Cari @ Amanz

Fitbit Inspire 3, Sense 2 dan Versa 4 telah diperkenalkan secara rasmi dengan fokus dan gaya tarikan masing-masing. Bagi yang berminat, ketiga-tiganya sudah boleh dipratempah menerusi kedai atas talian rasmi Fitbit dan ketersediaan dijangka bermula September kelak. Harga jualan bermula RM498 untuk Fitbit Inspire 3, RM1,048 untuk Fitbit Versa 4 dan RM1,248 untuk Fitbit Sense 2

Fitbit Inspire 3 adalah gelang tangan pintar dengan penawaran asas. Ia dilengkapi skrin OLED berwarna dengan fungsi Always-On-Display, sensor pemantauan kesihatan serta kecergasan yang pelbagai, penarafan kalis air 5ATM dan bateri yang disertakan mampu beroperasi sehingga 10 hari. Tidak ketinggalan, gelangan tangan pintar ini turut disertakan dengan akses 6 bulan untuk Fitbit Premium.

Fitbit Versa 4 dan Fitbit Sense 2 pula kelihatan serupa dengan padanan skrin melengkung dan tali silikon. Kedua-duanya turut mengintegrasikan ciri kesihatan dalam memantau sejumlah perkara seperti pengesanan tahap tekanan, SpO2, kadar denyutan jantung, pemantauan pola tidur, kitaran haid dan sebagainya. Untuk tujuan ini, sensor cEDA telah digunakan bagi mengesan tindak balas pada tubuh pengguna. Bateri yang disertakan boleh beroperasi mencapai 6 hari, dalam pada itu Fitbit turut mula memperlihatkan sokongan navigasi Google Maps pada pergelangan tangan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd