Carian
Ulasan Samsung Gear S3 – Lebih Bergaya Tetapi Dengan Masalah Yang Sama
December 6, 2016 Effi Saharudin

gear-s30008Jumlah jualan peranti boleh pakai merudum pada tahun ini sehingga memaksa Google menangguhkan kemas kini Android Wear mereka. Pengeluar juga tidak menghasilkan model terkini untuk jam tangan pintar mereka tahun ini. Samsung masih belum berpatah arang dan melancarkan Gear S3 di IFA September lalu. Jam tangan pintar yang menggunakan sistem operasi Tizen ini akan dilancarkan di Malaysia minggu ini. Dengan pelancarannya ramai tertanya-tanya sama ada beberapa masalah kecil yang melanda Gear S2 berjaya diselesaikan dan menjadikan Gear S3 jam tangan pintar yang harus dimiliki.

Spesifikasi

Samsung Gear S3 Frontier
Skrin 1.3″ SAMOLED 360 x 360 Pixel
Pemproses 1 GHz Dua Teras Exynos 7270
Cip Grafik Mali T-720
RAM 768 Megabyte
Muatan Dalaman 4 Gigabyte
Kamera Utama Tiada
Kamera Depan Tiada
Kalis Air IP 68 , MIL-STD 810G
Bateri 380 mAh (Pengecasan Tanpa Wayar)
SIM/Telefoni Tiada/ Panggilan Melalui Tambatan Bluetooth
Sensor Pengimbas Nadi, GPS, Barometer,

Girometer,Accelerometer

NFC Ya
Infra Merah Tiada

Spesifikasi jam tangan pintar ini tidak menunjukkan peningkatan yang mendadak berbanding Gear S2 tahun lalu. Perubahan drastik dilakukan pada rekaan luar. Gear S3 Frontier yang kami ulas nampak lebih ranggi, tahan lasak dan agresif. Ia kelihatan seperti jam tangan biasa apabila dibandingkan dengan Gear S2 yang lebih menyerupai sebuah jam tangan mainan.

Skrin sesentuh SAMOLED lebih besar 1.3″ digunakan dengan resolusi 360×360 pixel. Tahun lalu skrin hanya sebesar 1.2″. Kaca Corning Glass SR+ digunakan bagi memastikan ia tahan calar dan pecah ketika digunakan.

Skrin ini menyokong paparan Always On Display. Skrin akan menjadi sedikit malap apabila ia aktif tetapi masih menunjukkan muka jam. Ia akan menyala semula apabila mengesan pergerakan tangan. Ini memberikan Gear S3 fungsi setanding Always On yang digunakan pada peranti Android Wear seperti Moto 360 2015.

Pemproses Exynos 7270 dipadankan dengan RAM sebesar 786 Megabyte dan storan 4 Gigabyte. Storan ini adalah bagi memasang aplikasi dan menyimpan fail muzik MP3. Pada hari pertama, lebih 2 Gigabyte telah digunakan untuk fail sistem jadi pengguna hanya mempunyai sekitar 1.5 Gigabyte storan yang boleh digunakan.

Bateri 380 mAh digunakan dan ini merupakan peningkatan berbanding 250 mAh pada Gear S2. Sistem pengecasan tanpa wayar dengan tempat pengecasan khas dikekalkan. Saiz pengecas juga meningkat jika dibandingkan dengan model tahun lalu. Sambungan kepada pengecas mengekal port MikroUSB.

Tahun ini ia dilengkapi sistem NFC untuk pembayaran Samsung Pay, GPS, Barometer, Girometer, dan Accelerometer Bagi yang mahu mengesan kesihatan, pengimbas nadi optikal terletak pada bahagian panel bawah jam.

Sokongan panggilan suara dikembalikan. Apabila ditambat kepada jam tangan pintar, panggilan boleh dilakukan dan diterima terus dari Gear S3. Bagi yang mahu mendengar muzik, sebuah pemain muzik terbina juga disertakan berserta tambatan kepada fon kepala/telinga secara Bluetooth.

Rekabentuk

gear-s3-montage-1Rekabentuk jam yang lebih ranggi, tahan lasak dan agresif sesuai dengan nama Frontier yang mensasarkan golongan yang gemar melakukan aktiviti luar. Dua butang pada sisi kanan digunakan sebagai butang home merangkap butang kuasa dan butang back seperti pada peranti Android biasa. Penggunaan sistem seakan peranti Android ini mempercepatkan proses pemilik mempelajari

Kedua-dua butang diperbuat daripada logam dengan tekstur kasar bagi membezakannya dari tubuh Stainless Steel peranti yang licin.

Sistem bezel berputar digunakan untuk melakukan navigasi pada antaramuka Tizen. Dengan sistem ini pengguna tidak perlu sentiasa menyentuh bahagian skrin sekaligus mengurangkan kekotoran.

Tahun lalu perkara yang mengecewakan mengenai Gear S2 ialah roda bezel yang terasa agak longgar. Tahun ini perkara yang sama berulang. Kelonggaran ini sedikit sebanyak mencacatkan ke-premium-an yang cuba diketengahkan oleh Samsung.

Tahun ini perubahan besar turut dilakukan pada tali jam. Sebarang tali jam 22 mm boleh digunakan oleh pemilik sekiranya tali jam yang diperbuat daripada silikon tidak memenuhi citarasa mereka.

Dengan setiap pembelian, dua saiz tali jam silikon disertakan. Tali jam yang disertakan selesa untuk dipakai dan agak tebal. Ini diharap dapat menyelesaikan masalah tali jam yang terlalu mudah putus pada Gear S2.

Kerana rekaannya yang lebih besar dan ranggi, Gear S3 juga jauh lebih berat. Ini kami rasakan membuatkan Gear S3 akan lebih menarik minat kaum lelaki berbanding wanita.

gear-s3-001

Antaramuka

Gear S3 menggunakan sistem operasi Tizen Wearable 2.3.2. Dari segi rupa ia tidak membawa sebarang perubahan berbanding yang digunakan pada Gear S2. Melayari antaramuka jam tangan pintar ini agak mudah. Butang home ditekan untuk melihat senarai kesemua aplikasi terpasang. Bezel diputar bagi bagi memilih aplikasi yang dimahukan. Tekan skrin untuk membuka aplikasi. Sekiranya mahu pulang semula ke pilihan aplikasi, tekan butang back yang berada di atas butang home.

Menukar muka jam dilakukan dengan menekan skrin. Gunakan bezel sekali lagi untuk memilih muka jam yang diingini. Sebanyak 15 muka jam disertakan dan berpuluh lagi boleh dimuat turun menerusi aplikasi Galaxy Apps.

Dari muka jam, putaran bezel melawan arah jam akan menunjukkan kesemua notifikasi dari peranti pintar. Pengguna mempunyai pilihan membaca mesej terus dari skrin jam atau membukanya pada peranti pintar. Putaran mengikut arah jam muka mengakses fungsi widget. Antara widget yang disertakan ialah untuk jumlah langkah, cuaca semasa, kalori dibakar, kalendar peringatan acara, melakukan panggilan telefon dan juga skrin kawalan pemain muzik. Aturan paparan widget boleh diubah terus dari Gear S3.

Aplikasi Samsung Gear telah dikemaskini bagi memudahkan lagi melihat maklumat yang diperlukan. Ia akhirnya menunjukkan tahap bateri serta anggaran hayat peranti, ruangan storan dan penggunaan RAM. Melakukan kustomasi muka jam juga jauh lebih mudah menerusi aplikasi ini.

Bercakap tentang aplikasi kekurangan tahun lalu masih tidak menunjukkan perbezaan yang ketara. Sokongan aplikasi pada platform Tizen Wearable masih lagi rendah jika dibandingkan dengan WatchOS dan Android Wear.

gear-s3-screen-1 gear-s3-screen-2 gear-s3-screen-3

 

Panggilan Suara Dan SMS

gear-s3-telefon-call

Fungsi panggilan telefon dikembalikan semula selepas tidak hadir pada Gear S2. Tambatan kepada sebuah peranti pintar adalah perlu bagi mengaktifkan fungsi telefoni ini. Panggilan suara dilakukan dengan memilih aplikasi telefon dan mencari individu yang ingin dihubungi dari buku alamat yang ditarik sepenuhnya dari peranti pintar pengguna. Roda bezel apabila di pusing  pantas membenarkan senarai nama dicari menggunakan aturan abjad. Untuk mendail secara terus, pendail nombor berbentuk roda disertakan.

Kualiti panggilan suara adalah baik. Penerima panggilan melaporkan kualiti audio yang cukup terang cuma pembesar suara yang digunakan tidak cukup kuat untuk mendengar perbualan di kawasan terbuka. Pada tetapan tertinggi bunyi yang dihasilkan sedikit pecah.

Kualiti audio boleh dipertingkatkan dengan menambat fon kepala/telinga secara Bluetooth. Gear S3 akan menjadi “gagang” telefon yang sekaligus membuatkan pengguna kelihatan seperti Dick Tracy. Bagi yang mahukan privasi, penggunaan fon telinga Blutetooth ketika melakukan panggilan suara adalah perlu. Fungsi telefoni ini kami rasakan berguna bagi mereka yang sedang bersenam dan tidak mudah mengeluarkan peranti dari kocek. Kami menggunakan fungsi beberapa kali ketika memandu. Ia jauh lebih selamat dari menjawab panggilan dengan satu tangan sahaja memegang stereng.

Menghantar SMS sama seperti pada melakukan panggilan telefon. Buka aplikasi pemesejan dan pilih penerima SMS. Kandungan SMS ditaip menggunakan sebuah papan kekunci T9. Setelah bertahun tidak menggunakan papan kekunci T9, menaip menggunakannya menjadi amat canggung. Terdapat sokongan emoji dan menghantar imej lakaran sendiri menggunakan MMS.

Cara paling mudah ialah melakar dengan jari. Sistem pengenalan tulisan tangan yang ditemui pada peranti Galaxy Note digunakan di sini. Pengenalan abjad yang dilakar adalah amat baik. Tetapi haru kami masih akan mengatakan menaip pada skrin 1.3″ masih belum cukup mesra pengguna.

gear-s3-telefoni-sms

 

Kesesuaian Dengan Peranti Bukan Samsung

Ini ialah soalan yang paling banyak kami terima selepas artikel pandang pertama ditulis minggu lalu. Sepanjang tempoh ulasan kami menambat Gear S3 pada tiga peranti iaitu Samsung Galaxy S7 Edge, Xiaomi Mi Mix dan Lenovo Moto Z. Sungguhpun ketiga-tiganya menggunakan Android Marshmallow, pengalaman menggunakan Gear S3 mempunyai perbezaan yang nyata.

Apabila digunakan bersama Samsung S7 Edge, jam tangan ini berfungsi dengan amat sempurna, pantas dan lancar. Notifikasi dihantar kurang sesaat selepas ia muncul pada telefon pintar ini. Gear S3 juga dengan pantas dapat ditambat kepada S7 Edge dengan masa purata 2 saat sahaja untuk proses diselesaikan.

Pada Mi Mix dan Moto Z lain pula ceritanya. Proses tambatan mengambil masa sekitar 10-15 saat dan kadang kala gagal. Ini berlaku sungguhpun Gear S3 dan kedua-dua peranti pintar diletakkan sebelah menyebelah. Penghantaran notifikasi juga lebih lambat sekitar tiga saat. Kerap kali sambungan Bluetooth terputus dan enggan bersambung semula secara automatik. Kami hanya menyedarinya selepas terlalu banyak notifikasi pada telefon tidak muncul-muncul pada Gear S3.

Bagaimana pula dengan iOS? Samsung menjanjikan sokongan iOS sejak Gear S2 muncul di pasaran tahun lalu. Sehingga kini hanya aplikasi hanya wujud dalam versi Beta tetapi Samsung menegaskan usaha untuk menyokong platform iOS masih dijalankan.

Sebagai kesimpulan Samsung Gear S3 berfungsi dengan sempurna pada peranti keluaran Samsung. Berfungsi dengan sedikit masalah pada peranti Android lain dan masih dalam percubaan pada peranti iOS. Untuk menggunakan Gear S3 peranti Android 4.3 dan ke atas diperlukan bagi memuat turun aplikasi Gear Manager.

gear-s3

 

Bateri

Bateri 380 mAh yang digunakan adalah peningkatan sebanyak 52% berbanding kapasiti bateri Gear S2 tahun lalu. Pada penggunaan biasa dengan skrin Always on Display dimatikan serta kesemua notifikasi peranti dihantar kepada jam, kami berjaya mendapat hayat penggunaan melebihi tiga hari. Ini ialah peningkatan sebanyak satu hari berbanding Gear S2.

Sekiranya sistem Always on Display diaktifkan, hayat penggunaan Gear S3 jatuh dengan mendadak ke sekitar 30 jam. Hayat bateri Gear S3 adalah amat baik pada hemat kami. Dengan setiap generasi baru masalah perlu mengecas sekali sehari tidak lagi berlaku.

gear-s30006Sungguhpun begitu masa mengecas masih melebihi dua jam. Bagi saiz bateri yang kecil masa yang amat lama untuk mengecas ini adalah mengecewakan kerana Samsung mempunyai sistem Adaptive Fast Charging. Pada S7 Edge, sistem pengecasan pantas ini boleh mengecas bateri 3600 mAh dalam masa 105 minit.

Apabila dicas, jam tangan pintar ini akan melekap kepada pengecas yang bermagnet. Saiz pengecas meningkat berbanding tahun lalu selari dengan saiz skrin S3 yang turut meningkat. Muka jam akan berputar 90 darjah bagi memudahkan pemilik melihat waktu ketika dicas. Menarik sekali kotak Gear S3 berubah menjadi tempat pengecas lengkap dengan tempat simpanan wayar. Jika anda benci wayar berselirat, kotak merangkap tempat simpanan wayar ini amat berguna.

Kesimpulan

Samsung Gear S3 ialah jam tangan pintar generasi ke-enam dihasilkan oleh Samsung. Mereka banyak mempelajari dari kelemahan yang wujud pada Galaxy Gear, Gear 2, Gear S, Gear S2 dan Gear Live sebelum ini.  Rekaan kesemua jam tangan yang kami senaraikan tadi dicemuh kerana kurang selesa untuk dipakai. Gear S2 yang muncul tahun lalu memperkenalkan sistem bezel berputar yang akhirnya memudahkan navigasi antaramuka pada skrin yang kecil.

Dengan Gear S3, Samsung mengikut jejak langkah Huawei dan LG dengan menghasilkan jam tangan pintar yang kelihatan seperti jam tangan analog biasa. Rekaan lebih ranggi, tahan lasak dan maskulin ini memang nyata lebih menarik berbanding Gear S2 dan menambah baik rekaan Gear S2 Classic.

gear-s30009Pada peranti keluaran Samsung Gear S2 berfungsi dengan cukup baik sekali. Tiada keluhan yang boleh kami tulis kerana ia Tizen Wearable OS adalah amat pantas dan mudah digunakan. Situasi berbeza berlaku apabila di dipadankan dengan peranti Android lain. Notifikasi hadir agak lambat dan kerap kali sambungan Bluetooth terhenti secara tiba-tiba. Ini adalah cukup menjengkelkan.

Sokongan iOS masih belum kunjung tiba walaupun telah dijanjikan sejak Gear S2. Sokongan aplikasi juga masih rendah. Majoriti “aplikasi” yang boleh dimuat turun ialah muka jam. Tizen bukanlah platfrom yang popular di kalangan pembangun.

Perkara paling positif tentang Gear S3 ialah ketahanan bateri. Ia mampu bertahan selama tiga hari dengan sekali cas. Bagi mereka yang mahukan jam tangan pintar dengan skrin berwarna yang bertahan lama ini ialah pilihan terbaik.

Adakah Gear S3 sebuah peranti perlu milik? Bagi insan yang tidak gemar diganggu ketika bekerja, jam tangan pintar ialah aksesori yang perlu. Kami tergolong di dalam kategori ini dan Gear S3 ialah peranti boleh pakai yang paling kami sukai setakat ini. Sekiranya anda sudahpun memiliki telefon pintar Samsung, ini ialah peranti sampingan yang paling sesuai untuk anda. Bagi pengguna Android lain sukar untuk menyarankannya buat masa ini kerana ia keserasian masih belum 100%.

Kelebihan Kekurangan
  • Rekaan  lebih agresif serta tahan lasak. Menyerupai jam tangan analog biasa.
  • Tali yang boleh ditukar ganti dengan lebih mudah menggunakan tali jam biasa.
  • Kembalinya fungsi panggilan suara.
  • Mesra pengguna dengan sistem bezel berputar yang intuitif.
  • Bateri bertahan sehingga tiga hari pada penggunaan biasa.
  • Tidak berfungsi dengan sempurna pada peranti bukan keluaran Samsung.
  • Sokongan aplikasi masih lagi rendah.
  • Masih tiada pengecasan pantas.

skor-samsung-gear-s3

Komen