Kesihatan Bateri Peranti Android Diperlihatkan Dengan Lebih Jelas

Diterbitkan pada Okt 6, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Bulan lepas kami melaporkan yang kemaskini Android 13 akan datang akan akhirnya memaparkan kesihatan bateri peranti selepas bertahun lamanya ciri ini diperkenalkan kepada pengguna iPhone. Terdapat empat senggatan untuk kesihatan bateri. Apabila ia mencapai senggatan yang paling rendah peranti akan memberikan saranan supaya bateri peranti ditukar untuk mengelakkan is semasa ia beroperasi.

Terkini dalam Android 13 QPR1 Beta 2, 9to5Google telah menemui ciri kesihatan bateri ini akan memaparkan lebih banyak maklumat bagi membantu pengguna agar kesihatan bateri peranti terjamin. Ciri ini akan dipaparkan dalam tetapan sistem di bahagian bateri di bawah Battery Health.

Di dalam Battery Health ia akan memaparkan status kesihatan bateri dan juga panduan untuk memastikan bateri peranti boleh bertahan lebih lama. Di bahagian Maximum Capacity ia akan memperlihatkan peratusan bateri. Dalam tetapan ini turut akan ada peringatan mengenai bateri peranti akan menjadi semakin lemah dan dimakan usia. Bateri yang lemah kemudiannya akan memberi peringatan Need Attention untuk pengguna melakukan sesuatu sebelum terlambat. Antaranya adalah;

  • Mengaktifkan Adaptive Charging.
  • Mengoptimasikan tetapan peranti.
  • Sentiasa mengemaskini peranti kepada versi terkini.
  • Menggunakan pengecas yang sesuai dan mengikut piawaian yang disokong oleh peranti.

Kesihatan bateri untuk Android ini dikatakan akan mula diperkenalkan melalui Android 13 QPR1 sekitar Disember akan datang. Buat masa ini ciri ini hanya terhad untuk pengguna Pixel untuk kemaskini Feature Drop dan tidak pasti lagi jika ia akan ditawarkan kepada peranti Android lain.

Xiaomi turut pernah menguji ciri ini, tetapi ia masih tidak kelihatan lagi pada mana-mana peranti mereka. Dengan Google yang akan menawarkan ciri ini terus terbina, kelak semua peranti Android mungkin boleh mengimplementasikan dalam AOSP agar lebih banyak peranti boleh memanfaatkan ciri ini.

komen


© Amanz / 2022 Kami