Cari @ Amanz

TV semakin besar dan pada waktu yang sama harganya meningkat secara kadar terus. Di Malaysia terdapat banyak televisyen pintar di pasaran dengan pelbagai sistem operasi dan juga teknologi skrin. Sebagai pengguna, ini boleh menimbulkan pelbagai kekeliruan serta pada waktu yang sama menyukarkan proses memilih. Biasanya mengikut logik televisyen yang paling mahal akan mempunyai ciri yang paling baik dan kualiti yang paling tinggi.

Tetapi logik ini mula dicabar sejak kemasukan jenama Prism+ di Malaysia sejak tahun lalu. Mereka mampu menawarkan televisyen pintar dengan saiz skrin besar lengkap dengan ciri-ciri utama yang dimahukan pengguna pada harga yang jauh lebih murah. Selepas mengulas Prism+ Q65-QE tahun lalu komen utama kami ialah ia tidak menyokong Dolby Atmos ataupun Dolby Vision – dua ciri yang dianggap perlu bagi kaki audio visual di Malaysia.

Prism+ Q86 Pro QE kemudiannya ditawarkan di Malaysia dengan skrin yang jauh lebih besar tetapi akhirnya hadir dengan Dolby Vision dan Dolby Atmos tetapi sekali lagi pada harga yang jauh lebih murah berbanding televisyen lain di pasaran. Apa rahsianya? Apa kekurangannya? Ulasan ini akan menjawab persoalan anda.

Spesifikasi

Prism+ Q86 Pro QE
Saiz Skrin 86-inci
Resolusi3840 x 2160 pixel (60Hz)
PanelQuantum IPS
Pemproses Cip 4X Cortex A53
GPUMali-G52
RAM2GB RAM
Storan32GB
Sistem OperasiAndroid TV 10
HDRYa / Dolby Atmos
Keterangan Maksimum 490 nits
Audio20W, Dolby Atmos & DTS TruSurround
I/O3x HDMI 2.0 (1x ARc), 2x USB-A 2.0, RF, AV, Optical Audio
DTTVYa/DVB-T2
Pembantu MayaGoogle Assistant
InternetLAN/ WiFi 2.4/5GHz
BluetoothBT 5.0
ChromecastYa
AirPlay 2Tiada
Saiz1921 x 1106 x 435 mm (dengan tapak)
Berat44.65kg (dengan tapak)
Harga JualanRM 8999

Rekaan

Prism+ Q86 Pro QE ialah sebuah Q65-QE yang dibesarkan. Kesemua rekaan pada televisyen lebih besar ini sama dengan model yang lebih kecil. Tubuh plastik sepenuhnya dengan bezel yang hanya sederhana tebal. Dari segi estetik ia jauh panggang dari api jika ingin dibandingkan dengan televisyen Samsung dan Sony kelas premium di pasaran Malaysia. Satu perbandingan yang mungkin boleh dikatakan tidak adil kerana harga jualan televisyen ini ialah RM8999 sahaja dan bukannya puluhan ribu seperti pesaingnya.

Kualiti bahan binaan secara lazimnya menjadi korban pertama untuk menjadikan sesuatu produk itu mampu milik dan ini jelas taktik yang digunakan oleh Prism+ pada produk mereka. Adalah ini strategi yang salah? Bergantung kepada anda. Jika anda bertanya kepada kami pengalaman penggunaan yang lebih baik berbanding tubuh yang diperbuat daripada bahan logam premium.

Skrin sebesar 86″ dengan resolusi 4K ialah dari keluarga Quantum IPS sebenarnya amatlah besar untuk kebanyakan rumah. Sebelum unit ulasan dihantar kepada kami, soalan yang ditanya oleh pihak Prism+ ialah saiz lif di pejabat. Kotaknya sahaja panjangnya melebihi 2m dengan ketinggian pula sekitar 1.2 meter. Jika anda berminat untuk membeli TV ini pastikan ada ruang cukup besar di ruang tamu. Bagi mereka yang duduk di apartmen atau kondominium pula pastikan lif kargo bangunan cukup besar.

Terdapat dua kaki besi yang perlu diskru di bahagian bawah sekiranya televisyen ingin diletakkan di atas permukaan meja. Kaki adalah cuba besar dan lebar untuk memastikan kestabilan TV yang amatlah besar ini. Berapa besar? Saiz TV adalah 1921 x 1106 x 435 mm dengan berat pula sekitar 45 kilogram. Memang tak mampu untuk mengusung atau memasangnya seorang diri. Ini juga menyebabkan meja TV yang kami gunakan di rumah tidak boleh digunakan lagi kerana terlalu kecil.

Ruang antara kaki dan bahagian bawah TV ialah setinggi 109mm yang cukup besar untuk meletakkan soundbar, PlayStation 4, decoder Astro Ultra Box, modem Internet, Apple TV 4K dan Mac Mini. Sungguhpun begitu masih tidak ada cukup ruang untuk sebuah PlayStation 5 dan Xbox Series X yang umum kita ketahui terlalu tebal dan perlu diletakkan di sisi TV. Dengan televisyen ini memakan ruang yang cukup besar di atas meja, ruang di bawahnya adalah penting untuk meletakkan peralatan audio visual yang lain di rumah.

Bagi yang lebih gemar menggantung TV, terdapat cagak VESA standard di bahagian belakang dengan Prism+ turut menjual dua pilihan cagak dinding yang boleh dibeli secara pakej lengkap. Harus kami akui dengan saiznya yang besar dan berat, sedikit menakutkan untuk meletakkannya di atas meja TV kerana risau dipanjat anak saudara yang datang melawat.

Pilihan I/O adalah baik dengan 3X HDMI 2.0 yang salah satunya menyokong HDMI ARC. Ketiga-tiganya juga hadir dengan sokongan HDMI-CEC yang mengesan input dari peranti yang disambung untuk menghidupkan LSP7T secara automatik. Ini dipadankan dengan 2X USB-A 2.0, RJ45 LAN, AV in, output audio optikal dan sambungan RF. Bagi yang memerlukan televisyen digital DTTV, dekoder terbina disertakan tetapi model tidak pula disenaraikan di laman Prism+.

Kesemua I/O diletakkan pada bahagian kiri televisyen dengan kesemua port sambungan menghala ke sisi. Ini amat memudahkan sambungan pelbagai kabel dan aksesori apabila televisyen digantung. Port sambungan kuasa pula terletak di sebelah kanan dengan kabel yang mempunyai lengkok 90 darjah sekali lagi bagi memudahkan proses menggantung TV.

Sokongan Internet pula adalah menerusi LAN atau WiFi 2.4/5GHz. Ini satu lagi penambahbaikan yang diberikan Prism+ kerana sebelum ini TV mereka hanya menyokong sambungan WiFi 5 GHz. Keperluan sambungan Internet yang pantas adalah perlu kerana pada saiz 86″, menstrim kandungan 4K sepanjang masa sudah menjadi sesuatu yang perlu dan bukan lagi pilihan. Pelbagai aksesori lain boleh disambung dengan tambatan bluetooth 5.0.

Android TV 10

Sistem Android TV 10 digunakan tetapi tanpa sokongan antaramuka Google TV yang lebih menarik. Sokongan antaramuka baharu ini masih lagi terhad dan Prism+ masih belum menerimanya. Sunguhpun begitu sistem operasi ini masih menyokong pelbagai jenis aplikasi dan amat mudah digunakan khususnya jika anda memang seorang pengguna peranti pintar Android. Mahukan Netflix, Disney+ Hotstar, Prime Video, HBO GO, iQiyi dan pelbagai lagi platform penstriman utama? Tidak perlu risau kerana Play Store ekosistem Android adalah cukup lengkap.

Yang sedikit merisaukan bagi kami ialah tampalan sekuriti Android TV 10 pada unit yang diulas masih tersekat pada Julai 2021. Hampir setahun tidak dikemaskini menimbulkan sedikit perasaan paranoid kerana setiap bulan ada sahaja kerentanan pada sistem operasi Android yang boleh mendedahkan data peribadi anda dicuri oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Android TV 10 agak lancar 4x Cortex-A53, GPU Mali-G52, memori 2GB RAM dan storan 32GB (hanya 25GB boleh digunakan). Macam pernah nampak spesifikasi ini tetapi di mana ya? Oh ini ialah cip yang sama seperti yang digunakan pada Q65-QE. Seperti yang kami katakan pada ulasan TV tersebut cip yang digunakan adalah sederhana sahaja kerana tidak setanding dengan cip Chromecast with Google TV yang dilengkapi 4x Cortex A55.

Pada Q65-QE kami menyedari kadang kala antaramuka TV tersekat-sekat khususnya selepas melancarkan aplikasi berat seperti Apple TV. TV mengambil masa beberapa saat untuk berfungsi dengan lancar. RAM yang hanya sebesar sahaja tidak membantu melancarkan operasi dengan pantas. Insiden televisyen tersekat-sekat jarang berlaku tetapi masih lebih kerap jika ingin dibandingkan dengan Q65-QE.

Tetapi kerana ia masih tidak berlaku sepanjang masa (entah kenapa ia kerap berlaku apabila menggunakan Apple TV dan Prime Video) kami masih boleh menerima prestasi TV ini. Boleh dimaafkan tetapi di belakang kelancaran Chromecast with Google TV dan televisyen QLED Samsung yang kami pernah ulas di makmal Amanz. Ia masih jauh lebih baik berbanding prestasi Mi TV Q1 tahun lalu yang kami rasakan lebih tragis berbanding sebuah telefon pintar kelas permulaan dengan cip MediaTek Helio G90.

Dari segi prestasi boleh saya katakan Q65-QE adalah jauh lebih lancar berbanding Mi TV Q1 yang diulas oleh Amanz pada Oktober 2021 kerana tidak mempunyai sebagai perisian gendut. Cukup menakjubkan kerana harga jualan Mi TV Q1 adalah lebih dua kali ganda lebih mahal berbanding Q65-QE.

Bagi pemilik telefon pintar, sokongan ekosistem Google juga baik. Anda boleh menyiarkan kandungan dari telefon ke TV dengan menekan butang Chromecast dalam aplikasi. Proses menjadi lebih mudah jika anda memuat turun aplikasi Google TV yang menukar telefon Android dan iOS menjadi alat kawalan jauh. Kalau hilang alat kawalan jauh sekalipun tidak ada masalah sekarang.

Android TV ini bagus tetapi juga tidak menyokong AirPlay 2 bagi mereka yang menggunakan ekosistem Apple. Ini bukan salah Prism+ kerana Google masih tiada perancangan menyokong AirPlay 2 dalam masa terdekat.

Apa lagi yang tidak disokong? Format fail APFS yang digunakan oleh Mac. Jika anda seperti saya memformat pemacu USB dan storan cakera keras HDD dalam format APFS kandungan yang disimpan tidak boleh dibaca. Android TV 10 hanya boleh membaca format FAT32 dan NTFS sahaja. Kami sedari ini ialah masalah pengguna dunia pertama kerana ekosistem Apple ini terkenal dengan pelbagai cabaran serta isu apabila ingin digunakan pada ekosistem berbeza.

Alat Kawalan Jauh

Alat kawalan jauh yang sama seperti Q65-QE digunapakai. Alat kawalan jauh ini berkotak, diperbuat daripada plastik dengan terdapat puluhan butang kawalan diperbuat daripada getah. Terdapat singkatan untuk aplikasi utama Netflix, Prime Video, YouTube dan Google Play diletakkan di tenga-tengah. Butang navigasi empat hala diletakkan di atas dengan alat kawalan video diletakkan di bawah.

Konfigurasi butang adalah mudah difahami dan butangnya juga lembut. Jari anda tidak akan terasa sakit semasa meneka butang. Butang khas untuk menyeru Google Assistant juga diberikan sekali dan ianya cukup responsif mendengar arahan suara yang diberikan.

Rekaan alat kawalan jauh ini sedikit ketinggalan zaman. Ia seakan alat kawalan jauh dari awal 2010an sedangkan di pasaran sekarang penggunaan alat kawalan jauh yang lebih kemas, kecil dan universal digunakan oleh jenama lain. Seperti kami katakan di atas, jika anda kurang gemar dengan rekaan alat kawalan jauh ini muat turun sahaja aplikasi Google TV kerana ia lebih minimalistik. Sumber kuasa alat kawalan jauh ialah dua bateri AAA.

Penggunaan Dan Kualiti Visual

Kualiti visual adalah perkara yang paling penting semasa melakukan pemilihan sebuah televisyen pintar. Dengan panel Quantum IPS, keupayaan Q86 Pro QE adalah terhad kepada kemampuan teknologi skrin IPD LCD.

Kita mulakan dengan kekuatan. Skrin terang dan mampu memaparkan warna yang cantik khususnya kandungan Dolby Vision. Tiada isu colour banding yang ketara dengan majoriti kandungan beresolusi tinggi dapat kami nikmati tanpa sebarang isu. Dengan keterangan maksimum 490 nits, ianya hanya sekitar separuh keterangan maksimum sebuah skrin OLED.

Dari segi keterangan memang Q86 Pro QE tidak akan mengalahkan mana-mana TV OLED, QLED dan mini LED di pasaran sekarang. Maka harapan anda dengan skrin Q86 Pro QE haruslah adil kerana sekali lagi ia sekadar panel LCD.

Apabila kandungan Dolby Vision dimainkan, logo akan terpapar pada bucu atas kiri sebagai pengesahan. Kemudiannya menerusi butang menu di alat kawalan jauh, pengguna boleh memilih profil Dolby Vision gelap, standard dan Vivid. Ketiga-tiganya memberikan penekanan berbeza pada warna dan keterangan video di skrin.

Jika kandungan hanya sekadar menyokong format HDR biasa, ia masih disokong tetapi berbeza dengan mod Dolby Vision. Secara peribadi kami merasakan mod HDR Dolby Vision adalah yang kelihatan lebih cantik dan dinamik. Kandungan Apple TV yang menyokong Dolby Vision nampak berbeza apabila dimainkan pada Q86 Pro QE berbanding TV lain yang kami pernah ulas.

Visual amat memuaskan apabila kandungan 4K natif dimainkan kerana ianya tajam dan terang. Isu hanya wujud apabila kandungan yang sekadar HD sahaja dimainkan. Kandungan Disney+ Hotstar banyak adalah sekadar kandungan SD yang dinaikkan resolusi ke FHD menggunakan perisian. Lihat sahaja kualiti Scrubs, Malcolm in The Middle, Desperate Housewives dan kesemua siri dari awal 2000an di platform ini. Apabila dimainkan pada skrin Q867 Pro QE ia amat kurang memuaskan. Yang pecah semakin pecah dan yang warna kurang bermaya, kekurangannya semakin jelas kelihatan pada skrin sebesar 86″.

Tidak seperti pada televisyen yang lebih premium, Q86 Pro QE tidak hadir dengan cip pemprosesan imej tersendiri yang boleh meningkatkan kualiti video yang rendah untuk kelihatan lebih baik pada skrin. Pada televisyen lebih premium Samsung, LG dan Sony, cip pemproses imej yang digunakan dapat membantu menaikkan kualiti video. Ia masih tidak begitu sempurna tetapi sekurang-kurangnya ada untuk membuatkan mata tidak terseksa.

Ini ialah kekurangan televisyen bersaiz besar yang menjadi sebab mengapa TV 8K mula dipasarkan di pasaran. Kepadatan pixel 4K pada skrin 86″ tidak begitu memuaskan dan kekurangan pada visual sumber akan digandakan. Sama seperti menggunakan kanta pembesar pada skrin telefon anda sekarang. Kami bernasib baik kerana melanggan kepada Netflix 4K. Kandungan FHD Netflix yang dimainkan pada TV sini hanya akan kelihatan ok sekiranya dilihat pada jarak 5 kaki dan ke atas.

Gaming

Prestasi skrin untuk gaming adalah memuaskan tetapi tidak menakjubkan. Tanpa HDMI 2.1, televisyen tidak menyokong kadar segar semula 120Hz atau VRR. Ciri premium NVIDIA GSYNC dan AMD FreeSync juga tidak disertakan. Dalam permainan yang beraksi pantas, dapat dilihat kesan ghosting kerana skrin tidak cukup pantas. Skrin Q86 Pro QE adalah memuaskan untuk permainan yang tidak mempunyai aksi pantas. Walaupun disambungkan pada konsol 1080P seperti PlayStation 4, imej yang dipaparkan masih lagi memuaskan. Pada PlayStation 5, visual juga memuaskan selagi tidak memaparkan aksi pantas.

Kualiti Audio

Dua speaker dengan output 20W menyokong Dolby Atmos dan DTS TruSurround. Kualiti audio yang dikeluarkan adalah sekadar sederhana sahaja kerana dengan output 20W ia adalah hanya sedikit lebih baik berbanding sebuah speaker bluetooth kompak yang kami gunakan di dapur. Memang TV menyokong Dolby Atmos tetapi malang sekali dengan hanya dua speaker pengalaman sebenar Atmos tidak dapat dirasakan. Tiada speaker menembak ke atas yang diperlukan Atmos untuk memberikan audio 360 darjah yang menyeluruh.

Terdapat Optical Out dan HMDI ARC jika anda ingin melakukan sambungan kepada sistem audio yang lebih berkuasa. Maka dengan penjimatan yang telah dilakukan pada harga TV, sebuah sistem audio Dolby Atmos boleh dibeli dan disambungkan kepada Q86 untuk menikmati audio yang lebih berkuasa berbanding speaker terbina pada TV.

Kesimpulan

Prism+ Q86 Pro QE ialah televisyen skrin besar bagi mereka yang lebih mementingkan saiz skrin dan penjimatan wang berbanding prestasi audio visual terbaik di pasaran. Dengan panel Quantum IPS, skrin televisyen ini memang tidak mampu menawarkan visual sebaik panel QLED. Tetapi visual yang boleh dipaparkan tidaklah sampah. Malahan adalah memuaskan lebih-lebih lagi apabila menonton kandungan Dolby Vision.

Jika ditonton pada jarak sekitar 5 kaki, kami tidak merasakan wujud cela pada kandungan video yang ditonton. Pemproses yang digunakan cukup berkuasa untuk menstrim kandungan video 4K HDR 60 FPS tanpa sebarang masalah.

Kelemahan terletak pada sistem audio yang kurang berkuasa. Tetapi ini adalah perkara yang normal pada majoriti TV di pasaran kerana pengeluar mahukan anda membeli sekali sistem audio. Dengan penjimatan harga TV, anda boleh menggunakan wang lebih untuk membeli sebuah sistem speaker Dolby Atmos berasingan yang boleh menawarkan audio yang lebih baik.

Pendek kata Prism+ Q86 Pro QE ialah sebuah Q65 QE dengan beberapa penambahbaikan pada saiz skrin, keterangan skrin, audio dan sokongan HDR. Pada harga RM8999 ia masih sebuah televisyen yang baik untuk orang kebanyakan yang tidak mahu berbelanja lebih untuk sebuah TV gergasi. TV pesaing dengan spesifikasi setanding dijual pada harga puluhan ribu.

Pro

  • Skrin yang cukup besar untuk memberikan pengalaman seperti wujud wayang di rumah.
  • Kualiti visual yang memuaskan untuk sebuah TV LCD.
  • Sokongan Dolby Vision HDR.
  • Sokongan audio Dolby Atmos.
  • Android TV 10 menawarkan pelbagai aplikasi tanpa masalah.
  • Pilihan I/O yang memuaskan.
  • Harga yang amat mampu milik.

Kontra

  • Skrin tidak cukup terang untuk paparan kandungan HDR sebenar.
  • Speaker terbina tidak cukup berkuasa untuk pengalaman Dolby Atmos sebenar.
  • Tiada AirPlay 2.
  • Audio tidak cukup untuk pengalaman Atmos sebenar.
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd