Ulasan PRISM+ PG400U Pro – Pengalaman Pro Tanpa Perlu Boros

Diterbitkan pada Mac 28, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Tahun lepas ketika PKP, saya telah menggunakan monitor Prism+ X340 dengan skrin melengkung. Ia amat membantu saya dalam kerja harian, kerana meningkatkan produktiviti dengan membolehkan kerja multi-tugasan dilakukan. Namun ia bukanlah yang terbaik untuk berhibur kerana tidak begitu memuaskan. Tahun ini pula, saya berpeluang menggunakan Prism+ PG400U – sebuah monitor dengan saiz skrin 40-inci dan jenis rata.

Ia memberikan satu pengalaman yang berbeza, bukan sahaja kerana skrin rata – tetapi kualiti paparan yang menakjubkan untuk kedua-dua hiburan dan kerja. Selepas beberapa bulan menggunakan monitor ini di pejabat hampir setiap hari, saya mendapati ia mungkin adalah antara monitor kegemaran saya setakat ini. Dengan harga yang tidak begitu gila untuk apa yang Prism+ tawarkan, monitor ini juga mungkin akan membuatkan hati anda tertarik dengannya.


Spesifikasi Dan Rekaan

Skrin40″ IPS, 3440 x 1440 piksel, 21:9
HDR, 144Hz
Sokongan Warna120% sRGB
Nisbah Kontras1200 : 1
Kecerahan350 cd/m²
Masa Tindak BalasMencapai 1 ms
Sokongan Paparan AdaptifAda
CagakVESA 75 x 75
I/O1x Display Port 1.4
2x HDMI 2.0
1x USB-C (90W)
AudioBicu Audio 3.5mm
Kamera WebTiada
HargaRM 2799

Prism+ PG400U Pro adalah monitor bersaiz 40-inci dengan resolusi UWQHD+ nisbah paparan 21:9, menyokong HDR yang didakwa adalah HDR600, menyokong kadar segar semula tinggi 144Hz dan menggunakan panel jenis IPS. Ia juga hadir dengan sokongan warna sRGB 120% untuk memaparkan waran yang terang, butiran jitu dan kecerahan yang cukup baik untuk penggunaan dalam pejabat iaitu 350 cd/m². Kontras warna pula adalah 1200:1 dan turut mempunyai perlindungan daripada cahaya biru untuk kesihatan mata pengguna serta sistem anti berkelip.

Seperti kebanyakan monitor Prism+, model ini juga tiada pembesar suara terbina, tetapi masih mempunyai port bicu audio untuk terus sambungkan pembesar suara atau set fon kepala. Untuk pilihan I/O kali ini mereka telah menyertakan sambungan USB-C dengan kuasa 90W bukan sahaja untuk mengecas komputer riba, tetapi turut menyokong sambungan untuk paparan. Sambungan lain yang ditawarkan adalah 1x DisplayPort 1.4, 2x HDMI 2.0 dan mempunyai sistem cagak VESA 75×75. Kaki pada monitor ini juga boleh membuatkan monitor diubah posisi seperti mendongak ke atas, ubah ke bawah, kiri atau kanan serta melaras ketinggian.

Wakil Prism+ Malaysia memberitahu kami yang warna pilihan sepatutnya ada putih dan hitam, namun hanya hitam ditawarkan kerana bimbang kualiti binaan warna putih tidak akan tahan lama. Di belakang monitor ini turut mempunyai lampu RGB yang tidak boleh dikawal, tetapi boleh dimatikan atau hidup dengan tetapan tersendiri terbina dalam monitor.

Rekaan Prism+ PG400U Pro ini adalah jenis bezel nipis, skrin rata yang menyeluruh, ada RGB di belakang dan keseluruhan nampak ringkas dan kemas. Binaan adalah plastik, tetapi ia tidak ringan dan agak berat dengan kaki diperbuat daripada besi yang kelihatan cukup kukuh. Ia juga tiada masalah bergoyang yang dahsyat berbanding model melengkung yang saya ulas sebelum ini.

Penggunaan

Di atas kertas, beberapa spesifikasi monitor ini dilihat lebih rendah berbanding X340. Akan tetapi kerana sokongan HDR600 dan penggunaan panel IPS, PG400U ini memberikan saya pengalaman penggunaan yang lebih memuaskan. Kadar kecerahan pun adalah lebih rendah, tetapi kerana hasil warna yang cantik dan memuaskan, ia sudah mencukupi untuk kerja-kerja harian saya.

HDR600 ini adalah piawaian tersendiri mereka, kerana ia tidak tersenarai dalam mana-mana laman web yang memberi pengiktirafan HDR. Ia masih boleh digunakan kerana apabila saya sambungkan dengan kabel USB daripada komputer riba Huawei Matebook 14s ke monitor ini, sokongan HDR boleh diaktifkan tanpa sebarang masalah. Menonton video daripada Netflix dan YouTube juga memberikan satu pengalaman yang memuaskan. Hasil warna yang cukup cantik di mata saya, butiran yang pada saya sudah memuaskan dan sepanjang penggunaan ia tidak memberikan saya sebarang impak negatif kecuali satu.

Warna hitam masih ada masalah kerana panel IPS LCD. Tetapi itu bukan masalah besar kerana sudah jangka isu ini memang akan berlaku. Dimming zone pada monitor ini juga agak baik dan tidak begitu jelas, ia hanya akan nampak jelas jika sengaja dicari.

Perkara negatif yang saya temui adalah kecerahan yang tidak begitu hebat. Apabila ada pancaran cahaya matahari masuk ke pejabat, skrin monitor ini sukar untuk dilihat. Dengan kemasan kusam pada skrin, ia menjadi seakan terus malap dari pandangan mata saya. Nisbah skrin 21:9 juga cukup lebar untuk saya guna membuka banyak perisian serentak. Paling kera yang saya gunakan adalah dua tetingkap kecil dan satu tetingkap besar. Tetapi kadangkala empat tetingkap pun saya masih rasa selesa.

Majoriti penggunaan saya dengan monitor ini adalah kerja. Antara yang saya gunakan adalah menulis artikel sambil satu tetingkap untuk rujukan dan satu tetingkap untuk video. Tetapi dengan hasil warna yang cantik ini, penggunaan Photoshop saya juga tidak memberikan beban – sebaliknya keselesaan dalam melihat dan menyunting gambar-gambar untuk skor ulasan.

Skrin yang luas ini juga amat seronok digunakan untuk bermain permainan video sama ada daripada Sony PlayStation 5 atau juga menggunakan PC. Sokongan maklum balas rendah pada monitor ini amat membantu dalam menghasilkan pergerakan yang lancar dan rancak. Dalam ujian, permainan seperti Fortnite tidak memberi sebarang kesan ghosting dan mampu menjalankan pada kadar segar semula 144Hz. Kadar segar semula tinggi hanya menyokong pada komputer sahaja kerana penggunaan DisplayPort dan pada PS5 hanya yang asas kerana sambungan HDMI 2.0 dan tidak menyokong HDMI 2.1.

Turut ada masalah yang dihadapi untuk dengan monitor ini, iaitu paparan 21:9 hanya disokong pada Windows dan dalam Windows pun video tidak boleh menjadi adaptif membuatkan paparan mempunyai bar hitam di atas dan di bawah atau kadangkala kandungan video itu berada dalam keadaan kecil di tengah-tengah ruangan hitam. Ini sedikit menjengkelkan.

Sistem tetapan pada monitor ini juga amat asas dan sukar untuk dikendalikan. Ia juga agak perlahan apabila saya ingin cuba mengubah sesuatu. Sistem tetapan ini juga kadangkala tidak berfungsi dan kadangkala berfungsi walaupun menggunakan komputer riba yang sama. Ia masih lagi jenis tetapan asas seperti produk zaman dulu.

Binaan pula walaupun lebih kurang sama dengan X340, PG400U ini terasa seakan lebih berkualiti dan lebih kukuh. Ia nampak lebih kemas dan tegap dengan kaki yang rasa lebih solid. Di atas meja saya pun saya lebih suka melihat model ini berbanding model yang melengkung. Penggunaan kaki model ini juga lebih menyeronokkan dan tidak memberikan sebarang rasa risau sama ada ia akan bermasalah.

Fungsi Menarik

Sebelum saya kongsi perkara paling menarik untuk sebuah monitor hebat berharga bawah RM3000, saya akan kongsi perkara yang menarik tetapi tidak begitu wow. Monitor ini ada lampu RGB di belakang dan bukannya satu lampu biru seperti model X340. RGB ini juga adalah jenis bergerak-gerak dan bukannya statik. Beberapa tetapan asas RGB ini boleh sahaja diakses dalam tetapan monitor, tetapi ia tidak mempunyai perisian untuk kawal terus daripada komputer.

Seterusnya adalah butang-butang kawalan di bawah monitor ini yang sedap ditekan dan tidak rasa janggal. Ia ada tekanan yang baik dan ada rasa klik yang elok. Ia tidak begitu lembut dan tidak terasa begitu murah. Seperti model X340, kaki juga masih ada lubang untuk kemasan wayar dan kabel.

Paling menarik adalah sokongan USB-C. Ia menyokong pengecasan 90W untuk kebanyakan komputer riba dengan sokongan ini. Komputer riba biasanya memerlukan minima kuasa 45W dan apa yang Prism+ tawarkan sudah boleh memberikan kuasa pengecasan pantas yang baik. Sambil itu, satu kabel ini juga sudah boleh memaparkan kandungan daripada komputer riba ke monitor dan turut boleh menyokong kadar segar semula 90Hz yang sedia disokong pada Huawei Matebook 14s yang saya gunakan. Dengan sokongan ini, pengguna MacBook juga tidak akan ada masalah menggunakan monitor ini.

Sokongan USB-C ini adalah berasaskan DisplayPort 1.4 yang mimik ciri daripada Thunderbolt 3. Kami berteori yang Prism+ menggunakan piawaian sama tetapi tidak memohon pengiktirafan agar boleh menjual monitor ini pada harga lebih murah berbanding pesaing. Tetapi jika ia boleh berfungsi dengan baik, apa salahnya?

Kesimpulan

Monitor 40-inci dengan skrin rata, resolusi 3440 x 1440 yang luas dan lebar, menyokong HDR dan 120% sRGB, ada penggunaan USB-C, boleh memaparkan kandungan dengan pergerakan pantas tanpa kesan ghosting serta mempunyai kaki yang kukuh dan boleh laras posisi monitor – PG400U ini dijual pada harga bawah RM3000. Anda boleh percaya atau tidak?

Ia adalah satu harga yang pada hemat saya amat berbaloi untuk dimiliki. Dengan harga sebenar RM2799, jika difikir kembali spesifikasi dan penawaran yang Prism+ berikan – kekurangan yang ada amat boleh diterima dan diletak ke tepi.

Selepas menggunakan Prism+ X340, saya masih ada rasa tidak puas hati dan puas saya mencari di Shopee apakah monitor bersaiz besar, skrin cantik, harga tidak begitu mahal dan mempunyai ulasan positif? Banyak yang saya temui berharga atas daripada RM3000, ada juga yang lebih mahal dan majoriti adalah saiz skrin lebih kecil. Ada pula yang tidak mempunyai port USB-C yang mana itu adalah aspek paling penting untuk diri saya. Apabila berpeluang menggunakan model ini, saya terus memanfaatkan sebaik mungkin dan berani saya katakan – untuk di antara hujung 2021 ke awal 2022 ini ia adalah yang terbaik dan paling berbaloi setakat ini.

Jika anda mempunyai bajet yang sempit, tetapi masih inginkan pengalaman terbaik untuk sebuah monitor – Prism+ PG400U Pro ini adalah pilihan yang bagus dan besar kemungkinan akan memberikan anda satu rasa kepuasan. Seperti ketua kandungan saya ulas televisyen Prism+ Q65-QE yang dikatakan adalah televisyen Android TV paling berbaloi, itulah yang saya rasakan pada monitor ini.


Pro

  • Skrin luas dan lebar meningkatkan produktiviti sepanjang hari.
  • Harga mampu milik dan sesuai dengan apa yang ditawarkan.
  • Kualiti skrin daripada aspek warna, kecerahan dan ciri adalah terbaik.
  • Panel IPS yang cukup baik dan memuaskan.
  • Kaki tersedia yang boleh laras + cagak VESA yang memudahkan.

Kontra

  • Tiada pembesar suara untuk audio asas.
  • Skrin 21:9 tidak sesuai untuk menonton video yang masih banyak 16:9 dan 18:9.
  • Sistem tetapan yang terlampau asas dan kadangkala tidak berfungsi.

komen


© Amanz / 2022 Kami