Beberapa bulan lalu; Google, Apple dan Microsoft mengumumkan yang mereka akan menyertakan sokongan piawaian FIDO Alliance pada produk-produk mereka untuk dunia tanpa kata laluan. Kini Google nampaknya sudah memulakan penawaran ciri ini untuk peranti Android dan juga Chrome.
Ciri ini dinamakan sebagai Passkey dan ia tidak boleh dipancing, digunakan semula, tertiris di pelayan serta boleh melindungi pengguna daripada apa jua serangan. Ia adalah pengganti kepada kata laluan dan satu alternatif yang lebih selamat.
Dengan passkey ini, pengguna boleh menciptanya melalui peranti Android dan akan diselarikan melalui Google Password Manager yang dijamin mempunyai sekuriti ketat. Pembangun turut boleh menyertakan sokongan passkey pada laman web atau aplikasi dengan WebAuthn API.
Cara mendaftar passkey juga adalah mudah, pengguna hanya perlu mengesahkan akaun Google yang ingin digunakan dan kemudian lakukan pengesahan dengan imbasan cap jari, kata laluan atau imbasan wajah. Untuk menggunakannya pula hanya pilih akaun yang telah didaftarkan dan lakukan pengesahan dengan imbasan tadi.
Selain daripada Android dan aplikasi, passkey turut akan menyokong pada pelayar web Chrome. Pengguna boleh menggunakan passkey yang disimpan dalam peranti Android atau iOS untuk log masuk ke laman web yang menyokongnya. Passkey turut sudah diaktifkan pada Safari di Mac dan disebabkan ia adalah ciri yang menggunakan piawaian FIDO Alliance, ia turut boleh digunakan pada macOS, iOS, ChromeOS dan Windows untuk memudahkan semua pengguna dengan jaminan keselamatan.