Ulasan Kobo Clara 2E – Membaca Amalan Mulia Dan Mahal

Diterbitkan pada Okt 6, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Baru-baru ini Rakuten, syarikat pemilik disebalik jenama peranti buku digital Kobo telah memperkenalkan sejumlah model secara rasmi di pasaran Malaysia. Salah satu daripada pembaca buku digital tersebut ialah Kobo Clara 2E, yang juga merupakan pembaca buku digital terbaru keluaran Kobo.

Kami diberi peluang untuk menguji pembaca buku ini, dan sebagai seorang pembaca tegar yang tidak mempunyai begitu banyak ruang di almari dan rak untuk buku-buku baru, ini adalah pengalaman saya menggunakan peranti ini.

Spesifikasi Dan Rekaan

Kobo Clara 2E hadir dengan paparan E-Ink Carta 1200 bersaiz 6.0 inci dengan kebolehan sesentuh dan juga ComfortLight PRO yang membolehkan paparan ini hadir dengan pencahayaan terbina yang membolehkan pengguna untuk mengubahsuai kecerahan paparan mengikut keperluan penggunaan.

Seperti yang dikatakan sebelum ini, pembaca buku digital ini juga hadir dengan kebolehan sesentuh dan kebanyakan daripada fungsi peranti ini hanya boleh diakses melalui gerak-geri sesentuh pada peranti ini. Ia hadir dengan butang kuasa di bahagian belakang, manakala untuk pengecasan, ia hadir dengan palam USB Type-C yang boleh digunakan untuk mengecas peranti ini dengan pantas.

Dari segi storan, Kobo Clara 2E hadir dengan storan terbina sebesar 16GB yang boleh memuatkan hampir 700 buku digital dengan saiz 24MB setiap satu tanpa masalah.

Dari segi sokongan teknologi lain, pembaca digital ini juga hadir dengan sokongan untuk rangkaian WiFi dan juga Bluetooth, dimana pengguna boleh menyambungkan aksesori seperti fon kepala nirwayar kepada Kobo Clara 2E ini. Ini adalah kerana peranti ini juga berupaya untuk membaca buku audio (audiobook) secara terus melalui penawaran mereka di gedung atas-talian Kobo.

Lebih menarik lagi ialah 85 peratus daripada rangka Kobo Clara 2E ini diperbuat daripada plastik kitar semula, dimana 10 peratus daripada bahan kitar semula tersebut pula ialah plastik lautan (ocean-bound plastic).

Dengan pembangunan peranti Kobo Clara 2E ini, disamping memberikan para pengguna peranti pembaca digital yang padat dan boleh merumahkan beratus-ratus buku, Rakuten, ibu syarikat Kobo juga mahu mengurangkan sisa buangan yang boleh dikitar semula dalam masa satu tahun peranti ini diperkenalkan.

Dalam satu tahun ini, mereka mahu mengurangkan sebanyak 200 ribu botol plastik dari lautan dunia dan juga lebih dari satu juta CD dan DVD dari tapak-tapak pelupusan di muka bumi.

Sebuah aksesori penutup juga diberikan kepada kami untuk menutup skrin pembaca digital ini, tetapi kami difahamkan bahawa ianya dijual secara berasingan daripada peranti Kobo E2 Clara ini. Aksesori ini juga boleh digunakan sebagai tapak untuk peranti ini sekiranya anda tidak mahu memegangnya ketika membaca.

Pengalaman Pengguna

Satu kelebihan yang saya dapat lihat pada Kobo Clara 2E ini, berbanding dengan pembaca buku digital lain seperti Kindle ialah ia hadir dengan sokongan untuk pelbagai jenis buku digital yang boleh didapati dimana-mana sekarang.

Ya, Kobo mempunyai format buku digital mereka tersendiri, tetapi dengan Kobo Clara 2E anda tidak terhad kepada satu jenis sahaja. Pembaca digital ini menyokong 15 jenis format buku digital dan imej, termasuklah PUB, EPUB3, FlePub, PDF, MOBI, JPEG, GIF, PNG, BMP, TIFF, TXT, HTML, RTF, CBZ dan CBR.

Untuk format fail imej seperti JPEG, BMP dan sebagainya, oleh kerana skrin peranti adalah e-ink hitam dan putih, ia tidak memperlihatkam sebarang warna apabila ia diperlihatkan.

Untuk bacaan teks, saya dapati bahawa paparan skrin E-Ink Carta 1200 cukup tajam apabila memaparkan teks untuk dibaca. Dan dengan kebolehan pencahayaan latar terbina, anda boleh membaca novel-novel dan teks kegemaran anda tidak kira dimana anda berada dan pada waktu apa sekalipun.

Satu lagi tambahan yang sangat menarik pada Kobo Clara 2E ialah sokongan ketahanan air dan debu IPX8. Secara ringkasnya ini bermakna anda boleh membawa peranti ini membaca bersama anda tidak kira dimana, samada di hutan, padang pasir, teti pantai ataupun sungai.

Malah, saya boleh katakan bahawa jika anda seorang yang gemar membaca ketika menggunakan tandas ataupun mandi, tidak menjadi masalah untuk membawanya bersama anda, walaupun kami sarankan anda membersihkan dan mengeringkan peranti secepat yang mungkin selepas membawanya ke lokasi-lokasi ini.

Mempelajari sentuhan-sentuhan pintas untuk peranti ini tidaklah begitu sukar juga, dan seperti yang saya katakan sebelum ini, kebanyakan ciri-ciri dan tetapan Kobo Clara 2E ini hanya diakses melalui skrin sesentuh ini.

Dengan sambungan ke internet, Kobo Clara 2E ini juga hadir dengan pelayar web terbina, tetapi diklasifikasikan sebagai ciri beta yang mana ia mempunyai kebarangkalian untuk menghadapi isu apabila digunakan.

Ciri pelayar web ini bagi saya cukup penting kerana ia memudahkan akses kepada laman web seperti Wattpad dan juga beberapa laman web tulisan fiksyen yang saya gemar layari pada masa terluang tanpa perlu menghadap skrin komputer, peranti pintar ataupun tablet.

Cuma isunya disini ialah oleh kerana ia sebuah ciri beta, pelayar web ini sering menghadapi masalah tertutup dengan sendiri dan tiada cara untuk membuka laman web yang dilayari sebelum ini.

Ia diharap bahawa Kobo akan mengemaskini ciri tersebut dengan versi yang lebih stabil, kerana bagi saya peranti ini adalah cara yang terbaik untuk membaca kandungan fiksyen atas talian selain daripada buku elektronik.

Bercakap mengenai kandungan, salah satu cara untuk anda mendapatkan buku elektronik kedalam peranti Kobo Clara 2E ini ialah dengan membelinya daripada gudang buku digital Kobo terus daripada peranti ini ataupun dengan melog masuk kedalam akaun Kobo anda dari mana-mana sahaja.

Anda mungkin menjangkakan bahawa menatal skrin gudang digital Kobo ini cukup mudah sekali, tetapi dalam pengalaman saya, percubaan untuk membeli sebuah buku digital menggunakan peranti ini cukup menjengkelkan sekali.

Melayari pilihan buku dan juga mukasurat gedung digital ini ibarat mencakar muka dengan kuku sendiri. Selain daripada sela-masa apabila melayarinya, antaramuka gedung ini juga merupakan cabaran yang pasti akan mengelirukan pengguna.

Saranan saya ialah untuk membeli buku Kobo ini melalui komputer ataupun tablet, dan memuat-turunnya pada peranti Kobo untuk pengalaman yang lebih menyenangkan.

Pengubahsuaian

Jika pengalaman membaca anda tidak begitu baik dengan tetapan lalai, anda juga boleh mengubahsuai jenis dan saiz font buku elektronik anda kepada apa yang anda lebih gemar dengan cepat dan mudah.

Bagi saya, tetapan lalai yang diperlihatkan pada buku-buku elektronik ini bukanlah satu masalah kerana paparan E-Ink yang cukup tajam tidak kira jika saya membaca kandungan teks ataupun komik hitam dan putih.

Tetapan untuk pengubahsuaian teks buku elektronik ini, ia boleh diakses apabila anda membaca mana-mana buku tersebut dengan menatal menu tetapan di bahagian atas laman buku elektronik.

Bateri

Salah satu perkara yang saya sangat suka mengenai Kobo Clara 2E ialah ia mempunyai jangkahayat bateri yang cukup panjang sekali. Saya menggunakan peranti ini untuk beberapa minggu, dan selepas hanya mengecasnya sekali ke kapasiti 100 peratus, saya tidak pernah sekali pun perlu mengecas peranti ini setakat ini.

Walaupun begitu, kebanyakan kalinya saya hanya menggunakan peranti ini untuk membaca buku dengan hanya memasang lampu latar pada tahap 10-20 peratus jadi jangkahayatnya memang dilihat akan bertahan lama.

Sekiranya cahaya latar ditingkatkan ke maksima (ini tidak diperlukan) ataupun jika anda banyak mendengar audiobook, kami jangkakan bahawa bateri peranti ini akan menurun pada kadar yang lebih cepat.

Walaupun begitu, mengecas peranti ini juga tidaklah begitu lama, dan anda hanya perlu menyambungkan Kobo Clara 2E ini kepada sebuah pengecas dengan kabel USB Type-C untuk mengecasnya.

Penutup

Jika anda seorang pembaca yang tegar dan mahukan sebuah peranti pembaca digital yang menyokong pelbagai jenis format bacaan percuma dan juga berbayar, Kobo Clara 2E ini mungkin sebuah pembaca digital e-ink yang boleh dipertimbangkan.

Kelebihan seperti skrin sesentuh, pencahayaan latar, storan besar, WiFi, Bluetooth, sokongan pelbagai jenis fail buku elektronik dan juga buku audio membuatkan Kobo Clara 2E ini sebuah peranti yang pastinya dimahui ramai.

Akan tetapi pada tanda harga RM699, saya akan katakan bahawa berkemungkinan peranti ini hanya akan dibeli oleh para pembaca tegar yang tidak mahu timbunan buku berselerak di rumah mereka, atau mereka yang sering membaca apabila berulang-alik dari rumah dan pejabat.

Seperti yang dikatakan juga masih terdapat beberapa kelemahan yang hadir pada peranti Kobo Clara 2E ini, seperti pelayar web yang masih mempunyai sejumlah isu pepijat yang menyebabkannya tertutup secara tiba-tiba, isu menavigasi gudang buku pada peranti ini dan sebagainya.

Pro:

  • Rekaan padat dan mudah dibawa kemana-mana
  • Mudah digunakan
  • Menyokong pelbagai jenis buku elektronik, termasuk buku audio
  • Sokongan WiFi dan Bluetooth
  • Bateri tahan lama
  • Sistem pencahayaan latar yang baik
  • Kalis air

Kontra:

  • Harga
  • Gedung buku digital yang tidak mesra pengguna
  • Sejumlah ciri-ciri yang ditawarkan tidak stabil

komen


© Amanz / 2022 Kami