Realme Watch 3 Pro telah diperkenalkan secara rasminya di India, hari ini. Ia menjadi variasi terkini untuk Realme Watch 3 dengan penawaran reka bentuk yang sama. Melaluinya, ia menggunakan muka jam berbentuk segi empat dengan padanan tali silikon yang boleh didapati dalam warna Black serta Grey.

Untuk spesifikasi, ia menggunakan skrin AMOLED 1.78-inci beresolusi 368 X 448 piksel dan 325 ppi. Turut disertakan adalah sensor pemantauan kesihatan terbina untuk kadar degupan jantung masa nyata, SpO2, tahap tekanan, pola waktu tidur, kiraan kalori dan banyak lagi.
Pelbagai aktiviti kecergasan dan gaya hidup turut boleh dilakukan menggunakan jam tangan ini dengan adanya lebih 110 jenis mod sukan terbina. Antaranya seperti larian, berjalan, yoga, bola sepak, tennis dan lain-lain.



Dengan bateri sebesar 345mAh pula ia mampu beroperasi sehingga 10 hari secara berterusan. Di samping turut dimuatkan dengan kebolehan GPS dan kemampuan melakukan panggilan telefon menerusi jam kerana ia mempunyai pembesar suara dan mikrofon terbina.
Untuk harga, Realme Watch 3 Pro dijual pada ₹ 4,999 (~RM281) seutas.