Cari @ Amanz

Hampir setahun yang lalu saya menerima PRISM+ Q65-QE untuk diulas. Waktu yang lama diambil untuk mengulas kerana jarang sekali masa diberikan untuk mengulas produk untuk jangka masa yang lama. Apa yang saya sedari ialah sejak memasuki pasaran Malaysia, PRISM+ menggunakan teknik memasarkan produk menggunakan selebriti atas talian dan media sosial untuk mendapatkan perhatian pengguna. Rata-rata mengatakan ia adalah televisyen yang bagus tetapi dijual pada harga yang teramat murah.

Sejauh manakah kebenaran testimonial yang diberikan oleh selebriti media sosial mengenai PRISM+ Q65-QE ini? Benar-benar bagus atau ada perkara yang disorok dari pandangan pengguna yang lebih arif mengenai kelengkapan audio visual? Dalam ulasan ini saya akan menyentuh kesemua perkara positif dan negatif Q65-QE supaya pembaca sendiri boleh memutuskan televisyen Android TV ini berbaloi ataupun tidak.

Spesifikasi

PRISM+ Q65-QE
Saiz Skrin 65-inci
Resolusi3840 x 2160 pixel (60Hz)
PanelQuantum IPS
Spesifikasi Cip 4X Cortex A53, 2GB RAM, 4GB ROM
Sistem OperasiAndroid TV 10
HDRYa / HDR10
Keterangan Maksimum 350 nits
Audio20W, Dolby Audio & DTS TruSurround
I/O3x HDMI 2.0 (1x ARc), 2x USB-A 2.0, RF, AV, Optical Audio
DTTVYa/DVB-T2
Pembantu MayaGoogle Assistant
InternetLAN/ WiFi 2.5GHz
BluetoothBT 5.0
ChromecastYa
AirPlay 2Tiada
Saiz1447 x 904 x 290 mm (dengan tapak)
Berat20.15 kg (dengan tapak)
Harga JualanRM 2999

Rekaan

Tiada apa yang menakjubkan mengenai rekaan PRISM+ Q65-QE kerana ia lebih mirip trend televisyen pintar yang dilancarkan empat tahun yang lalu. Bezel bersaiz sederhana dengan panel belakang yang agak besar. Astetik rekaan memang tidak dapat memandangi televisyen pintar terkini keluaran Samsung ataupun LG. Saya tahu ada di kalangan pengguna yang mementingkan rekaan terkini dengan panel TV yang lebih nipis dari sebuah televisyen pintar. Tetapi saya bukan dari golongan mereka yang mementingkan estetik.

Memang rekaan tidak terkini tetapi Q65-QE bukanlah televisyen yang buruk. Dengan kata rekaan yang tidak terkini ialah isu kecil apabila televisyen dijual pada harga bawah RM3000. Sama seperti di Amanz kami tidak mengenakan penalti kepada rekaan skrin telefon pintar kelas pertengahan.

Skrin sebesar 65″ Q65-QE dengan resolusi 4K ialah dari keluarga Quantum IPS yang agak besar apabila diletakkan di ruang tamu kondominium yang bersaiz sederhana. Terdapat dua kaki besi yang perlu diskru di bahagian bawah sekiranya televisyen ingin diletakkan di atas permukaan meja. Kaki adalah cuba besar bagi memastikan televisyen stabil di atas meja.

Saya cukup suka dengan rekaan kaki Q65-QE kerana ia memberikan ruang yang luas serta berketinggian 77mm untuk meletakkan set kotak TV satelit, pemain DVD dan sebuah konsol PlayStation 4. Dengan TV besar memakan ruang lateral meja yang besar, hanya ruang bawah TV boleh digunakan untuk meletakkan kelengkapan lain yang diperlukan. Jika anda mempunyai konsol PlayStation 5 atau Xbox Series, konsol hanya boleh diletakkan di tepi kerana kedua-dua kosong terlalu tinggi untuk diletakkan di bawah TV.

Jika anda ingin menggantung TV, terdapat juga lubang untuk cagak standard VESA 400×200 mm. Pastikan cagak digerudi dengan betul ke dinding kerana Q65-QE bukanlah TV yang ringan kerana mencecah 19.9 kilogram.

Pilihan I/O adalah baik dengan 3X HDMI 2.0 yang salah satunya menyokong HDMI ARC. Ketiga-tiganya juga hadir dengan sokongan HDMI-CEC yang mengesan input dari peranti yang disambung untuk menghidupkan LSP7T secara automatik. Ini dipadankan dengan 2X USB-A 2.0, RJ45 LAN, AV in, output audio optikal dan sambungan RF. Bagi yang memerlukan televisyen digital, dekoder terbina disertakan tetapi model tidak pula disenaraikan.

Kesemua I/O diletakkan pada bahagian kiri televisyen dengan kesemua port sambungan menghala ke sisi. Ini amat memudahkan sambungan pelbagai kabel dan aksesori apabila televisyen digantung. Port sambungan kuasa pula terletak di sebelah kanan dengan kabel yang mempunyai lengkok 90 darjah sekali lagi bagi memudahkan proses menggantung TV.

Sokongan Internet pula adalah menerusi LAN atau WiFi 2.4GHz. Adalah lebih baik jika adanya sokongan 5GHz untuk penstriman kandungan 4K dengan kadar bit tinggi tetapi PRISM+ belum bersedia memberikannya. Pelbagai aksesori lain boleh disambung dengan tambatan bluetooth 5.0.

Android TV 10

Q65-QE masih menggunakan Android TV 10 dengan tampalan sekuriti sehingga September 2021. Ini bukanlah perkara negatif kerana dongal Chromecast With Google TV yang saya gunakan di rumah juga masih menggunakan Android TV 10 dengan tampalan sekuriti sehingga Oktober 2021. Sejak menggunakan Q65-QE selama sembilan bulan, TV telah dikemaskini sebanyak tiga kali konsisten setiap tiga bulan. Oleh itu mereka yang ingin memiliki Q65-QE tidak perlu risau mengenai komitmen PRISM+ untuk mengemaskini televisyen pintar mereka. Sungguhpun begitu antaramuka yang digunakan masih lagi Android TV dan bukannya Google TV.

Android TV 10 berfungsi dengan agak lancar pada Q65-QE walaupun ia sekadar dilengkapi cip 4x Cortex-A53, GPU Mali-G52, memori sebesar 2GB RAM dan storan sebesar 4GB. Spesifikasi TV adalah agak sederhana keran Chromecast With Google TV mempunyai spesifikasi lebih tinggi dengan cip 4X Cortex-A55. Tetapi seperti yang saya katakan tadi TV masih berfungsi dengan agak lancar cuma animasi kadang kala kurang lancar apabila melakukan tatalan kandungan dengan pantas. Ini adalah isu pada kesemua TV pintar kelas pertengahan yang pernah saya ulas di Amanz seperti Realme Smart TV. Hanya TV kelas mercu seperti siri Samsung QLED sahaja isu tidak berlaku ni kerana penggunaan cip yang lebih berkuasa lengkap dengan enjin pemprosesan imej tersendiri.

Dari segi prestasi boleh saya katakan Q65-QE adalah jauh lebih lancar berbanding Mi TV Q1 yang diulas oleh Amanz pada Oktober 2021 kerana tidak mempunyai sebagai perisian gendut. Cukup menakjubkan kerana harga jualan Mi TV Q1 adalah lebih dua kali ganda lebih mahal berbanding Q65-QE.

Kelebihan Android TV ialah terdapat ribuan aplikasi yang boleh dimuat turun kerana TV berfungsi seperti sebuah telefon pintar dengan skrin besar tanpa skrin sesentuh. Sokongan aplikasi juga adalah amat baik dengan Netflix, Prime Video, Disney+ Hotstar, HBO GO, Liongate Play, iQiyi, iFlix dan banyak lagi boleh dimuat turun tanpa sebarang masalah.

Dengan sistem operasi Android, terdapat juga sokongan Chromecast terbina yang amat berguna untuk menyiarkan kandungan dari telefon/tablet/komputer pada Q65-QE. Tetapi ini satu-satunya sistem yang disokong. Mahukan AirPlay 2? Malang sekali Android TV 10 belum mahu menyokong sistem milik Apple pada waktu ini.

Selepas aplikasi penstriman dipasang, antaramuka Android TV akan sentiasa memberikan saranan kandungan yang menarik untuk ditonton terus dari skrin utama. Saya tahu ada yang menggemari sistem ini kerana kandungan boleh dilihat setempat tanpa aplikasi dibuka satu persatu. Tetapi saya merasakan ia agak merimaskan kerana puluhan thumbnail memenuhi skrin utama. Saya lebih selesa dengan aplikasi JustWatch untuk mencari kandungan yang ingin ditonton dan atas sebab yang sama lebih selesa dengan antaramuka Tizen pada televisyen pintar Samsung.

Tambah mengecewakan ialah Android TV 10 masih tidak menyokong profil untuk pengguna berbeza. Di dalam rumah dengan tiga orang, berkongsi satu profil untuk semua adalah menyusahkan. Aplikasi YouTube Android 10 juga tidak menyokong profil pengguna berbeza tidak seperti di Tizen. Jadi Android TV 10 ialah sistem operasi yang bagus untuk pilihan aplikasi dan mudah digunakan seperti telefon Android tetapi mempunyai isu kurang mesra pengguna.

Seperkara lagi port USB-A 2.0 yang digunakan boleh membaca pemacu USB atau cakera keras yang diformat menggunakan FAT32 dan NTFS sahaja. Jika anda menggunakan format lain seperti APFS untuk Mac misalnya, storan luaran ini tidak boleh dibaca oleh Android TV 10.

Baik ataupun tidak Android 10 TV adalah bergantung kepada pilihan peribadi pengguna. Saya sebagai pengguna telefon Android proses mempelajari antaramuka Android 10 TV amat mudah cuma sedikit semak mata memandang pada skrin perumah.

Alat Kawalan Jauh

Bukan rekaan televisyen Q65-QE sahaja yang sedikit ketinggalan tetapi perkara yang sama dapat dilihat pada alat kawalan jauh yang mempunyai puluhan butang. Trend semasa ialah alat kawalan jauh yang lebih minimalis dan kemas. Sekilas pandang alat kawalan jauh Q65-QE adalah mirip alat kawalan jauh Astro satu generasi yang lalu. Tubuhnya juga agak berkotak yang diperbuat sepenuhnya dari bahan plastik dengan butang pula dari bahan bergetah lembut.

Sungguhpun begitu ia amat mudah digunakan kerana ikonografi dan label yang terang. Selepas hampir setahun digunakan, kesemua label masih lagi utuh tanpa sebarang petanda ia akan tertanggal atau terhakis. Aplikasi penting YouTube, Netflix, PrimeVideo dan GooglePlay mempunyai butang pintasan pantasnya tersendiri. Bagi yang suka menggunakan arahan suara, butang untuk Google Assistant juga dipaparkan dengan jelas serta besar. Butang lain yang diberikan ialah mengawal video, butang nombor untuk saluran TV, dan laras suara. Setiap butang yang diberikan terasa selesa apabila ditekan.

Alat kawalan jauh adalah bersaiz agak besar dan panjang. Saya melihat ini dari sudut positif kerana apabila ianya bersaiz besar lebih sukar untuk hilang di atas sofa. Sumber bekalan kuasa ialah dua bateri bersaiz AAA yang sejak April lalu saya tidak pernah sekalipun perlu menukarnya. Cukup tahan lama.

Penggunaan Dan Kualiti Visual

Penggunaan adalah sama seperti sebuah telefon Android. Kali pertama ia dihidupkan pengguna perlu log masuk akaun Google perbadi. Proses adalah mudah dan pantas sekiranya anda mempunyai sebuah telefon Android. Tatalan pada skrin Q65-QE adalah agak lancar cuma kadang kala tersekat apabila melakukan percubaan menatal dengan terlalu pantas. Tiada sebarang isu yang teruk kami hadapi selepas lebih 8 bulan menggunakannya di rumah.

Kualiti visual pula bagaimana? Adakah benar hebat seperti testimonial yang dapat dibaca di laman rasmi PRISM+? Jawapannya ialah tidak kerana Q65-QE masih lagi menggunakan panel IPS LCD. Warna hitam kelihatan agak kekelabuan, warna tidak begitu hidup dan skrin sekadar menyokong kadar segar semula 60Hz.

Ada sebab mengapa panel TV televisyen pintar sudah mula menggunakan panel OLED atau QLED kerana ia mampu menawarkan lebih banyak warna, ketepatan warna lebih baik dan kadar segar semula lebih tinggi. Dalam situasi yang terang, visual pada Q65-QE masih boleh dilihat dengan jelas. Beberapa pratetapan Vivid, Standard, Sport, User dan Movie diberikan sekiranya pengguna inginkan profil visual berbeza.

Saya lebih selesa menggunakan tetapan User kerana boleh mengubah sendiri kesemua tetapan visual secara manual. Mod Movie misalnya terlalu kekuningan yang mempunyai profil warna seakan TruTone pada iPhone. Tetapan Vivid mungkin akan menjadi pilihan kebanyakan pengguna kerana ia meningkatkan keterangan dan saturasi warna skrin.

Panel IPS juga memerlukan pengguna duduk betul-betul di hadapan skrin untuk paparan warna paling tepat. Boleh dilihat sedikit colour shifting apabila bergerak di luar satah. Tetapi dengan skrin 65″, saya merasakan colour shifting tidak akan menjadi isu yang terlalu ketara.

Apabila menonton kandungan pada resolusi natif 4K, kesemuanya nampak terang, tajam, hidup dan bermaya. Ini dapat dilihat apabila memainkan video Netflix, YouTube dan Apple TV. Masih amat memuaskan walaupun pada panel LCD.

Saya cuma kurang berpuas hati dengan kualiti HDR yang harus saya katakan tidak cukup terang. HDR sebenar tidak boleh dinikmati dengan skrin yang hanya boleh menawarkan keterangan maksimum 350 nits. Ini sebenarnya adalah keterangan standard TV SDR biasa. Di kalangan peminat audio visual, keterangan puncak sekurang-kurangnya 600 cd/m² diperlukan untuk melihat perbezaan antara skrin SDR dan HDR.

Pada Samsung Q950TS yang saya ulas sebelum ini, skrin QLED televisyen ini boleh mencecah keterangan puncak melebihi 3000 nits dan keterangan berterusan melebihi 1000 nits. Memang dapat dilihat dengan jelas kesan HDR apabila menggunakan TV ini. Pengalaman yang sama tidak dapat dilihat pada Q65-QE.

Selain tidak memberikan pengalaman HDR yang sebenar, isu juga dapat dilihat sekiranya menonton kandungan yang tidak natif 4K. Ini dapat dilihat dengan ketara apabila menstrim kandungan HBO GO (yang tiada langsung kandungan 4K) dan majoriti kandungan Disney+ Hotstar. Apabila kandungan 1080P dipaparkan pada skrin 4K sebesar 65″, kesemua cela akan dapat dilihat.

Contoh paling teruk ialah apabila saya menonton kartun X-Men dari Disney+ Hotstar yang sekadar upacale dari sumber asal beresolusi SDR. Satu lagi contoh visual sadis ialah Terminator: Dark Fate juga di Disney+ Hotstar. Gambar mempunyai kesan noise yang sangat teruk ditambah lagi dengan colour banding yang teramat ketara.

Pada televisyen yang lebih premium, cip kecerdasan buatan akan melakukan upscaling video secara masa nyata. Q65-QE tidak dilengkapi sebarang cip kecerdasan buatan oleh itu jika sumber visual adalah berkualiti rendah, anda terpaksa bersabar sahaja dengan apa yang terpapar pada skrin. Dengan kata lain skrin Q65-QE adalah memuaskan jika anda menonton kandungan 4K natif tetapi mengecewakan jika sumber adalah beresolusi rendah.

Gaming

Prestasi skrin untuk gaming adalah memuaskan tetapi tidak menakjubkan. Tanpa HDMI 2.1, televisyen tidak menyokong kadar segar semula 120Hz atau VRR. Ciri premium NVIDIA GSYNC dan AMD FreeSync juga tidak disertakan. Dalam permainan yang beraksi pantas, dapat dilihat kesan ghosting kerana skrin tidak cukup pantas. Skrin Q65-QE adalah memuaskan untuk permainan yang tidak mempunyai aksi pantas. Walaupun disambungkan pada konsol 1080P seperti PlayStation 4, imej yang dipaparkan masih lagi memuaskan. Pada PlayStation 5, visual juga memuaskan selagi tidak memaparkan aksi pantas.

Kualiti Audio

Speaker 20W menyokong audio Dolby Audio dan DTS TruSurround. Pada tetapan tertinggi bunyi yang dilontarkan speaker adalah amat lantang jika saya bandingkan dengan televisyen lain yang pernah diulas. Pada tetapan 50% sekalipun sudah cukup menggegarkan koklea telinga. Komen saya hanyalah malang sekali tiada sokongan Dolby Atmos tetapi inilah hakikatnya dengan televisyen yang lebih mampu milik.

Sekiranya sistem audio Dolby Atmos dipasang sekaligus, ia tidak disokong kerana Q65-QE tidak mempunyai port HDMI eARC yang diperlukan untuk menyokong format ini. Kualiti audio adalah memuaskan tetapi akan menjadi lebih baik jika sekurang-kurangnya output Dolby Atmos disokong. Mungkin PRISM+ boleh menyertakannya pada model baharu mereka kelak.

Kesimpulan

Pada harga RM2999 sebuah, PRISM+ Q65-QE adalah antara televisyen pintar Android TV 4K yang mampu milik di pasaran. Untuk harga yang ditawarkan kualiti visual panel adalah memuaskan dengan imej 4K yang tajam mampu dipaparkan. Sistem operasi yang digunakan adalah cukup lancar untuk kegunaan biasa dengan pilihan aplikasi yang amat baik. Jika anda seorang pengguna Android, proses mempelajari antaramuka Android TV 10 adalah mudah. Kemampuan audio juga baik dengan kelantangan maksimum yang cukup tinggi.

Pilihan I/O juga memuaskan dengan 3x HDMI, 1x AV dan 2x USB-A 2.0. Mencukupi untuk keperluan pelbagai aksesori AV dan konsol yang mungkin pengguna miliki di rumah. Alat kawalan jauhnya juga mempunyai butang pintasan aplikasi penting tersedia serta mudah difahami.

Tetapi wujud beberapa isu yang perlu diketengahkan. Panel LED ialah teknologi yang agak berusia dan tidak mampu menawarkan kualiti visual yang terbaik. Dengan keterangan maksimum 350 nits, pengalaman HDR sebenar tidak tercapai. Tanpa cip khas untuk melakukan proses upscaling, kandungan yang tidak natif 4K akan kelihatan pecah sehingga membuatkan sukar untuk menontonnya.

Bagi pencinta audio pula, tiada HDMI eARC juga menyebabkan audio Dolby Atmos tidak boleh digunakan sungguhpun dengan sebuah sistem audio yang menyokongnya.

Adakah PRISM+ Q65-QE baik ataupun buruk? Analogi yang saya ingin gunakan ialah dalam dunia yang sempurna semua orang menggunakan televisyen pintar 4K QLED 120Hz 1000 nits dengan cip kecerdasan buatan serta sistem audio Dolby Atmos. Tetapi dunia tidak sempurna dan kadang kala pengalaman penggunaan yang memuaskan sahaja sudah mencukupi untuk majoriti pengguna. Sama seperti tidak semua orang mampu membeli iPhone 13 Pro Max dan sebuah Xiaomi 11T Pro sudah lebih dari memadai.

Dalam situasi ini, PRISM+ Q65-QE ialah sama seperti sebuah telefon Xiaomi – Bukan sebuah televisyen premium paling lengkap tetapi adalah paling berbaloi untuk kebanyakan pengguna.

Pro

  • Skrin 4K yang tajam dengan keterangan yang memuaskan.
  • Menggunakan versi terkini Android TV dengan kemas kini yang kerap.
  • Ruang bawah TV yang tinggi untuk konsol, kotak TV dan pemain DVD.
  • Pilihan I/O yang baik.
  • Sokongan aplikasi yang amat baik.
  • Speaker yang amat lantang.
  • Harga mampu milik.

Kontra

  • Skrin tidak cukup terang untuk paparan kandungan HDR sebenar.
  • Bukan Android TV paling lancar dan pantas. Lebih perlahan daripada Chromecast with Google TV.
  • Tiada sokongan output eARC maka tidak menyokong Dolby Atmos.
  • Alat kawalan jauh dengan rekaan lama yang tidak minimalis.
  • Tiada AirPlay 2.
© 2023 Amanz Media Sdn Bhd