Cari @ Amanz

Jam tangan pintar yang paling lama saya gunakan setakat ini ialah Samsung Galaxy Gear S3 Frontier. Walaupun sudah berusia hampir lima tahun, ia masih disokong dengan tampalan sekuriti dan ciri-ciri yang diperkenalkan pada model lebih baharu. Atas sebab ini saya tidak mempunyai sebab untuk membeli jam tangan baharu. Sebab lain kenapa Gear S3 masih saya gunakan ialah kerana ianya amat tahan lasak. Walaupun tubuh calar balar, ia masih beroperasi seperti baru dikeluarkan dari kotak.

Di kalangan peminat Samsung sendiri ramai merasakan rekaan Gear S3 adalah cukup sempurna jadi apabila siri Galaxy Watch ditawarkan dengan rekaan lebih moden dan “bersih”, ramai memilih untuk tidak membeli model baharu. Saya antara salah seorang pengguna yang boleh dikategorikan dalam kumpulan ini.

Dengan Galaxy Watch4 Classic, rekaan yang lebih agresif dan kelihatan tahan lasak dikembalikan. Ia juga kini menggunakan sistem operasi Wear OS terkini yang dibangunkan oleh Google dengan kerjasama Samsung. Adakah kombinasi dua syarikat besar ini akan dapat membuatkan Wear OS sistem operasi yang dominan dan paling penting sekali ialah adakah Watch4 Classic pengganti Gear S3 yang dinantikan selama ini?

Spesifikasi Dan Rekaan

Samsung Galaxy Watch4 Classic 46mm
JenisJam Tangan pintar Wear OS
Paparan1.4″ Super AMOLED, 450 x 450 pixel, Gorilla Glass DX
PemprosesExynos W920 (5nm)
RAM1.5 GB
Muatan Dalaman16 GB
Bateri361mAh – Ketahanan sehingga 37 hari
SIM / TelefonieSIM/Ya
SensorPengimbas Nadi, Barometer, ECG, SPO2
NFCYa
Infra MerahTiada
Tahap KetahananMIL-STD-810G
Saiz45.5 x 45.5 x 11 mm / 52 gram
WarnaHitam, Perak
Harga JualanRM1399

Dari segi rekaan, Watch4 Classic ialah jam tangan pintar yang lebih mirip dengan Gear Sport yang dilancarkan empat tahun lalu cuma tubuh yang lebih bulat. Skrin bulat 1.4″ Super AMOLED menyokong sentuhan dan amat terang di bawah sinaran matahari yang paling terang sekalipun. Untuk memastikan ketahanan skrin, kaca Gorilla Glass DX digunakan. Ini adalah perlu bagi mengelakkan calar dan hentakan ketika melakukan aksi lasak.

Keseluruhan tubuh diperbuat daripada logam yang juga terasa tegap. Ini membuatkan jam terasa berat di pergelangan tangan. Saya adalah terdiri daripada golongan pengguna yang gemarkan jam tangan yang sedikit berat kerana ia terasa substensif ketika dipakai dan terasa mahal. Sungguhpun berat, Watch4 Classic tidak terlalu tebal seperti sebuah Casio G-Shock yang pernah saya gunakan di zaman sekolah dahulu. Malahan ia sekitar separuh ketebalan Amazfit T-Rex Pro yang pernah diulas.

Tubuh yang tidak berapa tebal ini adalah perlu bagi memastikan ia tidak mudah tersangkut pada lengan baju yang panjang dan pada waktu yang sama masih sesuai digunakan oleh golongan profesional. Dari segi rekaan ia tidak terlalu agresif seperti Gear S3 tetapi lebih ranggi jika dibandingkan dengan Watch4 biasa.

Bahagian yang paling “ganas” ialah bezel berputar yang bergerigi bagi memberikan tekstur kasar untuk memudahkan ia diputar. Bezel berputar ini ialah sistem kawalan terbaik yang pernah saya gunakan pada jam tangan pintar. Lebih praktikal berbanding tombol digital Apple Watch yang terlalu kecil dan menatal pada hujung skrin pada Watch2 Active2 sebelum ini.

Dua butang kawalan pada sisi kanan juga diberikan tekstur kasar yang sama dengan butang kuasa dibezakan dengan calitan warna merah. Butang-butang fizikal yang digunakan terasa tegap dan besar sehingga mudah ditekan walaupun ketika sedang berlari.

Bahagian tali pula diperbuat daripada bahan silikon yang kini menjadi standard. Ianya selesa pada kulit dan tidak mengakibatkan reaksi negatif seperti tali getah. Cuma jika selepas berenang ia tidak mempunyai lubang udara yang banyak untuk memudahkan proses pengeringan.

Oleh itu Samsung ada menawarkan tali untuk sukan yang lebih berlubang serta tali jam kulit bagi mereka yang memerlukan tali jam yang kelihatan lebih formal. Seperti kesemua Galaxy Watch sebelum ini, Watch4 melepasi piawaian MIL-STD810G yang membolehkan ia dibawa berenang tanpa sebarang kerisauan, tetapi juga cukup tahan lasak untuk aktiviti luar.

Selepas menggunakan Watch4 Classic selama lebih 3 minggu, tiada isu besar yang saya alami mengenai keselesaan. Jam mungkin sedikit berat tetapi akan menjadi alah bisa tegal biasa selepas digunakan selama beberapa hari. Ia cukup selesa sehingga saya sendiri sudah membiasakan diri memakai jam semasa tidur bagi tujuan menjejak pola tidur serta dengkur.

Isu yang wujud mungkin adalah saiz tubuh 46mm pada model yang diulas. Ia terlalu besar bagi mereka yang bertubuh kecil walaupun pada senggatan tali yang paling ketat. Dalam situasi sebegini model Watch4 Classic 42mm atau Watch4 40mm adalah pilihan yang lebih baik. Bagi insan bertubuh beruang kutub seperti saya, Watch4 Classic 46mm adalah pada saiz yang berpadanan sekali.

Antaramuka Dan Penggunaan

Penggunaan adalah mudah khususnya pada peranti Android Samsung. Jam tangan dikesan sejurus selepas ia diletakkan berhampiran peranti. Tambatan dilakukan menerusi aplikasi Samsung Wearable. Bagi pengguna jam tangan Tizen Samsung sebelum ini, majoriti tetapan lama anda tidak boleh dipindahkan kecuali data Samsung Health.

Selepas itu penggunaan aplikasi adalah sama seperti dahulu. Terdapat bahagian khas dalam aplikasi untuk muka jam, aplikasi yang dipasang, Quick Panel dan Tiles pada jam. Kesemua ini boleh diubah terus dari jam tetapi lebih mudah dilakukan menerusi aplikasi Wearable. Pelbagai tetapan peranti boleh digunakan. Kustomasi muka jam juga adalah lebih pelbagai berbanding Tizen sebelum ini.

Kekurangan hanyalah saya tidak dapat menggunakan beberapa muka jam yang sebelum ini ditawarkan oleh Tizen. Kekurangan ini dirasakan kerana di gedung muka jam Wear OS, lebih banyak yang berbayar dari yang percuma. Kehilangan muka-muka jam ini amat dikesali tetapi pengorbanan yang perlu dilakukan untuk menggunakan sistem operasi baharu. Proses berubah dari Tizen ke Wear OS sebenarnya adalah lebih mudah dari yang saya jangkakan.

Penggunaannya tidak banyak dengan Tizen. Tatalan adalah lancar dan peranti adalah cukup reponsif. Pelbagai aplikasi boleh dilancarkan dengan pantas dan tanpa sebarang masalah. Isu yang ada hanyalah aplikasi yang disusun secara kelompok

Ciri aplikasi dipasang terus pada jam selepas dimuat turun pada telefon pintar yang ditambat mungkin ciri yang paling berguna kerana tiada keperluan untuk memuat turun secara manual. Sokongan menstrim muzik Spotify terus ke jam untuk mendengar di luar talian juga adalah ciri berguna semasa sedang melakukan aktiviti sukan bersama dengan TWS bluetooth.

Peranti juga boleh melakukan panggilan kecemasan secara automatik apabila mengesan pemakainya terjatuh. Panggilan kecemasan bersama dengan lokasi GPS akan dihantar sekiranya pemakai dikesan tidak bergerak 60 saat selepas accelerometer mengesan pecutan yang tinggi. Ciri ketercapaian menjawab telefon dengan gestur tangan juga berguna terutamanya ketika pengguna tidak boleh menyentuh skrin.

Bagaimana pula dengan ciri penjejakan kesihatan? Memandangkan ulasan dilakukan semasa PKP, tidak banyak aktiviti sukan dapat kami lakukan. Ia tiada masalah mengesan aktiviti sedang berlari, berjalan, berenang dan menggunakan mesin larian secara automatik. Terdapat pintar pantas boleh diletakkan pada skrin sekiranya penjejakan automatik tidak disokong.

Pengesanan GPS dan nadi juga baik, tidak banyak perbezaan bacaan jika saya bandingkan dengan Apple Watch Series 6 yang menjadi penanda aras dalam dunia telefon pintar pada waktu ini. Satu ciri yang lebih baik pada Watch4 berbanding Apple Watch Series 6 ialah penjejakan tidur dan dengkur.

Ciri ECG pada Watch4 mungkin belum diaktifkan lagi di Malaysia tetapi Samsung mengurangkan kekecewaan dengan ciri Body Composition. Sensor BioActive Samsung boleh mengesan BMI, tahap lemak, tahap air dan otot pada tubuh secara automatik. Adakah sedikit merisaukan melihat Watch4 mengatakan saya mempunyai lemak yang banyak. Memang saya dah biasa dimaki gemuk di media sosial tetapi dengan bukti empirikal dari Watch4 ia mengesahkan makian selama ini adalah benar 100%.

Seperti kata rakan kami Andrew Cheng di Nextrift, ciri Body Composition ini memberikan motivasi kepada diri untuk menggandakan usaha untuk bersukan. Kehilangan berat badan bukan satu-satunya parameter yang perlu diambil peduli kerana tiada guna hilang berat badan tetapi jisim otot dan mempunyai masalah ternyahhidrat yang tinggi.

Telefoni dan GPS

Telefoni disokong menerusi eSIM pada model LTE di Malaysia. Peranti yang diulas cuma model WiFi tetapi panggilan telefon masih boleh dilakukan menerusi tambatan kepada sebuah telefon pintar. Walaupun panggilan telefon boleh dilakukan, saya mendapati speaker pada Watch4 yang diulas tidak cukup lantang walaupun pada tetapan audio paling tinggi. Ini mengecewakan kerana ini bukan isu yang saya hadapi pada Galaxy Watch dan Apple Watch yang pernah digunakan sebelum ini.

GPS juga tidak mendatangkan sebarang masalah seperti yang telah saya nyatakan pada segmen di atas. Berpadanan dengan data yang dicatatkan pada sebuah lagi jam tangan pintar pesaing yang turut saya gunakan sejak setahun yang lalu.

Bateri

Bateri boleh bertahan sehingga dua hari dalam penggunaan sederhana tetapi sekitar 1.5 hari pada penggunaan yang lebih berat. Waktu pengecasan semula jam adalah sekitar 90 minit. Memang agak perlahan jika dibandingkan dengan OnePlus Watch. Pengecasan adalah menggunakan sistem nirwayar sambungan magnet. Harus diingatkan Watch4 tidak menyokong kesemua sistem pengecasan Qi di pasaran. Anda masih mempunyai pengecas lama untuk Gear S3 seperti saya? Sayang sekali pengecas lama ini tidak boleh digunakan dengan Watch4.

Saya tidak pula menguji menggunakan Watch4 sebagai jam tangan biasa untuk melihat sejauh mana ia boleh bertahan. Ini adalah kerana terasa seperti membazir sahaja jam tangan pintar digunakan seperti jam tangan biasa. Namun begitu terdapat beberapa pengulas mengatakan ia boleh bertahan sehingga 7 hari dalam mod tanpa tambatan ini.

Kesimpulan

Samsung Galaxy Watch4 Classic ialah jam tangan pintar terbaik pernah dihasilkan setakat ini. Menggabungkan rekaan yang tahan lasak, sistem operasi yang kini lebih baik sokongannya, ekosistem yang sihat dan ciri-ciri yang dimahukan pengguna yang cakna mengenai kesihatan.

Dari segi ciri, tidak ada yang kurangnya pada Watch4 Classic jika dibandingkan dengan apa yang mampu ditawarkan oleh FitBit, Apple, Xiaomi, Amazfit dan Huawei. Kesemua aktiviti sukan popular boleh dikesan dengan mudah dengan penjejakan yang konsisten. Watch4 Classic lebih baik jika dibandingkan dengan peranti Tizen yang dikeluarkan oleh Samsung sebelum ini kerana sistem operasi yang mempunyai sokongan aplikasi yang lebih baik. Ini akan menguntungkan Samsung dan juga Google.

Tetapi kekurangan masih ada kerana masih belum disokong pada platform iOS dan Huawei. Langsung tidak boleh ditambat sedangkan semasa menggunakan Tizen dahulu jam tangan pintar Samsung boleh sahaja digunakan dengan sebuah iPhone. Sebagai pengguna veteran Tizen, saya pula kehilangan beberapa muka jam dan tetapan yang telah digunakan sejak lebih enam tahun yang lalu. Kena bermula semula dari sifar dan ini sedikit kurang menyenangkan.

Sensor ECG yang masih belum boleh digunakan di Malaysia juga adalah kekurangan paling ketara kerana Apple Watch mengaktifkannya tahun ini dan jualannya semakin meningkat. Samsung perlu segera mendapatkan pengiktirafan dengan KKM bagi tidak menjadikan sensor ECG pada Watch4 Classic ini menjadi gajah putih.

Di Malaysia Samsung Galaxy Watch4 Classic (46mm) dijual pada harga RM1399. Harga yang lebih murah berbanding Apple Watch Series 7 45mm yang dijual pada harga bermula RM1899. Ia kini jam tangan pintar pilihan saya untuk Android dan dengan mudah akan menggantikan Gear S3 sudah lebih empat tahun di pergelangan tangan. Selamat tinggal Gear S3, assalamualaikum Watch4 Classic.

PRO

  • Rekaan yang kelihatan mewah, ranggi tetapi masih sesuai untuk upacara formal.
  • Ketahanan kalis air dan tahan lasak yang tinggi.
  • Ciri penjejakan kesihatan yang cukup menyeluruh.
  • Wear OS mempunyai sokongan aplikasi yang baik.
  • Sistem navigasi berputar adalah yang terbaik pada jam tangan pintar.

KONTRA

  • Hanya boleh digunakan pada peranti Android sahaja setakat ini.
  • ECG belum diaktifkan untuk pasaran Malaysia.
  • Panggilan suara kurang jelas dengan speaker tidak cukup kuat.
  • Pengguna Tizen perlu bermula dari sifar kerana banyak muka jam dan ciri tidak disokong pada Wear OS.
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd