Samsung Gear Watch4 Classic tahun lalu mengembalikan bezel berputar yang kami akui sebagai sistem navigasi terbaik untuk jam tangan pintar. Selepas setahun, Samsung melancarkan pula Galaxy Watch5 Pro yang kembali tidak ditawarkan dengan bezel berputar. Sebagai pengguna Gear S3 dan Watch4 Classic yang tegar, tindakan pusingan-U oleh Samsung ini mengundang sedikit kerisauan.
Jadi apabila unit ulasan diterima minggu lalu kami mempunyai beberapa prejudis dengan hati ingin mengatakan tindakan membuang bezel berputar ialah kesilapan besar Samsung. Tetapi sepanjang tempoh ulasan ini prejudis kami nyata salah dan menyimpang daripada realiti sebenar kerana Watch5 Pro adalah jam tangan terbaik keluaran Samsung setakat ini.
Spesifikasi Dan Rekaan
Samsung Galaxy Watch5 Pro | |
---|---|
Sistem Operasi | Wear OS 3.5/ One UI Watch 4.5 |
Paparan | 1.4″ Super AMOLED, 450 x 450 pixel, Kaca Nilam |
Pemproses | Exynos W920 (5nm) |
RAM | 1.5 GB |
Muatan Dalaman | 16 GB |
Bateri | 590 mAh |
SIM / Telefoni | eSIM/Ya |
Sensor | Pengimbas Nadi, Barometer, ECG, SPO2, Termometer |
NFC | Ya |
Infra Merah | Tiada |
Tahap Ketahanan | MIL-STD-810H |
Saiz | 45.4 x 45.4 x 10.5 mm / 46.5 gram |
Warna | Black Titanium, Gray Titanium |
Harga Jualan | RM1899 |
Watch5 Pro mengekalkan saiz skrin 1.4″ SAMOLED yang sama seperti tahun lalu cuma dengan kaca nilam menggantikan kaca Gorilla Glass DX. Menurut Samsung kaca tahun ini lebih lasak berbanding model tahun lalu dan ini adalah perlu memandangkan Watch5 Pro dipasarkan sebagai jam untuk penggemar aktiviti lasak bersaing secara terus dengan peranti keluaran Garmin.
Tanpa bezel berputar, terdapat “bibir” logam yang tinggi menggantikan tempatnya. Ini akan melindungi skrin dari tercalar atau terhentak ketika digunakan. Selepas menggunakan jam tangan pintar selama lapan tahun, harus kami katakan jam tergeser pada dinding dan pintu adalah sebab utama skrin tercalar. Ini juga sebab utama kami kurang menggemari rekaan Apple Watch dengan permukaan skrin yang terlalu terdedah.
Sejak dari dahulu lagi siri Galaxy Watch dan Galaxy Gear mempunyai rekaan bezel berputar yang lebih tinggi berbanding skrin sekaligus melindungi dari tercalar dengan mudah. Bibir pada Watch5 Pro adalah lebih tinggi jika ingin kami bandingkan dengan jam tangan Samsung yang terdahulu.
Bibir ini juga mempunyai fungsi sekunder sebagai alur untuk menggerakkan jari pada skrin ketika melakukan navigasi berputar. Bezel mungkin telah dihantar ke lohong hitam oleh Samsung tetapi ciri melakukan navigasi dengan melakukan putaran masih dikekalkan. Dengan ini dari segi penggunaan Watch5 Pro tidak ada bezanya dengan Watch4 Classic.
Ini dibantu oleh sistem haptik yang amat cemerlang memberikan pengalaman seperti bezel fizikal masih lagi wujud. Terasa sangat realistik dan kami rasakan sistem haptik ini setanding dengan yang wujud pada tombol berputar sisi Apple Watch. Ini adalah berita baik bagi insan yang risau penggunaan Watch5 Pro akan terasa kurang mantap kerana tiada lagi bezel berputar.
Skrin AMOLED Samsung memang sudah diketahui umum terbaik di pasaran. Warna nampak hidup, setiap sentuhan dikesan dengan baik dan penggunaan di bawah matahari terik tidak mendatangkan sebarang masalah. Ada yang mengatakan bezel pada Watch5 Pro adalah terlalu tebal tetapi kami tidak bersetuju kerana ia sebenarnya saiz skrin sama seperti Watch4 Classic.
Butang kuasa dan back terletak di sisi kanan diperbuat daripada logam yang kukuh. Tiada perubahan langsung dengan tahun lalu dari segi saiz dan lokasinya. Dua butang ini juga merangkap titik sentuh untuk sistem Body Composition yang mengukur peratusan lemak serta otot tubuh pemakai yang diperkenalkan sejak tahun lalu.
Tubuh jam kali ini sekitar 30% lebih tebal kerana kapasiti bater yang meningkat ke 590 mAh berbanding 361 mAh – bersamaan peningkatan 63%. Ini menurut Samsung akan membolehkan jam tangan ini bertahan lebih lama tetapi akan sentuh dengan lebih mendalam di segmen bateri di bawah kelak. Ia juga diperbuat daripada titanium yang lebih tahan lasak berbanding Armor Aluminium pada Watch5 biasa dan Watch4 sebelum ini. Oleh sebab itu ia melepas piawaian MIL-STD 810H dan boleh dibawa menyelam sehingga 5 ATM.
Perubahan kedua yang kami rasakan lebih menarik tahun ini terletak pada tali jam yang lebih mirip sebuah tangan analog biasa. Tali jam masih lagi diperbuat daripada fluoroelastomer tetapi dengan sistem kancing bermagnet. Tiada lagi lubang kancing sebaliknya pemakai mengetatkan kunci kancing pada tali sebelum ia disambung ketat pada tangan dengan magnet.
Pada asalnya saya sedikit risau dengan sistem magnet memandangkan Watch5 Pro adalah agak berat. Tetapi sepanjang tempoh ulasan tidak pernah sekalipun tertanggal walaupun ketika dibawa berenang. Tali jam juga selesa tanpa ia menyebabkan kulit gatal-gatal seperti yang berlaku dengan tali jam getah atau silikon.
Sekiranya tali ini dirasakan kurang serasi dengan busana atau aktiviti yang ingin dilakukan, ia boleh digantikan dengan sebarang tali dengan lebar 20mm. Ini adalah saiz standard jam tangan biasa dan ini bermakna anda boleh juga menggunakan semua aksesori untuk Watch4 Classic serta tali jam keluaran pihak ketiga yang banyak dijual di luar sana.
Antaramuka Dan Penggunaan
Proses tambatan adalah semudah memastikan jam diaktifkan bersebelahan telefon pintar yang ingin digunakan. Pastikan aplikasi Samsung Wearable terkini dipasang terlebih dahulu. Pada peranti Samsung, grafik animasi Watch5 Pro muncul pada skrin sejurus selepas ia dihidupkan. Ikut arahan yang diberikan pada skrin dan proses ini akan mengambil masa beberapa minit.
Bagi pengguna iPhone, Watch5 Pro tidak disokong begitu juga untuk Watch5 biasa. Malahan sokongan jam tangan Samsung pada platform iOS telahpun dihentikan sejak Watch4. Mungkin kerana jumlah pengguna yang tidak begitu tinggi memandangkan pengguna iOS lebih cenderung menggunakan Apple Watch.
Selepas itu penggunaan aplikasi adalah sama seperti dahulu. Terdapat bahagian khas dalam aplikasi untuk muka jam, aplikasi yang dipasang, Quick Panel dan Tiles pada jam. Kesemua ini boleh diubah terus dari jam tetapi lebih mudah dilakukan menerusi aplikasi Wearable. Pelbagai tetapan peranti boleh digunakan. Kustomasi muka jam juga adalah pelbagai dengan beberapa muka baharu ditawarkan Samsung tahun ini dan muka jam berbayar boleh dimuat turun dari Play Store.
Hampir semua muka jam mempunyai kustomasi warna latar belakang, tangan jam, paparan digital, reka huruf dan apakah data yang ingin dipaparkan. Ini mungkin dalam bentuk tahap bateri, jumlah tapak, degupan jantung, cuaca dan banyak lagi. Terdapat ratusan kombinasi boleh dipilih menghasilkan muka jam yang unik untuk setiap pemakai.
Masuk tahun kedua menggunakan Wear OS 3.5 dengan pelancar One UI Watch 4.5 tiada perubahan besar kami sedar kecuali penambahan beberapa ciri dan muka jam. Penggunaan sama kerana Watch5 Pro menggunakan semula cip Exynos W920, 1.5GB RAM dan storan 16GB seperti model tahun lalu. Dengan kata lain Watch5 Pro adalah sekadar perubahan tubuh, cermin skrin, sensor, dan bateri sahaja berbanding siri Watch4 tahun lalu. Samsung mengekalkan strategi hanya menukar cip pemproses setiap 2-3 tahun pada jam tangan pintar mereka.
Pertama sekali ialah ciri mengimport fail GPS Exchange Format File (GPX) ke dalam jam untuk laluan yang lengkap dengan maklumat topografi yang lengkap. Dengan ini ketika bersenam, mendaki dan menggunakan basikal lumba adalah lebih selamat kerana peta yang digunakan lebih terperinci berbanding peta Google Maps biasa.
Dengan peta tepat ini hadir juga ciri Track Back yang membolehkan pemakai kembali ke lokasi asal apabila sesat. Proses kembali ke lokasi mudah kerana arahan navigasi suara, haptik dan grafik pada jam dipaparkan jelas pada skrin.
Ciri aplikasi dipasang terus pada jam selepas dimuat turun pada telefon pintar yang ditambat mungkin ciri yang paling berguna kerana tiada keperluan untuk memuat turun secara manual. Sokongan menstrim muzik Spotify terus ke jam untuk mendengar di luar talian juga adalah ciri berguna semasa sedang melakukan aktiviti sukan bersama dengan TWS bluetooth.
Peranti juga boleh melakukan panggilan kecemasan secara automatik apabila mengesan pemakainya terjatuh. Panggilan kecemasan bersama dengan lokasi GPS akan dihantar sekiranya pemakai dikesan tidak bergerak 60 saat selepas accelerometer mengesan pecutan yang tinggi. Ciri ketercapaian menjawab telefon dengan gestur tangan juga berguna terutamanya ketika pengguna tidak boleh menyentuh skrin.
Bagaimana pula dengan ciri penjejakan kesihatan? Harus kami akui tidak dapat begitu mengujinya kerana kami bukanlah seorang yang boleh dikategorikan sebagai penggemar senaman atau badan sado seperti Christiano Ronaldo. Kami hanya menggunakan ciri Body Composition yang mengesahkan kami berlemak, penjejakan mesin threadmill, penjejakan nadi, penjejakan tidur dan berenang.
Semua ciri yang kami katakan kata berfungsi dengan baik. Tiada isu yang dapat kami kesan apabila dibandingkan dengan data yang dikumpul oleh Apple Watch Series 7 yang kami gunakan sebagai peranti kawalan.
Alang-alang sudah bercakap mengenai Apple Watch, ciri ECG pada Watch5 Pro masih belum diaktifkan untuk pengguna di Malaysia. Aplikasi langsung tidak boleh dimuat turun kerana belum mendapat kelulusan KKM. Sudah dua tahun dan Samsung tidak lagi mempunyai alasan untuk tidak mendapatkan kelulusan kerana Apple telah melakukannya di Malaysia tahun 2021.
Sensor suhu yang diiklankan juga masih belum boleh digunakan kerana sekali lagi memerlukan kelulusan KKM. Anda membayar RM1899 untuk Watch5 Pro yang harganya sama dengan Apple Watch tetapi ciri ECG yang ada tidak boleh digunakan. Pastinya mengecewakan.
Telefoni dan GPS
Telefoni disokong menerusi eSIM pada model LTE di Malaysia. Kami tidak mengaktifkan ciri ini tetapi ada menguji ciri melakukan panggilan telefon terus dari pergelangan tangan. Apa yang kamis sedari ialah ketika memandu ini ialah ciri yang amat membantu dengan suara kedengaran lantang dan mikrofon menangkap apa yang dicakapkan dengan jelas.
Tetapi apabila di kawasan lebih terbuka sedikit sukar mendengar apa yang dicakapkan menerusi speaker terbina. Saranan kami gunakan panggilan telefon di rumah, pejabat atau dalam kereta tetapi bukan di kawasan terbuka.
GPS juga berfungsi dengan baik menggunakan Google Maps dengan kami gunakannya untuk mencari arah ke beberapa lokasi pelancaran produk tanpa masalah sepanjang tempoh ulasan.
Bateri
Bateri 590 mAh memang tahan lama dengan ia boleh membekalkan kuasa sehingga lima hari dalam mod biasa tanpa Always on Display. Jika AOD diaktifkan, hayat bateri turut ke dua hari sahaja. Walaupun masih agak pendek jika dibandingkan dengan Amazfit T-Rex Pro yang bertahan sehingga dua minggu, hayat Watch5 Pro adalah jauh lebih baik berbanding 2 hari sahaja secara purata pada Watch4 Classic dan Apple Watch Series 7 yang pernah diulas.
Bagi insan yang kerap terlupa mengecas jam sebelum tidur, ketahanan sehingga lima hari amat kamu alu-alukan. Pengecasan pantas disokong tahun ini tetapi “pantas” di sini masih lagi sekitar dua jam menggunakan pengecas nirwayar yang diberikan.
Kepala pengecas tahun ini akhirnya USB-C membolehkan kami berkongsi kepala pengecas Galaxy S22 Ultra yang dimiliki kerana hanya kabel diberikan dengan setiap pembelian. Harus juga dinyatakan format pengecasan ialah WPC dan bukan Qi maka berhati-hatilah jika ingin membeli pengecas tambahan dari pihak ketiga.
Seperkara lagi yang perlu disentuh ialah tali jam tangan ini menyukarkan untuk Watch5 Pro dicas pada kedudukan rata. Pengapit logam pada kancing magnet perlu dibuka terlebih dahulu setiap kalu pengecasan rata ingin dilakukan. Oleh itu jam dicas secara menyenget. Adalah pelik mengapa dermaga pengecas seperti Gear S3 tidak diberikan sahaja untuk Watch5 Pro kerana ia jauh lebih sesuai.
Kesimpulan
Samsung Galaxy Watch5 Pro ialah jam tangan terbaik daripada Samsung setakat ini. Walaupun mengekalkan spesifikasi yang sama, beberapa ciri tambahan tahun ini akan membuatkannya jam tangan Wear OS yang paling lengkap sifat untuk mereka yang inginkan keseimbangan ciri dan juga ketahanan bater yang baik.
Ciri menjejak pelbagai aktiviti sukan lengkap dengan jurulatih maya adalah baik baik mereka yang ingin melakukan senaman di rumah tanpa kos tambahan. Tubuh yang lebih tahan lasak pula memastikan pemakai tidak perlu risau akan kerosakan apabila berada di luar. Ciri GPS yang lebih baik pula memastikan pemakai boleh kembali ke lokasi asal apabila sesat.
Tiada bezel berputar bukan isu kerana sistem haptik tahun ini memberikan pengalaman seakan ia masih lagi ada. Ditambah baik pula dengan bateri yang boleh bertahan sehingga 5 hari – lebih sekali ganda lebih baik berbanding Watch4 Classic tahun lalu. Penggunaan jam tangan juga lancar tanpa isu dan pelbagai ciri penjejakan kesihatan berfungsi seperti diiklankan.
Tetapi kita memasuki tahun ketiga ciri ECG yang ada pada jam masih tidak boleh digunakan di Malaysia. Pada harga RM1899, ia setanding dengan Apple Watch Series 7 45mm yang ciri ECG sudah disokong di Malaysia sejak 2021. Sensor pengesan suhu badan yang diumumkan juga belum diaktifkan.
Untuk bersaing dengan Apple Watch yang mendominasi pasaran jam tangan pintar, Samsung perlu lebih bagus, lebih ciri dan lebih berbaloi. Nasib baik buat Samsung ialah Apple Watch tidak boleh digunakan di Android dan Watch5 Pro tidak boleh digunakan dengan iOS. Watch5 Pro adalah jam tangan Wear OS terbaik setakat ini tetapi dengan Pixel Watch akan dilancarkan kelak, Samsung perlu memperbaiki beberapa kelemahan. Mulakan dengan sokongan ECG terlebih dahulu memberikan ia ciri yang paling dikehendaki pengguna jam tangan Android di Malaysia sekarang.
PRO
- Rekaan menarik pada waktu yang sama amat tahan lasak.
- Melepasi piawaian MIL-STD 801H.
- Ketahanan bateri luar biasa untuk Wear OS.
- Pelbagai ciri penjejakan kesihatan yang mantap.
- Kancing tali yang lebih selesa dan nampak segak.
- Pengecas kini berkepala USB-C.
KONTRA
- Sensor ECG dan suhu badan masih belum boleh digunakan.
- Pengecasan pantas masih mengambil masa 2 jam.
- Saiz besar bukan untuk pergelangan tangan kecil.
- Spesifikasi sama seperti Watch4 tahun lalu.