Cari @ Amanz

Media sosial ialah seperti pedang bermata dua. Apabila digunakan secara positif ia mengeratkan hubungan antara teman dan sanak saudara. Sebaliknya ia juga boleh digunakan untuk tujuan keji di mana pemangsa menghantar mesej yang tidak senonoh terus ke dalam DM pemilik akaun. Menyedari isu serius ini sudah berlarutan untuk tempoh yang lama, ciri menghalang imej lucah dari diterima dalam DM sedang dibangunkan oleh Instagram.

Ciri yang diberi nama “Nudity Protection” telah ditemukan oleh Alessandro Paluzzi seorang pembangun aplikasi peranti pintar menerusi laman Twitter beliau. Sistem akan mengesan imej yang mungkin mengandungi elemen lucah secara automatik apabila diaktifkan. Kemudian gambar akan dikaburkan dari pandangan pemilik akaun. Tips akan diberikan kepada penerima mengenai apakah tindakan yang boleh dilakukan seterusnya.

Akhir sekali ciri ini boleh dimatikan oleh pengguna. Instagram tidak akan melihat imej yang dihantar sebaliknya ia semua beroperasi di peringkat sistem untuk memastikan privasi. Meta telah mengesahkan kepada The Verge bahawa mereka akan berkongsi lebih lanjut mengenai ciri ini dalam masa beberapa minggu sahaja lagi.

Sistem saringan DM ini adalah mirip dengan sistem yang diperkenalkan Apple pada April lalu untuk memastikan keselamatan pengguna bawah umur.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd