Pandang Pertama Apple iPhone 14 Pro Max – Adakah Masih Elok Apabila Lubang Menggantikan Takuk?

Diterbitkan pada Sep 21, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Ramalan mengenai penggunaan kamera bawah skrin pada iPhone 14 Pro Max tidak menjadi kenyataan. Sebaliknya pada kedua-dua model iPhone 14 Pro tahun ini, takuk besar yang wujud sejak iPhone X telah digantikan dengan Dynamic Island yang mengintegrasikan lubang besar di bahagian skrin dengan pelbagai sistem notifikasi peranti.

Tetapi adakah pengenalan Dynamic Island, pemproses yang lebih berkuasa dan kamera utama dengan sensor lebih besar akan dapat menjadikan iPhone 14 Pro Max peranti perlu dibeli untuk tahun 2022? Ini adalah pandang pertama Amanz untuk iPhone 14 Pro Max.

Spesifikasi

Apple iPhone 14 Pro Max
Skrin6.7″ Super Retina XDR OLED, 1284 x 2778 pixel, (458 PPI), Dolby Vision, 120Hz
PemprosesApple A16 Bionic (4nm)
Cip2 X 3.43 GHz Firestorm
4 X ? GHz Icestorm
Cip GrafikGPU 5 Teras
RAM6GB LPDDR5
Muatan Dalaman128/256/512/1000 GB NVMe
Kamera Utama48+12+12 Megapixel f/1.8+f/2.2+f/2.2, Zum Optikal 3X, Sensor Shift, 3D ToF
Kamera Swafoto12 Megapixel f/1.9, AF
Bateri4323 mAh
Pengecasan berwayar 20W
Pengecasan MagSafe 15W
Pengecasan nirwayar 7.5W
SIM/TelefoniNano/5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirIP68
Sistem ImbasanPengimbas wajah Face ID
Harga JualanRM 5799 (128GB)
RM 6299 (256GB)
RM 7299 (512GB)
RM 8299 (1TB)

Skrin

Skrin masih lagi 6.7″ Super Retina XDR OLED dengan kadar segar semula 120Hz dengan keterangan skrin mencecah 2000 nits. Tiada lagi takuk yang digunakan sejak iPhone X. Sebaliknya ia digantikan dengan sebuah lubang besar berbentuk bujur yang diberi nama Dynamic Island. Penggunaan lubang kamera yang besar ini tidak dapat dielakkan kerana Apple masih belum bersedia untuk menggunakan sistem kamera bawah skrin sepenuhnya.

Oleh itu lubang Dynamic Island mengingatkan kami kepada lubang yang digunakan pada Huawei Mate P40 Pro dan Galaxy S10+. Kehadiran lubang hitam yang besar ini memang mengganggu penggunaan beberapa aplikasi tertentu seperti YouTube, Netflix dan Call of Duty Mobile. iOS 16 juga masih belum memberikan ciri untuk menyorokkan lubang kamera seperti yang wujud sejak Android 10 lagi.

Masih terlalu awal untuk kami katakan kewujudan Dynamic Island ini dengan mudah dapat dilupakan dengan pantas seperti pengguna iPhone model sebelum ini dapat membutakan mata kepada kewujudan takuk.

Tidak boleh dinafikan bahawa skrin iPhone 14 Pro Max memang cantik, tajam, terang, pantas dan memaparkan warna yang cukup hidup. Di bawah mentari panas, kandungan masih boleh dilihat dengan terang. Bezel juga sekata membuatkan skrin mempunyai keseimbangan simetri.

Sokongan kandungan Dolby Vision pada perkhidmatan Apple TV+, Netflix dan Disney+ Hotstar turut diberikan sejak hari pertama lagi. Warna kelihatan lebih sinematik jika ingin dibandingkan dengan HDR10+ pada Galaxy S22 Ultra. Tatalan terasa lancar kerana skrin LTPO menyokong kadar segar semula sehingga 120Hz dan tatalan dikesan dengan jitu. Tiada isu animasi kelihatan tersekat-sekat.

Rekaan

Rekaan sisi rata yang diperkenalkan pada iPhone 12 dikekalkan pada model tahun ini. Sisi logam tahan karat yang rata dipadankan dengan panel belakang yang tidak berkilat. Tiada isu panel belakang kotor dengan mudah walaupun tanpa penggunaan kerangka. Tahun ini rekaan rata dan berkotak menjadi trend hangat semua pengeluar. Maka Apple mengekalkan rekaan yang sama untuk tahun ketiga kami rasakan bukanlah perkara negatif.

Butang kuasa terletak di sisi kanan dengan butang laras audio serta membisukan peranti diletakkan pada sisi kiri. Kedudukan kesemua butang-butang serta suis tidak berubah serta masih lagi teguh. Kami boleh menggunakan semula kerangka 13 Pro Max pada 14 Pro Max cuma bahagian bonggol kamera sahaja yang sedikit ketat. Bagi yang ingin melakukan penjimatan atau lebih mesra alam tiada isu besar untuk mengitar semula kerangka tahun lalu.

Perubahan saiz bonggol dan lensa adalah sekitar 10% lebih besar. Memang dapat dirasakan bahagian atas peranti lebih berat berbanding pada bahagian bawah membuatkan ia terasa kurang seimbang. Bagi seorang pengguna 13 Pro Max, perubahan berat dan keseimbangan ini tidak begitu ketara. Tetapi di pejabat Amanz, pengguna iPhone XS, 11 dan 12 mengatakan peranti terasa sikit janggal digunakan kerana ketidakseimbangan ini.

Secara keseluruhan peranti masih selesa di dalam tangan dengan ia terasa serta kelihatan sangat premium. Apple mengatakan perbezaan berat antara 13 Pro Max dan 14 Pro Max adalah hanyalah 2 gram (238g vs 240g) tetapi dalam tangan ia terasa seperti lebih signifikan. Walaupun Apple mengatakan binaan kaca pada 14 Pro Max adalah tahan lasak, kami masih menyarankan pengguna peranti ini di Malaysia untuk membeli kerangka bagi mengelakkan sebarang kerosakan.

Di bahagian bawah terdapat port pengecasan Lightning dan kekisi audio untuk sistem audio stereo. Sebuah lagi speaker diletakkan pada bahagian atas skrin. Kerana konfigurasi ini, audio dari bawah jelas lebih lantang berbanding audio dari speaker atas.

Penggunaan port pengecasan Lightning ini mungkin adalah di tahun terakhir kerana bermula tahun hadapan penggunaan USB-C mula diwajibkan di Eropah. Ini adalah perlu kerana USB-C akan menyeragamkan kabel pengecas yang sudah disokong MacBook dan iPad tetapi turut menyokong kadar pemindahan data yang lebih pantas. Pada peranti yang menyokong rakaman video Apple ProRes yang saiznya amat besar, pemindahan data menggunakan kabel adalah satu pengalaman yang menjerihkan.

Penggunaan Dan Perisian

Sistem operasi iOS 16 tidak memberikan perubahan yang besar pada antaramuka utama peranti. Penambahbaikan yang paling kerap dipromosikan oleh Apple tahun ini ialah sokongan Always on Display dan kustomasi skrin kunci yang mirip pada sebuah peranti Android.

Sebagai seorang pengguna Android pada awalnya kami seperti ingin ketawa dengan “pengAndroidan” iPhone sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Tetapi selepas menggunakan iOS16 ini sejak ia di tahap Beta, kami boleh katakan dengan ikhlas bahawa implementasi skrin kuncu iPhone adalah lebih menarik, dinamik, estetik dan lebih penting sekali mudah digunakan berbanding di Android.

Pilihan reka huruf, warna, susunan widget dan imej latar belakang misalnya adalah lebih mudah digunakan. Mengubah skrin kunci juga pantas semudah menekan skrin selama beberapa saat dan kemudian memilih skrin kunci yang pernah digunakan sebelum ini. Kami gunakan ciri ini untuk situasi berbeza. Skrin kunci A untuk di pejabat memaparkan peringatan untuk mesyuarat dan tarikh akhir artikel perlu ditulis. Selepas waktu pejabat skrin kunci B pula kami gunakan tanpa peringatan untuk kerja digantikan dengan widget bateri, cuaca dan penjejakan kesihatan.

Sistem Always on Display kami rasakan tidak begitu mengujakan kerana ia sekadar menggelapkan sedikit paparan skrin. Kami tidak menggunakannya pada peranti Android dan tidak merasakan akan menggunakannya pada 14 Pro Max juga atas sebab ingin memanjangkan hayat bateri.

Mari bercakap tentang sistem Dynamic Island yang pada awalnya kami risau akan menjadi sekadar gimik. Tetapi selain “menghilangkan” kewujudan lubang kamera yang besar pada skrin ia sebenarnya amat berguna. Proses menukar lagu yang sedang dimainkan pada Spotify dan Apple Music lebih pantas kerana hanya ikon pada Dynamic Island perlu disentuh. Saiz Dynamic Island menjadi besar dengan butang kawalan pemain. Selepas itu jika ruang di luar Dynamic Island disentuh ia mengecut semula.

Ciri ini juga disokong pada aplikasi lain seperti ketika melakukan telefon, menggunakan aplikasi merekod audio dan banyak lagi. Jika beberapa tahun yang lalu takuk kamera iPhone ditiru oleh pengeluar Android, kami tidak akan terkejut jika Dynamic Island akan turut ditiru dalam masa terdekat kerana ia bukan sekadar gimik yang tidak berguna.

Dalam penggunaan selama sehari peranti tidak mempunyai sebarang masalah dan sama sahaja penggunaannya seperti dengan sebuah iPhone 13 Pro Max dengan iOS 16. Hanya ciri Always on Display dan Dynamic Island membezakan penggunaan pada kedua-dua peranti mercu ini.

Penanda Aras

Dengan cip Apple A16 Bionic dan 6GB RAM, 14 Pro Max ialah iPhone paling berkuasa pernah dihasilkan berdasarkan ujian penanda aras GeekBench 5, Antutu 3D dan Wild Life Extreme yang telah kami lakukan.

Bagi menunjukkan peningkatan prestasi, kami sertakan juga markah yang dicatatkan oleh iPhone 13 Pro Max (A15 Bionic), ASUS ROG Phone 6 (Snapragon 8+ Gen 1) dan Samsung Galaxy Z Fold4 (Snapdragon 8+ Gen 1). Dari segi kemampuan CPU, cip siri A oleh Apple terus mendominasi dengan ia jauh meninggalkan Snapdragon 8+ Gen 1 jauh di belakang. Hanya dalam ujian Antutu 3D ketuanan Qualcomm masih dapat dilihat tetapi jurang markah semakin mengecil.

Geekbench 5

  • Apple iPhone 14 Pro Max – 1875/5469
  • Apple iPhone 13 Pro Max – 1727/4713
  • Samsung Galaxy Z Fold4 – 1298/3963
  • ASUS ROG Phone 6 – 1312/4191

Antutu 3D

  • Apple iPhone 14 Pro Max – 974,941
  • Apple iPhone 13 Pro Max – 789,647
  • Samsung Galaxy Z Fold4 – 980,346
  • ASUS ROG Phone 6 – 1,099,5132 

Wild Life Extreme

  • Apple iPhhone 14 Pro Max – 3373
  • Apple iPhone 13 Pro Max – 2937
  • Samsung Galaxy Z Fold4 – 2798
  • ASUS ROG Phone 6 – 2786

Kamera

Kemera dilengkapi lensa yang lebih besar kerana buat pertama kali sejak lebih 2015 sensor untuk lensa sudut lebar ditukar. Kamera utama menggabungkan sensor 48MP+12MP+12MP dan sensor 3D ToF. Sistem telefoto tahun ini menyokong zum optikal sehingga 3X dan digital pula sehingga 15X. Walaupun sensor 48M digunakan, gambar yang ditangkap masih lagi 12MP kerana empat pixel digabungkan menjadi satu untuk menghasilkan imej yang lebih tajam menerusi teknik Quadbinning.

Sistem OIS Sensor Shift digunakan pada lensa sudut lebar dan telefoto. Perubahan juga dilakukan di kamera swafoto yang kini hadir dengan sistem autofokus buat pertama kali. Dengan kamera hadapan kini semakin kerap digunakan untuk TikTok dan Instagram Live, sokongan autofokus akan menghasilkan imej yang lebih tajam untuk kandungan yang dihasilkan. Berikut adalah sampel gambar-gambar yang sempat kami ambil setakat ini.

Kesimpulan

Apple iPhone 14 Pro Max membawakan pembaharuan dalam bentuk skrin yang tidak lagi bertakuk, sistem Dynamic Island, sensor kamera utama yang lebih besar, kamera depan dengan autofokus dan sokongan Always on Display juga buat pertama kali. Tubuh masih lagi mengekalkan rekaan yang sama seperti tahun lalu. Bonggol kamera juga turut membesar dengan saiz sensor kini 48MP bukan lagi 12MP.

Berdasarkan pengalaman awal, kami merasakan 14 Pro Max akan menarik minat pengguna siri iPhone 12 dan ke bawah yang tidak mengemaskini peranti tahun lalu. Penambahbaikan yang diberikan adalah cukup menarik walaupun harus diakui tidak terlalu ketara.

Bagi pemilik iPhone 13 Pro Max pula, 14 Pro Max tidak memberikan peningkatan prestasi yang amat tinggi. Malahan 13 Pro Max masih lagi lebih berkuasa berbanding 99% peranti lain di pasaran. Ini membuatkan penaiktarafan 14 Pro Max mungkin tidak begitu berbaloi pada waktu ini.

Masih terlalu awal untuk kami memberikan keputusan akhir sama ada iPhone 14 Pro Max benar-benar berbaloi kerana pasaran peranti mercu pada tahun 2022 adalah amat sengit. Tidak dibantu oleh harga iPhone 14 tahun ini yang semakin meningkat disebabkan nilai Ringgit yang menjunam. Nantikan ulasan penuh dalam masa terdekat.

Pro

  • Rekaan kemas, premium, dan sedap di dalam tangan.
  • Pemproses A16 Bionic paling berkuasa untuk telefon pintar 2022
  • Skrin 120Hz sangat lancar dengan perisian semakin matang.
  • Kamera utama 48MP dengan kamera swafoto dilengkapi AF.
  • Dynamic Island adalah amat menarik dan tidak terasa seakan gimik.

Kontra

  • Masih lagi menggunakan Lightning dengan USB 2.0.
  • Pengecasan juga masih 20W sahaja.
  • Peningkatan harga mendadak.

komen


© Amanz / 2022 Kami