Setakat ini kami sudah mengulas beberapa produk dari Prism+ dalam bentuk televisyen pintar Prism+ Q86 Pro QE dan monitor kerja ultra lebar Prism+ PG400U Pro. Kedua-dua produk menawarkan beberapa ciri premium seperti Dolby Vision dan Dolby Atmos pada harga yang jauh lebih mampu milik berbanding monitor yang dikeluarkan oleh pesaing mereka.
Kini tiba giliran untuk Prism+ PG320 Ultra pula yang merupakan monitor yang dihasilkan khusus untuk golongan gamer pula. Pada ulasan Q86 Pro QE ada pembaca yang merungut ia sekadar dilengkapi panel 4K 60FPS. Pada PG320 Ultra, ia dilengkapi pula dengan panel 4K 32″ 144Hz yang menyokong kod kadar segar semula tinggi konsol generasi semasa.
Spesifikasi dan Rekaan
Prism+ PG320 Ultra | |
---|---|
Skrin | 32″ IPS LCD, 3840 x 2160 pixel, 16:9, 144Hz |
Sokongan Warna | 16.7 juta warna 170% sRGB HDR600 |
Nisbah Kontras | 1000 : 1 |
Kecerahan | 600 cd/m² |
Masa Tindak Balas | 1 ms |
Sokongan Paparan Adaptif | Adaptive Sync |
Cagak | VESA |
I/O | 2x HDMI 2.1, 1x USB-C |
Audio | Speaker Stereo |
USB | Tiada |
Kamera Web | Tiada |
Harga | RM 3599 |
Skrin
Skrin sebesar 32″ adalah dari keluarga IPS LCD dengan resolusi sehingga 4K. Skrin bernisbah tradisional 16:9 dengan kadar segar semula pula hanya sehingga 144Hz. Terdapat sokongan untuk Adaptive Sync tetapi tidak sokongan rasmi NVIDIA GSYNC atau AMD FreeSynce. Panel juga boleh mencapai keterangan maksimum 600 cd/m².
Di atas kertas ini ialah panel yang cukup padu untuk mereka yang mempunyai akses kepada PC dengan kad grafik prestasi tinggi dan juga konsol generasi semasa. Walaupun dikatakan menyokong HDR600, panel ini menyokong piawaian HDR10+ atau Dolby Vision yang lebih popular. Sedikit canggung kerana ini disokong secara rasmi pada televisyen pintar keluaran Prism+ di Malaysia.
Monitor hadir dengan tiga bezel yang nipis dan satu bezel besa di bawah. Nipis di sini ialah mengikut standard monitor komputer bukan seperti pada telefon pintar. Setiap bezel mempunyai ketebalan sekitar 1 cm yang tidak mengganggu pengguna komputer. Ini adalah perkara normal pada kesemua monitor yang kami ulas sebelum ini maka bukanlah sesuatu yang boleh dikatakan negatif.
Tiada kamera web disertakan dan terdapat sepasang speaker stereo tetapi Prism+ tidak pula menyatakan kuasa yang digunakan. Terdapat juga bicu audio 3.5mm di bahagian belakang jika pengguna ingin menyambungkan monitor kepada sepasang speaker luaran yang lebih baik. Speaker stereo disertakan tetapi tiada maklumat mengenai output kuasa.
Penguna diberikan pilihan empat input dengan 2X HDMI 2.1, 1X DisplayPort 1.4 dan 1 USB-C. Dengan dua input HDMI 2.1, ia boleh menyokong komputer gaming berprestasi tinggi atau konsol yang menyokong 120FPS seperti PlayStation 5.
Sambungan USB-C pula membolehkan ia mengecas semula peranti yang disambung dengan kuasa 65W. Pilihan input I/O adalah amat baik untuk sebuah monitor moden. Kekurangan hanya terletak pada tiada sokongan untuk sambungan USB-A secara terbina.
Rekaan dan Perisian
Rekaan monitor ini sama dengan Prism+ PG400 sebelum ini. Apa yang kami maksudkan di sini ialah penggunaan tapak berbentuk tripod logam. Ini disambungkan pula kepada leher monitor yang boleh bergerak ke kiri/kanan, mendongak atas/bawah dan diubah ketinggiannya dengan mudah. Yang tiada hanyalah sokongan memutarkan leher bagi mengubah orientasi dari landskap ke potret.
Terdapat lubang pada leher untuk melalukan kabel kuasa, HDMI, DP dan USB-C bagi mereka yang ingin mempunyai meja kerja yang kemas. Lubang ini cukup besar untuk meletakkan lebih daripada tiga kabel.
Pergerakan leher sebenarnya adalah cukup memuaskan. Di pejabat monitor kami membelakangkan tingkap. Di waktu pagi cahaya matahari terik dan kami akan memutarkan PG320 sedikit ke kanan untuk mengelakkan silau. Apabila tengahari pula matahari tinggi di langit dan kami boleh menundukkan leher PG320 sekali lagi untuk mengelakkan silau.
Ketinggian monitor yang boleh diubah juga bagus kerana kadang kala kami meletakkan iPad di bahagian bawah monitor untuk menggunakan sebagai monitor kedua menerusi ciri Sidecar pada macOS. Bagi mereka yang memang kerap mengubah ketinggian dan sudut pandangan monitor setiap hari, PG320 menawarkan kebebasan yang cukup lengkap.
kami hanya ingin merungut mengenai tapak jenis tripod yang digunakan. Terasa kurang stabil jika dibandingkan dengan tapak rata yang besar pada monitor Samsung Smart Monitor M7 dan Predator XB1 yang kami gunakan di pejabat selama ini. Kerisauan ini bersebab kerana PG320 seberat 12.27 kilogram yang boleh dikategorikan sebagai ringan.
Tapak yang lebih luas menyebarkan berat dengan lebih sekata dan mengurangkan tekanan pada permukaan meja. Ini mungkin sebab mengapa Prism+ menawarkan beberapa cagak monitor di laman web mereka bagi pengguna yang kurang menggemari tapak jenis tripod.
Akses kepada I/O di belakang adalah sedikit sukar. Kami tidak tahu mengapa kebanyakan pengeluar monitor masih enggan menawarkan I/O pada bahagian sisi untuk memudahkan proses pemasangan kabel HDMI, DP dan USB-C. Prism+ mengeluarkan TV pintar yang memberikan akses kepada port sambungan dengan cukup baik sekali. Seperti terdapat dua mazhab mengenai akses kepada port sambungan pada sebuah TV dan monitor PC.
PG320 mengesan input dengan mudah apabila sambungan dilakukan pada lebih daripada satu peranti sekiranya mod auto dipilih. Sekiranya tidak pengguna perlu melakukan perubahan input secara manual setiap kali komputer dihidupkan. Jika lebih daripada satu sambungan dilakukan serentak, pengguna boleh memilih mod gambar-dalam-gambar (PIP). Ciri yang menarik tetapi kami rasakan tidak begitu menarik pada skrin 32″. Ciri ini dari pengalaman peribadi hanya berguna jika skrin mencecah 40″ dan ke atas.
Pada peringkat awal terdapat isu PG320 tidak boleh mengesan input HDMI pada peranti yang tidak menyokong HDMI 2.1. Ini berlaku pada Mac Mini dan Macbook Air M1 (menerusi sebuah dongel) kami yang tidak menyokong HDMI 2.1. Apabila sambungan dilakukan monitor mengatakan ia tidak mengesan sebarang input.
Isu hanya kami sedari berlaku pada komputer desktop dan komputer riba. Tiada isu dengan konsol PlayStation 5, Xbox Series X, Apple TV 4K dan Chromecast. Prism+ berkata mereka menyedari akan isu ini dan telah memberikan kemas kini firmware pada PG320 yang kami ulas untuk menyelesaikan isu ini. Kami difahamkan model yang dijual sekarang telah menerima firmware terkini. Jika anda menghadapi isu ini pasca pembelian, sila hubungi Prism+ untuk diselesaikan kerana ia adalah isu yang sudah diketahui mereka.
Maka kini tiba masanya untuk kami menyentuh mengenai perisian PG320 atau lebih spesifik lagi dengan sistem menu OSD yang digunakan. Ia mengembalikan kami kepada zaman gelap OSD monitor Viewsonic yang kami miliki di awal 2002. OSD pada PG320 adalah beberapa generasi ke belakang dengan monitor lebih moden.
Terdapat empat butang fizikal kesemuanya (lima jika butang kuasa juga dikira). Satu untuk Menu, dua butang atas/bawah dan satu butang untuk keluar. Tekan butang Menu untuk memaparkan OSD. Tekan lagi butang Menu untuk mengaktifkan pilihan sebelum menggunakan butang atas/bawah untuk menukar pilihan. Selepas itu tekan butang keluar untuk kembali satu tahap ke atas. Ini ialah sistem yang perlahan, tidak mesra pengguna dan tidak begitu intuitif.
Berbeza sungguh dengan sistem lima butang pada monitor Acer Predator dan butang multi-arah pada monitor Samsung. Keperluan untuk kembali menggunakan sistem OSD sekitar tahun 2002 pada PG320 memberikan kami PTSD kerana sepatutnya digantikan dengan sistem mesra pengguna yang lebih moden.
Kualiti Visual
OSD pada PG320 adalah sedikit retro tetapi kemampuan grafiknya adalah setanding dengan monitor gaming moden. Tiada isu untuk memaparkan permainan video pada kadar segar semula tinggi. Ia melepasi ujian HDMI 2.1 yang disertakan pada Xbox Series X dengan tiada isu menyokong mod 4K 120FPS.
Kami menguji permainan Fortnite di Series X dan Resident Evil 2 di PS5. Tiada is screen tearing atau ghosting yang dapat kami lihat. Dalam mod 60Hz pula kami menguji Command and Conquer Tiberium Twilight, Wolfenstein New Order dan Hitman 2 dan hasilnya juga cukup baik. PG320 tidak mempunyai sebarang isu memaparkan visual pada resolusi 4K yang tajam.
apabila disambungkan kepada beberapa komputer gaming yang wujud di makmal peranti Amanz. Terdapat mod untuk MOBA, FPS, dan RPG tetapi secara ikhlasnya kami tidak melihat perbezaan yang ketara antara mod-mod terbina ini. Kami lebih selesa melalukan tetapan monitor sendiri kemudiannya menyimpannya pada ciri profil peribadi yang diberikan.
Warna skrin juga adalah memuaskan untuk sebuah monitor gaming. Tiada color banding dengan imej penghasilan semula warna nampak hidup. Imej yang dipaparkan juga nampak terang, dan tajam dan majoriti situasi yang kami uji. Asalnya tidak dibelakangi matahari yang terang, kandungan pada skrin masih dapat dilihat dengan jelas.
Pada hemat kami PG320 ini adalah memuaskan untuk sebuah komputer gaming dan pada waktu yang sama cukup baik untuk digunakan untuk menonton kandungan video 4K di Netflix, YouTube dan Prime Video. Perkara negatif yang ada ialah menurut penyunting video di Amanz TV, penghasilan semula warna pada PG320 masih belum mencapai standard mereka. Tetapi ini bukan salah Prism+ kerana PG320 bukan sebuah monitor yang menjanjikan ketepatan warna yang jitu seperti sebuah Apple Pro Display XDR yang dijual pada harga RM20,000 sebuah.
Audio
Speaker yang disertakan menembak ke bawah. Prestasinya tidak memuaskan kerana terasa kecil untuk saiz monitor yang besar. Ini ialah isu yang biasa pada kesemua monitor gaming yang kami pernah ulas di Amanz. Pengeluar lebih mementingkan visual berbanding audio. Golongan gamer lebih gemar menggunakan fon kepala dan oleh sebab itu ini mereka merasakan speaker yang baik bukan suatu kepentingan.
Kami sarankan sambungan kepada speaker luaran jika audio yang baik penting untuk anda kerana speaker pada PG320 adalah kurang memuaskan. Yang membuatkan ia lebih tidak memuaskan ialah proses menukar tahap kelantangan audio sangat tidak mesra pengguna menerusi OSD terbina PG320. Seperti mana sukarnya mengubah tetapan monitor yang kami sebutkan di atas, samalah juga sukarnya mengubah tahap audio. Menu audio tersorok beberapa lapisan dan tidak dibantu dengan perisian yang agak mengelirukan.
Kesimpulan
Prism+ PG320 Ultra menawarkan pengalaman memaparkan kandungan 4K pada kadar bingkai 120FPS. Ia berfungsi dengan baik seperti yang diiklankan oleh Prism+. Pujian diberikan kepada paparan warna yang baik, imej yang tajam dan kemampuan memaparkan kandungan permainan video pada tetapan tinggi.
Monitor juga mempunyai bahagian sambungan leher yang boleh dilaraskan pada pelbagai arah yang memuaskan. Ini amatlah berguna bagi mereka yang kerap perlu mengubah kedudukan skrin untuk mendapatkan sudut pandangan yang terbaik. Pilihan I/O input yang ditawarkan juga baik memenuhi keperluan golongan gamer moden yang ingin menyambungkan sehingga EMPAT peranti serentak ke PG320 Ultra.
Namun begitu kami harus katakan menu OSD pada PG320 membuatkan kami merentas masa ke awal tahun 2002 semasa masih di kolej dan teruna. Menu OSD PG320 terlalu retro dan bukanlah yang paling mesra pengguna pernah kami gunakan. Tiada langsung USB-A untuk sambungan aksesori gaming adalah sedikit mengecewakan kerana ia standard pada monitor gaming.
Pada harga RM3599 ia jatuh ke dalam kategori harga premium. Walaupun diakui visual PG320 adalah amat memuaskan, kekurangan pada ciri tambahan seperti tiada sokongan rasmi GSYNC & FreeSync (yang perlu pada sebuah monitor gaming sebenar) dan OSD yang ketinggalan zaman membuatkan is sukar untuk disarankan kerana terdapat pilihan yang lebih baik/lengkap di luar sana.
Monitor Acer Nitro XV282K KV misalnya mempunyai skrin lebih kecil 28″ tetapi hadir dengan ciri tambahan lebih baik (USB-A & FreeSync Premium). Ace Predator X28 juga lebih murah tetapi dengan sokongan GSYNC rasmi, USB-A dan OSD lebih mesra pengguna serta dari jenama monitor gaming yang lebih terkemuka.
Pro
- Skrin 32″ 4K yang cantik, terang dan tajam.
- Pilihan input yang menarik dengan sambungan 2X HDMI 2.1, DP dan USB-C.
- Monitor mudah dilaras sudut, pusingan dan ketinggiannya.
Kontra
- Tiada sokongan rasmi AMD FreeSync dan NVIDIA G-Sync yang perlu pada monitor gaming.
- Tiada port USB-A tambahan seperti monitor gaming yang lain.
- Menu OSD yang ketinggalan zaman dan tidak mesra pengguna.