Carian
Xiaomi 12T Dan Xiaomi 12T Pro Dijual Di Malaysia Pada Harga Bermula RM1,999
October 4, 2022 Fahim Zahar

Xiaomi sebentar tadi telah melancarkan dua peranti baharu iaitu Xiaomi 12T dan Xiaomi 12T Pro. Kedua-dua peranti ini menggunakan rekaan yang lebih kurang sama, seperti yang dilakukan dengan siri Xiaomi 11T tahun lepas. Membezakan dua peranti ini adalah spesifikasi dalaman mereka.

Xiaomi 12T Pro dijana dengan cip Snapdragon 8+ Gen 1, mempunyai memori sehingga 12GB RAM dan storan dalaman mencapai 256GB. Kamera adalah 200MP daripada sensor Samsung ISOCELL HP1 yang dipadankan dengan sensor 8MP dan 2MP. Kamera swafoto adalah 20MP, peranti turut mempunyai bateri 5000mAh dengan sokongan pengecasan 120W. Skrin adalah 6.67-inci CrystalRes AMOLED DotDisplay dengan sokongan 120Hz serta paparan Dolby Vision.

Untuk Xiaomi 12T Pro, Xiaomi Malaysia menawarkan pilihan warna; hitam, perak atau biru. Harga jualan adalah RM2,699 untuk 8/256 GB dan RM2,999 untuk 12/256 GB. Sempena pelancaran, Xiaomi akan menawarkan percuma Xiaomi Smart Band 7 Pro yang bernilai RM299 dan Redmi Buds 3 Pro yang bernilai RM239 jika beli di kedai fizikal Xiaomi. Manakala jika pembeli beli di Lazada atau Shopee, Mi Watch yang bernilai RM469 akan diberikan secara percuma.

Untuk Xiaomi 12T pula, spesifikasi peranti adalah lebih kurang sama. Bezanya adalah pada kamera yang menggunakan sensor utama 108MP berbanding 200MP dan skrin HDR10+ berbanding Pro dengan sokongan Dolby Vision. Beza yang lain adalah pada speaker, di mana model biasa menggunakan sistem Dolby Atmos yang biasa dilihat – sementara model Pro speaker ditala oleh Harmon/Kardon.

Di Malaysia, Xiaomi 12T ditawarkan dengan pilihan warna; hitam, perak atau biru. Untuk jualan pula, hanya satu variasi sahaja iaitu 8/256 GB dan dijual pada harga RM1,999. Sempena pelancaran, Xiaomi akan menawarkan percuma Redmi Buds 3 Pro yang bernilai RM239 jika beli di mana-mana kedai Xiaomi serta Lazada atau Shopee rasmi mereka.

Tempoh pra-tempahan untuk kedua-dua peranti adalah dari 5 Oktober sehingga 12 Oktober. Mereka yang membeli pada tarikh ini turut akan menerima jaminan tambahan satu tahun serta perlindungan skrin yang bernilai RM499 dan RM199.

Komen