Ulasan Acer Predator X28 – Monitor Untuk Bekerja Dan Bergembira

Diterbitkan pada Okt 14, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Pandemik memerlukan kami bekerja dari rumah selama hampir dua tahun. Pada waktu yang sama kami menyedari ia menyebabkan kami bekerja lebih lama berbanding di pejabat sehingga boleh dikategorikan sebagai kurang baik untuk kesihatan mental. Oleh itu monitor di rumah mempunyai fungsi berganda disambungkan juga kepada sebuah konsol PlayStation 5.

Isu yang kami hadapi ialah monitor untuk bekerja tidak begitu sesuai digunakan sebagai monitor untuk sesi permainan video selepas waktu pejabat. Maka kami sentiasa mencari monitor yang boleh memenuhi kedua-dua keperluan ini. Acer Predator X28 ialah monitor yang cuba memenuhi keperluan ini dan pada waktu yang sama juga merupakan monitor Predator paling mampu milik di pasaran Malaysia sekarang.


Spesifikasi dan Rekaan

Acer Predator X28
Skrin28″ IPS LCD, 3840 x 2160 pixel, 16:9, 152Hz
Sokongan Warna1.07 Bilion warna
170% sRGB
DisplayHDR 400
Nisbah Kontras1000 : 1
Kecerahan400 cd/m²
Masa Tindak Balas0.2 ms
Sokongan Paparan AdaptifNVIDIA G-Sync
CagakVESA
I/O2x HDMI 2.0, 1x Display Port 1.4
AudioSpeaker Stereo 2W
USB3x USB 3.0
1x USB 2.0
Kamera WebTiada
HargaHarga saranan RM 3699

Skrin

Skrin hanya sebesar 28″ adalah dari keluarga IPS LCD dengan resolusi sehingga 4K. Skrin bernisbah tradisional 16:9 dengan kadar segar semula pula sehingga 152Hz jika mod lewah jam diaktifkan. Terdapat sokongan untuk NVIDIA G-Sync yang akan menyelesaikan sebarang isu grafik terkoyak apabila dipaparkan pada skrin. Panel juga boleh mencapai keterangan maksimum 400 nits yang melepasi piawaian VESA Display HDR 400.

Spesifikasi yang agak impresif khususnya bagi golongan yang memiliki PC spesifikasi yang tinggi. Bagi kami perkara negatif hanyalah saiz 28″ yang kami kategorikan sebagai kecil bagi sebuah monitor gaming. Mungkin kerana di makmal Amanz secara purata monitor gaming yang digunakan mempunyai saiz purata 32″. Tetapi kami menyedari sasaran Acer untuk X28 ialah golongan gamer yang mempunyai bilik yang kecil. Dalam situasi ini 28″ adalah lebih daripada memuaskan.

Walaupun kecil ia memaparkan warna yang baik dan dengan sudut pandangan yang amat memuaskan. Ini adalah perlu kerana X28 seperti kesemua monitor Predator mempunyai sudut pusingan, dongakan dan putaran yang amat baik. Jika leher terpusing sedikit, kandungan di monitor masih dapat dilihat dengan jelas tanpa isu wash-out yang sering lihat pada monitor kelas amat mampu milik di pasaran sekarang.

Seperkara lagi yang boleh kami masukkan ke dalam kategori negatif ialah paparan HDR. Keterangan maksimum 400 nits pada hemat kami masih belum cukup “terang” untuk memaparkan kandungan HDR sebenar. Ini ialah keterangan yang lebih rendah berbanding majoriti telefon pintar kelas pertengahan yang pernah diuji di makmal Amanz. Ya memang ada sokongan HDR tetapi ia langsung tidak cukup makan.

Monitor mengekalkan rekaan tiga sisi bezel nipis dan satu bezel besar di bahagian bawah. Nipis di sini adalah mengikut standard monitor komputer dan bukan seperti pada telefon pintar atau televisyen premium. Tetapi pada jarak sekitar 12″, kami tidak merasakan bezel yang tidak begitu nipis ini mengganggu. Ia sama sahaja dengan saiz bezel pada Prism+ PG320 Ultra dan Samsung Smart Monitor M7 yang telah kami ulas sebelum ini.

Tiada kamera web atau sistem penjejakan mata Tobii. Terdapat sepasang speaker stereo dengan output kuasa 2W sahaja. Tidak menakjubkan langsung dan ini mungkin sebab mengapa terdapat sebuah bicu audio di belakang untuk menyambung fon kepala atau speaker yang lebih baik.

Penguna diberikan pilihan empat input dengan 2X HDMI 2.0, 1X DisplayPort 1.4,2X USB-A 3.0 dan 1X USB-A 2.0. HDMI masih lagi 2.0 yang menyebabkan X28 tidak boleh memaparkan kandungan 4K 120PFS jika konsol seperti PS5 dan Xbox Series X dipasang. Dua USB terletak di bahagian belakang dengan dua lagi diletakkan pada sisi kanan.

Tiada langsung sokongan sambungan USB-C yang kami rasakan agak aneh kerana ciri ini pada hemat kami sepatutnya sudah menjadi standard kerana terdapat banyak komputer riba moden dilengkapi port Thunderbolt 3/4.

Kualiti Visual Dan Perisian

Prestasi grafik adalah memuaskan jika anda memiliki komputer yang boleh mencecah kadar bingkai yang tinggi. Kami menguji X28 dengan sebuah Razer Blade 15 dengan kad grafik RTX 3070 Ti. Tiada isu screen tearing dapat kami lihat apabila G-Sync diaktifkan. Pada kadar bingkai yang lebih rendah 60FPS, isu ghosting tidak kelihatan. Pada kadar bingkai yang lebih tinggi masih ada sedikit isu ghosting tetapi tidak sehingga menyebabkan sesi permainan kami terganggu.

Kami menguji X28 dengan Cyberpunk 2077 dan warna neon dalam Night City nampak hidup dan dalam situasi gelap warna hitam dipaparkan dalam warna betul bukannya kelabu. Berubah ke Call of Duty Warzone pula, aksi di skrin sentiasa tajam walaupun kami sedang melakukan aksi pergerakan yang agresif. Ini membantu untuk kami menembak musuh di skrin. Dalam permainan seperti Until Dawn pula, skrin boleh memaparkan visual sinematik permainan aksi yang mirip dengan sebuah filem seram ini.

Skrin terang sepanjang masa dengan apa yang dipaparkan pada skrin masih boleh dilihat jelas walaupun kawasan sekeliling adalah terang. Perisian Lightsense apabila diaktifkan akan menukar keterangan skrin menurut keadaan sekeliling. Pada waktu siang ia dinaikkan dan pada waktu malam dikurangkan bagi mengelakkan mata pengguna silau. Tetapi ciri ini tidak sempurna sepanjang masa dan kadang-kala skrin malap walaupun pada itu kami di siang hari. Lightsense boleh dimatikan dan pengguna menetapkan sendiri keterangan yang diinginkan dengan bacaan dipaparkan dalam skala Nits.

Pujian diberikan bukan sahaja kepada perisian OSD X28 tetapi juga pada butang-butang kawalan yang diberikan Acer. Perisian mudah difahami dengan pelbagai opsyen dan apa yang berlaku jika parameter diubah diterangkan dengan jelas.

Terdapat 3 tetapan visual untuk jenis permainan (Action, Racing, Sports) dan untuk mod grafik bagi mereka menggunakan X28 sebagai komputer kerja. Mod grafik ini kami aktifkan sepanjang masa di pejabat ketika melakukan suntingan gambar di Lightroom dan Photoshop. Bagi yang lebih gemar melakukan tetapan grafik sendiri, tetapan ini boleh disimpan pada salah satu dari 8 slot pratetapan monitor X28.

Butang kawalan di belakang pula dari jenis tombol analog yang mempercepatkan proses pergi ke tetapan skrin dan kemudian melakukan mengubahnya. Butang kawalan seperti ini seharusnya menjadi standard pada kesemua monitor moden.

Audio

Speaker yang disertakan menembak ke bawah dan hanya berkuasa 2W. Kuasa rendah dan menembak ke bawah ialah kombinasi yang tidak memberikan sebarang keyakinan bagi golongan gamer. Ini ialah speaker yang berkuasa lebih rendah dari beberapa speaker bluetooth kelas permulaan yang pernah memasuki makmal Amanz. Jika anda ingin prestasi audio yang baik pada X28 anda akan dikecewakan. Terdapat sebuah bicu audio 3.5mm di belakang untuk fon kepala atau speaker.

Rekaan

Rekaan monitor adalah sama dengan monitor Predator lain di pasaran. Kaki berbentuk tripod yang nampak agresif disambung kepada tangkai leher monitor dengan skru yang boleh diputar dengan tangan. Kami tidak memerlukan pemutar skru langsung untuk mengetatkannya.

Seterusnya leher disambungkan ke panel belakang monitor menerusi mekanisme kunci berbentuk empat segi. Bunyi klik dapat didengari apabila monitor disambung dengan betul. Apabila dikunci sambungan adalah cukup kukuh hingga kami tidak ada isu mengangkat monitor dari bahagian leher. Sebuah suis kecil di bahagian sambungan ini boleh ditekan untuk mencabutnya dengan pantas. Proses memasang monitor akan mengambil masa beberapa minit sahaja tanpa memerlukan alatan khas.

Bagi mereka yang tidak mahu menggunakan tapak dan leher, sebuah cagak VESA 100x100mm diletakkan di bahagian belakang. Dengan cagak VESA ini pengguna boleh menyambungkan kepada angkup meja atau digantung terus ke dinding bilik.

Tapak tiga segi adalah stabil dan tidak terlalu tajam. Berat monitor disebarkan dengan baik dan kami dapat melihat ianya seimbang walaupun selepas melakukan ujian menggegarkan meja. Pada leher terdapat lubang untuk melalukan kabel kuasa, HDMI dan DP bagi mereka yang ingin melakukan pengurusan kabel yang kemas.

Leher monitor membolehkan ia diputar ke kiri dan kanan, mendongak, diubah ketinggian dan diputarkan ke kedudukan menegak. Darjah kebebasan mengubah sudut pandangan dan ketinggian X28 adalah amat baik. Kemudahan mengubah sudut monitor ini adalah perlu kerana adalah sedikit sukar untuk mengakses kesemua port di belakang jika lehernya keras.

Kesimpulan

Acer Predator X28 ialah monitor yang cemerlang bagi mereka yang mencari monitor kompak yang bukan sahaja sesuai digunakan untuk sesi permainan video dan menjadi skrin menonton video di rumah. Saiznya adalah kecil untuk kami tetapi ia memenuhi keperluan pengguna yang tidak mempunyai ruang bilik yang besar.

Prestasi permainan video pada kadar bingkai yang tinggi amat memuaskan dipadankan pula dengan paparan warna yang hidup serta mod pintar mengubah keterangan skrin secara automatik. Leher monitor yang membolehkan sudut pandangan, dongak, ketinggian dan orientasi adalah bonus yang menjadikannya X28 setanding dengan monitor Predator lain yang dijual pada harga lebih mahal.

Ketiadaan HDMI 2.1 dan USB-C adalah sedikit mengecewakan. Audio sekadar 2W juga adalah tidak masuk akal bagi monitor yang dijual pada harga mencecah RM3000 sebuah. Tetapi pada hemat kami perkara-perkara positif X28 adalah lebih banyak berbanding negatif.

Acer Predator X28 dilancarkan April lalu pada harga RM3699 tetapi kini boleh dibeli pada harga serendah RM2999 menerusi stor rasmi Acer Malaysia.


Pro

  • Skrin 28″ 4K yang cantik, terang dan sokongan 152 Hz
  • Sokongan NVIDIA G-Sync.
  • Monitor mudah dilaras sudut, pusingan dan ketinggiannya.
  • Perisian monitor yang mudah digunakan.
  • Port USB-A 3.0 untuk sambungan aksesori lebih baik.

Kontra

  • Speaker 2W yang tidak memberangsangkan.
  • Tiada sambungan input USB-C.
  • Tiada HDMI 2.1.

komen


© Amanz / 2022 Kami