WWDC bersiaran langsung awal pagi semalam dan seperti tahun-tahun terdahulu kesemua pengumuman yang dilakukan Apple mengenai iOS menjadi bahan ketawa pengguna-pengguna tegar Android. Peminat tegar Android mengatakan banyak ciri-ciri baharu iOS 16 ditiru bulat-bulat dari Android yang telah menyokongnya sejak sekurang-kurangnya lima tahun yang lalu.
Salin Tampal?
Ciri mengubah skrin kunci dengan kustomasi widget, latar belakang dan teman berbeza misalnya sudah diberikan oleh Samsung, Huawei, dan Oppo sejak 2016. Sementara itu ciri haptik pada papan kekunci pula sudah menjadi standard pada Android sekurang-kurangnya sedekad.

Ini adalah sebab mengapa setiap “inovasi” Apple diketawakan oleh peminat Android. Apa yang mungkin mereka tidak sedari ialah kesemua ini adalah disengajakan dan adalah baik untuk Apple.
Saya katakan begini kerana sejak kematian Steve Jobs, Apple sudah banyak berubah. Semasa Jobs masih hidup, sebarang ciri baharu perlu mendapat keizinan dari beliau terlebih dahulu. Kedegilan ini adalah sebab mengapa tiada perubahan besar berlaku pada iOS dan iPhone semasa Job masih hidup.
Pasca Jobs
Pasca kematian kita barulah melihat inovasi besar dari Apple seperti peranti skrin lebih besar yang dibenci Jobs kerana beliau taksub dengan “semua bahagian skrin perlu boleh diakses dengan sebelah tangan”. Kita juga melihat penggunaan lebih daripada satu kamera, rekaan skrin lebih menyeluruh, widget, Apple Pencil (Jobs cukup benci dengan stylus) dan banyak lagi.

Menurut Statista, peratusan pengguna Android global kini adalah sekitar 69% berbanding 25% pengguna iOS. Ini adalah peratusan terendah Android sejak September 2016. Terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada peningkatan penggunaan iOS sejak setengah dekad ini. Tetapi saya merasakan “pengAndroidan” iOS adalah antara sebab utamanya.
Peng-Android-an
Saya bercakap dari pengalaman peribadi seorang pengguna tegar Android. Perubahan ke dark side berlaku pada tahun 2016 apabila mengulas sebuah iPhone 7 Plus yang dimiliki oleh isteri. Kemudian tahun demi tahun saya akan mengulas iPhone terkini dengan setiap iterasi iOS membuatkan jurang fitur yang dahulunya besar dengan Android kini tidak lagi begitu ketara.
Lima tahun lalu selepas dikecewakan dengan iPhone X yang baru diulas, saya terus menulis artikel 9 Sebab iPhone X Menyebabkan Saya Semakin Setia Dengan Android. Apabila artikel ini dibaca sekarang, jelas Apple telah banyak melakukan perubahan bagi membaiki pelbagai kekurangan yang wujud pada sistem operasi mereka dari pandangan pengguna Android.

Yang membuatkan saya kekal menggunakan Android pada waktu ini hanyalah sistem kamera yang lebih baik (saya menggunakan Galaxy S22 Ultra) dan tiada cara mudah (dan percuma) memindahkan data WhatsApp dari Android ke iOS sahaja.
Tahun lalu semasa mengulas iPhone 13 Pro, ia kali pertama sejak bertugas di Amanz saya tidak memindahkan SIM kembali ke peranti Android selepas artikel ulasan habis ditulis.SIM hanya pindah semula ke peranti Android selepas Galaxy S22 Ultra dipasarkan di Malaysia. Pembaca tegar Amanz tahu saya seorang peminat siri Galaxy Note dan Galaxy S22 Ultra ialah sebuah Note walaupun namanya berbeza.

Selamat Tinggal Android?
Hati saya kini semakin ingin berpindah ke iOS kerana menggunakan iPhone kini semakin hampir dengan sebuah peranti Android. Kedua-duanya tidak boleh ditanggalkan bateri, tiada slot kad mikro SD, dan tiada bicu audio 3.5mm! Ini adalah ironi paling besar dari pandangan seorang pengguna Android di tahun 2022.

iOS semakin banyak mengambil ciri daripada Android. Sementara itu peranti mercu Android pula membuang ciri-ciri yang menjadikannya unik berbanding iPhone. iPhone melangkah ke hadapan tahun demi tahun dan Android pula kehilangan identiti.
Tahun lalu saya menerbitkan artikel Ini Ciri Yang Sepatutnya Ditiru Pengeluar Android Daripada iPhone. Ciri tersebut ialah menunjukkan tahap kesihatan bateri selepas dicas berkali-kali. Tahun ini saya ingin menyarankan supaya pengeluar Android meniru tahap ketahanan bateri iPhone 13 Pro yang terlalu jauh ke hadapan berbanding peranti mercu Android lain di pasaran dengan kapasiti bateri lebih besar.

Melihat ciri-ciri menarik yang diperkenalkan pada iOS 16, era saya menggunakan peranti Android sebagai peranti utama kegunaan harian mungkin semakin hampir. Anda boleh terus mentertawakan iOS kerana hanya sekarang memperkenalkan ciri-ciri yang telah lama wujud di Android tetapi ini mungkin rancangan jangka panjang Apple. Ia memberikan ilusi mereka masih berinovasi berbanding Android dan pada waktu yang sama menarik insan seperti saya untuk berhijrah ke ekosistem mereka. Oleh sebab itu iOS 16 yang menyerupai Android adalah baik untuk Apple.