Carian
Amazon Turut Hadir Dengan Beberapa Produk Fire TV Baharu – Fire TV Omni QLED Dan Fire TV Cube Generasi Baharu
September 29, 2022 Fahim Zahar

Amazon baru-baru ini telah melancarkan beberapa produk baharu dalam siri Echo, siri Fire TV dan juga Kindle. Antara yang menarik pada kami adalah dalam siri Fire TV kerana mereka bersaing sengit dengan Chromecast with Google TV dan produk-produk dongel/kotak TV Android TV/Google TV lain.

Fire TV Omni QLED

Ini bukan kali pertama mereka melancarkan televisyen pintar, sebaliknya ia adalah generasi baharu dan dikatakan adalah antara televisyen paling pintar setakat ini. Seperti produk TV Amazon yang lain, Fire TV Omni QLED ini menjalankan sistem operasi Fire TV yang menyokong banyak platform penstriman video.

Ciri paling baharu diperkenalkan adalah Ambient Experience yang mengubah televisyen ini menjadi paparan pintar apabila ia mengesan ada orang berada berdekatan dengannya. Ciri ini akan terus memaparkan gambar latar belakang yang cantik dan menarik, wiodget-widget Alexa, memberi akses pantas untuk pengguna terus mengawal muzik dengan arahan suara, memaparkan galeri gambar, Alexa Routines dan banyak lagi.

Televisyen ini hadir dengan dua pilihan saiz iaitu 65-inci atau 75-inci dengan panel QLED yang menyokong paparan 4K, HDR10+, HLG, Dolby Vision IQ dan juga HDR10+ Adaptive. Tidak banyak spesifikasi lain yang didedahkan, tetapi harga jualan Fire TV Omni QLED ini adalah $799.99 untuk 65-inci dan $1099.99 untuk 75-inci iaitu sekitar RM3,717 – RM5,111.

Fire TV Cube

Fire TV Cube adalah kotak TV mercu Amazon yang mempunyai kemampuan yang jauh lebih hebat berbanding dongel mereka seperti Fire TV Stick. Generasi baharu ini hadir dengan rekaan lebih segar dengan bentuk kiub yang mempunyai bucu lebih bulat serta dilindungi dengan fabrik untuk nampak seperti sebuah speaker.

Fire TV Cube ini masih lagi menyokong sensor infra merah 360 darjah untuk ia mengawal pelbagai produk elektronik di rumah termasuk dengan soundbar, barangan Echo lain atau juga mengawal TV. Ia turut mempunyai empat mikrofon terbina untuk mengawal Amazon Alexa dengan arahan suara. Kotak TV ini juga menjalankan sistem operasi Fire TV dan dijana dengan cip pemprosesan lapan teras 2.0GHz.

Amazon turut menyertakan ciri Super Resolution Upscaling yang boleh mengubah kandungan HD kepada 4K seperti yang disokong pada kotak TV/konsol Nvidia Shield TV. Fire TV Cube turut mempunyai banyak port sambungan termasuk dengan HDMI-in dan HDMI-out untuk disambungkan dengan peranti lain seperti pemain Blu-ray. Sambungan ethernet turut disediakan, port USB-A, pada permukaan kiub ini terdapat kawalan fizikal aras suara, butang memilih dan butang membisukan mikrofon.

Ia turut mempunyai bar LED untuk memaparkan status Alexa dan menyokong sambungan WiFi 6E. Harga jualannya adalah $139.99 iaitu sekitar RM650.

Komen