Meta Quest Pro Dilancarkan Dengan Keupayaan Penjejakan Mata Dan Wajah

Diterbitkan pada Okt 12, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Set kepala AR Meta Quest 2 Pro telah dilancarkan di acara Meta Connect semalam. Seperti yang diuar-uarkan sebelum ini, ini ialah set kepala mercu dengan kemampuan grafik AR dan penjejakan yang lebih baik berbanding Quest 2 sebelum ini.

Quest Pro dilengkapi cip Qualcomm Snapdragon XR2+ yang menurut Meta memberikan 50% lebih banyak kuasa memproses berbanding Quest 2. Ini dipadakan pula degan memori 12GB RAM, dan storan 256GB. Terdapat 10 sensor disertakan – lima di bahagian dalam dan lima lagi di bahagian luar. Skrin yang digunakan masih lagi dari jenis LCD tetapi dengan sudut pandangan yang lebih luas.

Dengan sensor ini Quest Pro mampu melakukan penjejakan mata dan juga wajah pemakai. Ini membolehkan avatar pengguna Horizon Worlds memaparkan memek muka yang tepat dengan ekspresi wajah sebenar pemakai.

Sistem kamera yang digunakan kali ini akan membolehkan pengalaman realiti terimbuh (AR) yang lebih realistik dan berwarna. Ini adalah ciri yang turut disokong pada set kepala PICO 4 yang dilancarkan sebelum ini. Ciri ini membolehkan Quest Pro digunakan sebagai seta AR dan juga VR secara serentak.

Turut diperkenalkan ialah alat kawalan Meta Quest Touch Pro yang mempunyai tahap penjejakan yang baik dengan kedudukannya akan dikesan secara 360 darjah sepanjang masa. Sokongan haptik TruTouch Haptics membolehkan dunia maya “dipegang” dengan lebih realistik.

Meta Quest Pro dijual pada harga $1,499.99 (~RM4900) sepasang lengkap dengan alat kawalan Meta Quest Touch Pro. Turut ditawarkan ialah aksesori bekas membawa Quest Pro, penghalang cahaya matahari, dok pengecas kompak, dan fon kepala Quest Pro VR.

[Sumber] Sumber – Meta [/sumber]

komen


© Amanz / 2022 Kami