Carian
Ulasan Ugreen 100W GaN Fast Charger – Pengecas Pantas Sarwajagat Pilihan
October 10, 2022 Fahim Zahar

Kita sekarang hidup dengan pelbagai gajet dan hampir mustahil untuk hidup tanpa menggunakannya. Situasi kini menjadi lebih rumit kerana kesemua peranti-peranti ini perlu dicas setiap hari dengan setiap satunya menyokong format pengecasan yang berbeza. Oppo dengan SuperVOOC, Huawei dengan SuperCharge dan Apple pula dengan USB PD.

Situasi menjadi semakin sukar apabila pengguna keluar melancong. Berapa pengecas perlu dibawa dan kepala pengecas mana yang perlu diutamakan. Saya pernah berhadapan situasi telefon yang dibawa hanya mengecas pada kadar perlahan kerana tersalah membawa pengecas ketika di luar negara.

Ugreen 100W GaN Fast Charger cuba menyelesaikan masalah ini dengan menawarkan pengecas pantas yang menyokong pelbagai piawaian pengecasan popular. Adakah ini pengecas semua dalam satu yang terbaik di pasaran sekarang?

Spesifikasi Dan Rekaan

Ugreen 100W GaN Fast Charger ini turut ditawarkan sebagai Ugreen Nexode 100W Charger, menyokong piawaian pengecasan pantas USB Power Delivery 3.0, Qualcomm Quick Charge 4.0+, pengecasan PPS, Adaptive Fast Charging, Apple 5V2.4A dan BC1.2 pada port USB-C. Manakala pada port USB-A pula ia menyokong Super Charge Protocol, Quick Charge 3.0, Fast Charge Protocol, Apple 5V2.4A dan BC1.2.

Terdapat empat port pengecasan sepenuhnya pada bahagian atas – tiga USB-C dan satu USB-A. Port USB-C 1 dan USB-C 2 boleh mencapai sehingga 100W, sementara port USB-C 3 serta USB-A mengecas pada kuasa maksimum 22.5W. Keempat-empat port pengecasan boleh digunakan secara serentak. Ugreen menyertakan cip perlindungan Ugreen Power-X dan menjamin apabila mengecas peranti ia hanya akan mempunyai suhu mencapai 35 darjah sahaja.

Ugreen turut memberi panduan penggunaan pengecas dengan betul yang saya rasakan amat membantu. Dengan carta di bawah, saya boleh tahun kuasa maksimum yang dibekalkan setiap port bergantung kepada kombinasi port yang digunakan.

Pengalaman Penggunaan

Pengecas ini pada mulanya saya hanya digunakan pada komputer riba Huawei Matebook 14S yang memerlukan pengecas Huawei SuperCharge 90W. Komputer dicas seperti menggunakan pengecas asli yang diberikan dengan bateri dicas sehingga 50% dalam masa satu jam tanpa sebarang isu.

Tetapi apabila dua port digunakan, komputer riba saya hanya boleh menerima kuasa 65W dan port USB-C 2 boleh mengecas peranti pada kadar 30W. Ini membolehkan telefon pintar seperti Z Flip4, iPhone 14 dan Nothing Phone (1) dicas serentak juga dengan pantas. Pengecasan sehingga tiga peranti juga tiada isu dengan output ketiga-tiga port diturunkan seperti dalam grafik di atas.

Saya kemudiannya mengecas OnePlus 10T yang menyokong 150W SuperVOOC. Dalam ujian yang dilakukan, saya yakin ia mengecas pada kadar 65W seperti piawaian Warp Charge kerana peranti ini boleh dicas dengan pantas sekitar kurang satu jam.

Bagi pemilik peranti Apple pula, tiga iPhone/iPad boleh dicas serentak pada kuasa pengecasan terpantas Saya menguji mengecas iPhone 12 Mini, iPhone 13 Pro dan iPhone 14 Plus tanpa sebarang isu kerana ketiga-tiganya hanya memerlukan 20W. Saya turut menggunakan pengecas ini untuk mengecas jam seperti Amazfit GTR 4, Xiaomi Smart Band 7 Pro dan Apple Watch Series 7.

Kesemua peranti dicas dengan sempurna tanpa masalah pemanasan melampau. Yang panas hanyalah pengecas itu sendiri tetapi itu sekadar suam sahaja dan masih boleh dipegang. Ini berbeza dengan pengecas lain yang pernah diulas di Amanz seperti Innergie yang menjadi amat panas semasa digunakan.

Kesimpulan

Ugreen 100W GaN Charger ini telah membantu memudahkan lagi urusan hidup saya. Setakat ini jika saya pulang ke kampung, saya hanya membawa satu pengecas sahaja dan tidak lagi perlu membawa banyak pengecas seperti sebelum ini. Walaupun tidak banyak beza berat pada beg saya, sekurang-kurangnya beg saya memberi ruang tambahan untuk mengisi barang lain.

Harga jualan adalah sekitar RM200 bergantung beli di mana. Di Shopee harganya adalah RM205 ke RM219. Ugreen turut menjual kabel pengecas 100W PD dengan harga bawah RM60. Kabel ini turut boleh mengecas pelbagai peranti, jadi jika telefon sudah dicas, boleh gunakan satu kabel untuk mengecas komputer riba.

Harga ini pada saya sebenarnya tidak mahal jika fikirkan kebaikan yang ada, berbanding membeli pengecas PD asas 30W berkali-kali dengan binaan yang tidak tahan lasak, terhad dengan satu ke dua port dan lain-lain. Jika anda ada banyak pengecas ini adalah jalan penyelesaian terbaik pada saya dan saya amat galakkan anda cuba memiliki pengecas GaN seperti ini bukan sahaja menyokong kuasa yang tinggi tetapi mempunyai empat port pengecas.

Pro

  • Saiz yang kompak, padat dan ringan.
  • Menyokong banyak piawaian pengecasan pantas.
  • Pengecas tidak mudah panas walaupun mengecas banyak peranti.
  • Empat port pengecas terbina.

Kontra

  • Masih tidak menyokong pengecasan pantas untuk pengeluar peranti dengan piawaian tersendiri.
  • Agak mahal.
Komen