Cari @ Amanz

Malam ini iPhone XS dan XS Max akan dilancarkan secara rasmi selepas berbulan spekulasi mengenainya dibincangkan di Amanz. Seperti iPhone X, kedua-dua peranti mercu ini akan mengekalkan sistem imbasan wajah Face ID serta skrin bertakuk yang kini menjadi ikutan pengeluar lain di platform Android.

Tahun lalu kami mula menggunakan iPhone X sebagai peranti sekunder bagi memudahkan penulisan artikel yang berkait rapat dengan iOS. Sebagai penulis di Amanz, menjadi seorang “agnostik” sistem operasi adalah sesuatu yang perlu. Tetapi selepas hampir setahun menggunakan iPhone X sebagai peranti sandaran, ia membuatkan saya semakin setia menggunakan Android. Berikut ialah sebab-sebab utama mengapa ini berlaku. Tetapi sebelum itu anda boleh membaca artikel di bawah untuk pandangan berbeza dengan artikel ini.


1.Saiz Skrin

Seperti kebanyakan pengguna peranti pintar moden, saya menggunakannya sebagai pemain media. Majoriti masa dihabiskan menonton kandungan YouTube, Netflix dan iFlix. Oleh sebab itu skrin yang besar amat perlu bagi menikmati siri TV dan filem popular tanpa perlu meletakkan muka dekat pada skrin. Skrin iPhone X adalah terlalu kecil dan bertakuk pula. Apabila video dibesarkan, takuk pada skrin menghalang sebahagian video yang ingin ditonton.

Pada peranti Android yang kami gunakan (Galaxy Note 9), ini tidak berlaku kerana skrin yang besar dan boleh dipaparkan dengan penuh tanpa sebarang halangan. Malahan pada peranti Android tertentu, takuk boleh disorokkan dengan pilihan pada skrin tetapan.

2.RAM

iPhone X dan 8 Plus ialah telefon pintar Apple yang mempunyai saiz RAM terbesar pernah dihasilkan iaitu 3GB. Ini ialah saiz RAM yang lebih kecil berbanding peranti kelas pertengahan Android yang kini hadir dengan RAM sebesar 6GB. Pengguna iOS akan mengatakan sistem pengurusan iOS adalah lebih optimum berbanding Android. Ini mungkin ada kebenarannya tetapi kini telefon pintar harus mempunyai kemampuan multi tugas sebenar.

Apabila pelbagai aplikasi dilancarkan serentak, peranti kelas pertengahan Android boleh melancarkannya kembali tanpa perlu menjalani proses segar semula. Terdapat banyak video menunjukkan OnePlus 6 dan Galaxy Note 9 mampu mengalahkan iPhone X dalam ujian kepantasan multi tugas, Bagi pengguna tegar seperti saya, (yang kerap menulis artikel menggunakan telefon pintar) kemampuan menyimpan aplikasi di latar belakang tanpa segar semula adalah wajibul ghunnah. Saiz RAM yang besar yang ditawarkan Android masih belum boleh ditemui pada sebarang peranti iOS.

3.Sistem Operasi Yang Lebih Baik

Ini mungkin topik yang menimbulkan kontroversi kerana majoriti peranti Android masih menggunakan versi lama yang tidak ditampal kerentanannya. Tetapi kami ingin bercakap mengenai betapa mudahnya menggunakan Android berbanding iOS. Untuk mengubah tetapan kamera misalnya, resolusi rakaman video boleh diubah terus dari aplikasi kamera dengan menekan satu butang. Pada iOS, ia perlu diubah menerusi skrin tetapan. Ini tidak masuk akal dan memerlukan pengguna keluar dari aplikasi kamera terlebih dahulu dan mengakses skrin tetapan semata-mata untuk mengubah resolusi video.

Mahu mengubah tetapan bluetooth dan WiFi? Tekan ikon kedua-dua fungsi ini terus menerusi pintasan talam notifikasi. Pada iOS? Menekan ikon WiFi dan Bluetooth hanya menghidup atau mematikan fungsi-fungsi ini. Sekali lagi untuk mengubah tetapan pengguna perlu kembali ke skrin spesifikasi.

Ini hanyalah sebahagian “perkara kecil” yang menjengkelkan pada iOS. Ada banyak lagi boleh ditulis tetapi bagi sebuah sistem operasi yang diiklankan dengan slogan “It Just Works”, ini tidak seharusnya berlaku pada tahun 2018.

4.Lebih Banyak Fungsi Tambahan

Kepelbagaian fungsi adalah sebuah lagi kelebihan pada Android. Fungsi multi-tingkap yang memaparkan dua aplikasi serentak pada skrin sudah menjadi standard pada peranti Android dan tidak lagi terhad pada peranti mercu. Terdapat juga sokongan pop-up Window yang membolehkan video YouTube atau Netflix dipaparkan di dalam tingkap kecil sambil melihat susur masa Twitter misalnya. Fungsi yang sama tidak disokong pada iOS kecuali multi-tingkap pada iPad.

Pengeluar peranti Android juga bebas memperkenalkan fungsi unik seperti tema gelap pada OxygenOS, Edge Panels pada Samsung, mod desktop pada Huawei Mate 10 dan kawalan bingkai Edge Sense pada HTC. Kesemua ini memberikan fungsi tambahan yang memudahkan lagi penggunaan. Terdapat juga sokongan Stylus pada peranti seperti Note 9. Jadi tidak mengejutkan apabila kedengaran ura-ura iPhone juga bakal mendapat sokongan Apple Pencil kelak bagi menyamai apa yang sudah ditawarkan pada Android sejak bertahun lamanya.

5.Bicu Audio

Apple dengan beraninya membuang bicu audio pada iPhone 7 dua tahun yang lalu. Penyesuai diperlukan jika pengguna masih memerlukan aksesori audio berwayar. Walaupun aksesori nirwayar kini semakin banyak di pasaran, ia masih lagi lebih mahal. Secara peribadi saya mempunyai beberapa fon kepala nirwayar berprestasi tinggi namun ia perlu dicas. Ini menambah satu lagi peranti yang perlu dicas sebelum boleh digunakan.

iPhone X dijual pada harga mencecah RM5000 sebuah di Malaysia dan jika saya membeli peranti pada harga tersebut, saya mahukan kesemua fungsi dan I/O paling asas disertakan bukannya dibuang atas sebab keberanian. Penyakit membuang bicu audio telah mula menular ke Android tetapi sekurang-kurangnya pengguna mempunyai pilihan membeli peranti dengan bicu audio. Pengguna iPhone tidak mempunyai pilihan selain membeli telefon pintar model lama bagi menikmati bicu audio.

6.Sokongan Kad MikroSD

Dengan kemampuan merakam video 4K serta popularnya memuat turun video untuk ditonton luar talian, storan yang besar juga adalah faktor penting sebelum membeli peranti. Ini dua kali ganda lebih penting bagi pengguna iPhone kerana masih tiada sokongan kad MikroSD. Storan yang dibeli pada hari pertama ialah storan yang akan kekal selama-lamanya melainkan anda berani melakukan modifkasi di China.

Bagi yang berkemampuan, Smartisan R1 memberikan storan terbina 1TB manakala Galaxy Note 9 pula menyokong saiz storan yang sama dengan kad mikroSD sehingga 512GB. Kata kunci di sini ialah pilihan. Pada Android pengguna mempunyai pilihan menambah storan di kemudian hari apabila storan dalaman peranti tidak lagi mencukupi.

7.Kamera Yang Lebih Baik

Sebuah lagi topik penuh kontroversi yang pasti menghasilkan komen negatif pada ruangan komen ialah kamera. Pengguna iPhone bermati-matian mengatakan kualiti gambar iPhone adalah lebih baik berbanding pada Android. Realitinya selepas menggunakan Huawei P20 Pro sejak awal tahun dan iPhone X, dalam 80% situasi kamera pada P20 Pro adalah lebih baik. Maka tidak mengejutkan P20 Pro masih lagi di persada carta kamera terbaik DXOMark. Gambar pada waktu malam P20 Pro masih belum mampu ditandingi iPhone X.

Kelebihan iPhone hanya terletak pada kesan bokeh mod potret yang paling realistik. Tetapi tanyalah diri anda dengan ikhlas, berapa kerapkah anda menggunakan mod potret pada telefon pintar? Gimik Portrait Lighning yang diuar-uarkan iPhone X juga hanya digunakan pada minggu-minggu awal tetapi kini diabaikan kerana tidak praktikal untuk kegunaan harian. Sebagai pengguna yang mengambil ribuan gambar di dalam situasi gelap (seperti pada majlis pelancaran produk), mod malam peranti mercu Android masih terbaik dan boleh diandalkan berbanding iPhone.

8.Pengecasan Yang Lebih Pantas

iPhone X dan iPhone 8 akhirnya mempunyai sokongan pengecasan pantas dengan kuasa maksimum 18W. Bateri iPhone X boleh dicas sehingga 50% dalam masa 30 minit. Ini mungkin pantas bagi sebuah iPhone tetapi bukan yang terpantas pada Android.

Dengan QuickCharge 4, bateri boleh dicas ke tahap yang sama dalam masa 15 minit. Dash Charge pada peranti OnePlus pula mengecas ke 60% dalam masa 35 minit. Bagi mereka yang tidak mahu menanti lama untuk bateri dicas, Android ialah platform yang memberikan pelbagai sistem pengecasan yang lebih pantas berbanding iOS.

Mata bonus untuk Android ialah pengecas pantas disertakan dengan setiap pembelian peranti tanpa perlu membelinya secara berasingan pada harga yang mahal.

9.Kustomasi

Terdapat banyak pelancar pada Android yang memenuhi citarasa pengguna yang berbeza-beza. Bagi yang mahukan antaramuka asal mereka boleh membeli Pixel atau peranti Android One. Yang mahukan antaramuka seakan iOS mereka boleh menggunakan FunTouch OS oleh Vivo. Yang lebih berani dan mahu merubah setiap elemen antaramuka, terdapat pelancar pihak ketiga yang boleh dibeli dari Play Store.

Kebebasan ini adalah maakul kerana antaramuka sarwajagat pada iOS mengehadkan pilihan pengguna. Mereka harus gembira dengan aplikasi yang terpapar dan berselerak pada muka hadapan dan tidak disimpan pada talam aplikasi. Hanya terdapat satu cara navigasi pada iOS dan antara perlu menyukainya. Pada Android kini wujud pilihan butang navigasi atas skrin atau gesture seakan iOS sekiranya ia lebih selari dengan citarasa anda. Kerana sudah bertahun menggunakan Android yang boleh dikustomasi, kekangan iOS amat sukar untuk kami terima.


Berikut ialah sebab-sebab utama mengapa selepas menggunakan iPhone X selama hampir setahun menyebabkan kami semakin setia dengan Android. Pengalaman pengguna lain mungkin berbeza. Bagi pembaca Amanz yang mempunyai peranti Android dan iOS pula apa pula pendapat anda?

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd