggunakan panel LTPO jadi ia tidak menyokong kadar segar semula adaptif 1-120Hz sehebat peranti pesaing atau OnePlus 10 Pro. Sebaliknya pengguna perlu memilih mod rendah yang dihadkan ke 60Hz atau mod tinggi yang katanya merubah-ubah mengikut kandungan tetapi penggunaan saya rasa seperti sentiasa 120Hz.

Kekuatan pada peranti ini pastinya cip Snapdragon 8+ Gen 1 yang merupakan cip paling berkuasa untuk peranti Android setakat ini. Ia dipadankan pula dengan memori sehingga 16GB RAM LPDDR5 dan storan dalaman 256GB UFS 3.1. OnePlus turut menyediakan beberapa mod prestasi dan permua baharu untuk memastikan peranti kekal pantas dan lancar. Bateri peranti adalah 4800mAh jenis dwi-sel degan sokongan pengecasan pantas 150W SuperVOOC.
Peranti ini turut menjadi peranti mercu pertama OnePlus yang tidak menyertakan suis lungsur yang ikonik untuk mengawal penggunaan notifikasi nada dering, getaran atau dibisukan terus. Ini adalah mengecewakan kerana peranti mercu OnePlus sepatutnya mengekalkan ciri seperti ini. Peranti kelas pertengahan mereka OnePlus Nord 2T yang saya uji sebelum ini masih mengekalkannya sementara peranti mercu Vivo X Note dan X Fold pula menyokongnya. Peranti ini turut tidak mempunyai sebarang perlindungan kalis air.

Rekaan peranti ini adalah mirip dengan OnePlus 10 Pro dengana menggunakan semula rekaan crater dengan panel kaca di belakang peranti bergabung dengan bonggol kamera. Ia adalah satu rekaan OnePlus dengan falsafah “rekaan tanpa beban” untuk keselesaan pengguna. Apakah yang dimaksudkan oleh OnePlus dengan “rekaan tanpa beban” masih lagi misteri sehingga ke hari ini.
Di sisi kanan peranti terdapat butang laras audio dan siri kiri pula diletakkan butang kuasa. Di bawah peranti diletakkan slot kad SIM, kekisi pembesar suara, lubang mikrofon dan port USB-C. Skrin peranti menggunakan rekaan skrin berlubang untuk kamera swafoto dengan bezel yang agak nipis.

OnePlus 10T di tangan masih teras selesa. Warna Jade Green yang ada pada tangan saya ini cuma terasa agak licin disebabkan penggunaan panel kaca. Walaupun ia adalah panel kaca, ia tidak nampak premium dan di tangan rasa seperti sebuah peranti lebih mampu milik. Ia juga kelihatan seakan tiada identiti dan nampak seakan peranti Oppo. Seperkara lagi walaupun hadir dengan panel kaca, sokongan pengecasan nirwayar tidak disertakan.
Pengalaman Penggunaan
Dalam penggunaan beberapa jam pertama, skrin peranti ini masih nampak hebat seperti yang dikatakan tadi. Ia cukup terang, cantik, warna yang tajam dan menstrim kandungan HDR juga nampak memuaskan. Di mata kasar resolusi FHD+ dan QHD+ sebenarnya sukar dibezakan kecuali mata diletakkan satu inci dari skrin. Kadar segar semula 120Hz pada peranti ini juga amat pantas dan ia memberikan pengalaman tatalan yang sangat lancar kerana membaca sentuhan pada kadar 750Hz.
Untuk penggunaan yang singkat, prestasi peranti dilihat sangat baik. Tiada isu membuka aplikasi dan semua aplikasi yang diuji boleh dijalankan tanpa sebarang masalah setakat ini. Di Malaysia, peranti ini adalah yang ketiga menggunakan cip Snapdragon 8+ Gen 1 selepas Asus ROG Phone 6 dan ROG Phone 6 Pro. Saya belum uji permua lagi, tetapi dalam ujian penanda aras yang saya lakukan beberapa kali peranti masih tidak rasa panas. Jadi sistem penyejuk yang mereka katakan terbesar dalam sejarah peranti OnePlus dengan teknologi lapan saluran benar-benar berfungsi.

Model yang saya terima untuk diulas dilengkapi 16GB RAM yang sebenarnya sudah cukup besar. Tetapi dengan bantuan penambahan RAM maya sebanyak 7GB lagi boleh ditambah bagi memberikan saiz RAM keseluruhan 23GB!
Dalam ujian Antutu 3D, OnePlus 10T dengan terapan memori 23GB RAM mencatatkan 918,160 markah sahaja. Lebih rendah berbanding Black Shark 5 Pro (Snapdragon 8 Gen 1) yang mencatatkan 1,018,939 markah dan ROG Phone 6 Pro (Snapdragon 8+ Gen 1) mencatakan 1,099,5132 markah.

Walaupun OnePlus telah melancarkan OxygenOS 13 pada malam tadi, ia hanya akan ditawarkan kepada peranti OnePlus 10 Pro terlebih dahulu. OnePlus 10T ini hanya akan menerima kemas kini pada hujung tahun akan datang. Peranti di tangan masih menggunakan OxygenOS 12.1 berasaskan Android 12 yang sama dengan Nord 2T.

Walaupun versi yang sama tetapi terdapat sedikit perbezaan walaupun tidak begitu ketara. Apa yang saya sedari adalah bahagian kustomasi warna dan AOD nampak sedikit berlainan. OnePlus 10T mempunyai beberapa pilihan Live Wallpaper dan kawalan haptik yang lebih baik.

Perkara lain yang berbeza adalah bahagian tetapan bateri di mana terdapat kawalan khas untuk pengecasan pantas seperti yang diberikan pada peranti Xiaomi. Untuk OnePlus 10T yang menyokong sehingga 150W, ciri dan fungsi kawalan bateri seperti Smart Rapid Charging ini adalah satu perkara yang baik untuk memastikan bateri peranti tidak akan bermasalah. Saya juga sempat mencuba pengecasan ultra pantas ini. Dalam masa 15 minit sahaja bateri pada tahap 5% dapat dicas sepenuhnya. Prestasi sepantas ini hanya saya lihat pada Honor Magic4 Pro sahaja sebelum ini.

Kamera
Tiada penjenamaan Hasselblad atau ciri Hasselblad pada aplikasi kamera OnePlus 10T. Agak aneh kerana kerjasama antara kedua-dua syarikat sepatutnya adalah selama 5 tahun. Sebaliknya sistem Hasselblad kini muncul pada peranti Oppo. Ini bermakna tiada ciri XPan dan tiada mod warna eksklusif seperti pada 10 Pro.
Saya masih belum sempat menguji kamera secara menyeluruh. Dalam penggunaan ringkas gambar dari sensor utama 50MP nampak memuaskan. Namun begitu gambar dari sensor 8MP ultra sudut ultra lebar dan hanya 2MP makro tidak begitu memuaskan.




Apa ada dalam kotak?
Jika anda membeli peranti ini, berikut adalah apa yang anda akan terima dalam kotak;
- 1x OnePlus 10T
- 1x Kabel USB-C ke USB-C
- 1x Pengecas 150W SuperVOOC
- 1x Set pelekat
- 1x Pin SIM
- 1x Buku panduan
Kesimpulan
OnePlus 10T jelas sekali satu percubaan untuk memancing semula pengguna kembali menggunakan produk mereka. Tetapi dengan membuang ciri ikonik seperti suis lungsur dengan alasan bateri dan pengecasan pantas ia mungkin keputusan yang akan memakan diri. Rekaan walaupun menarik tidak dibantu dengan kemasan seakan plastik dan tidak terasa premium di tangan walaupun 10T ialah sebuah peranti mercu.

OnePlus semakin lama semakin hilang identiti asal mereka yang menawarkan peranti tanpa sebarang kompromi. Pada OnePlus 10T, kompromi semakin jelas dilihat sehingga sukar untuk disorok. Saya hanya boleh berharap sebelum peranti dijual bermula September kelak, kemas kini akan diberikan untuk mengembalikan identiti yang kini terancam kepupusan.
Pro
- Snapdragon 8+ Gen 1 ialah cip yang amat berkuasa sekarang.
- Memori sehingga 23GB dengan bantuan RAM maya.
- Sistem pengecasan 150W yang amat pantas.
- Penggunaan yang lancar dengan skrin 120Hz.
Kontra
- Tiada lagi butang Alert Slider di sisi.
- Kemasan tidak terasa premium.
- Tiada ciri Hasselblad.