Cari @ Amanz

BeReal adalah platform media sosial baharu yang kini sedang menjadi trend. Ia cuba menjadi sesuatu yang berlainan, di mana pengguna tidak boleh sesuka hati kongsi video atau gambar pada bila-bila masa. Sebaliknya, perlu tunggu notifikasi rawak dan akan diberikan masa terhad untuk kongsi detik istimewa yang sedang berlaku.

Bulan lepas, Instagram turut mula menguji ciri ini melalui IG Candid Challenge. Kini giliran TikTok pula menawarkan ciri yang lebih kurang sama. Tetapi untuk TikTok, mereka hadir dengan aplikasi khas iaitu TikTok Now dan Malaysia adalah antara negara terawal yang boleh menggunakannya.

Dengan TikTok Now, pengguna boleh kongsi detik istimewa dalam bentuk video 10 saat atau gambar serentak dengan rakan-rakan. Pengguna akan diberikan masa selama tiga minit untuk kongsi sesuatu menggunakan kamera swafoto dan kamera belakang. Perkongsian juga tidak boleh dilakukan sesuka hati, sebaliknya perlu tunggu notifikasi rawak yang diberikan oleh aplikasi. Selepas kandungan disiarkan, dalam aplikasi pada profil akan ada paparan seakan kalendar untuk melihat kembali detik-detik silam yang pernah dikongsi sebelumnya.

Aplikasi ini dilihat tersedia di Apple App Store untuk pengguna iPhone dan juga Google Play Store untuk pengguna Android. Aplikasi ini adalah percuma untuk digunakan dan bagi mereka yang ingin cuba platform media sosial yang berbeza dengan biasa, ini mungkin menarik untuk anda.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd