Dalam karya sains fiksyen, pelbagai cara digunakan untuk mengubah haluan asteroid yang dikesan akan menghentam bumi. Dalam filem popular Armageddon misalnya, bom nuklear digerudi masuk ke asteroid untuk memecahkannya dengan selamat sebelum ia melanggar bumi. Tetapi usaha untuk membangunkan sistem pertahanan bumi dari asteroid telah dibangunkan NASA menerusi misi Double Asteroid Redirection Test (DART).
Pagi ini satelit DART telah berjaya dihempaskan ke permukaan asteroid Dimorphos yang terletak 11 juta kilometer dari bumi. DART yang sebesar mesin layan diri terhempas 17 meter dari sasaran asal di permukaan Dimorphos yang sebesar sebuah stadium.
Ini hanyalah fasa pertama misi DART dengan saintis sedang memantau sama ada hentaman pada kelajuan 24,000 km/j mampu mengubah haluan Dimorphos. Data yang dikumpul menerusi misi DART ini diharap akan dapat digunakan untuk membina sistem pertahanan bumi dari asteroid yang mungkin tiba di masa hadapan. Sains fiksyen menghantar pekerja pelantar minyak ke angkasa mungkin tidak berlaku tetapi robot mungkin akan dihantar seperti dalam filem Don’t Look Up.