Beberapa bulan lalu, Instagram memperkenalkan ciri pengesahan usia pengguna menggunakan kecerdasan buatan dengan kerjasama Yoti. Ini adalah bagi menjamin keselamatan pengguna bawah umur yang sentiasa terancam dengan pelbagai kes antun seksual yang pernah dilaporkan.
Ciri ini kini dilancarkan di Brazil dan di India, kerana menurut laporan Sensor Tower oleh TechCrunch, di dua negara ini terdapat lebih 400 juta pengguna Instagram yang aktif setiap bulan. Kemudian ciri ini turut diperkenalkan kerana semakin ramai pengguna berusia bawah 13 tahun menggunakan platform mereka.
Dengan mewajibkan semua pengguna mengisi tarikh lahir, ia turut tidak dapat dielak kerana ramai boleh menipu – jadi pengesahan usia menggunakan kecerdasan ini adalah jalan penyelesaian baharu. Bukan itu sahaja, ciri Social Vouching iaitu mendapatkan pengesahan umur dari pihak tiga rakan turut ditamatkan. Kini hanya dengan memuat naik gambar kad pengenalan diri atau dokumen pengenalan diri dan menggunakan Yoti sahaja dibolehkan.
Instagram turut mengehadkan penggunaan platform mereka kepada pengguna bawah 16 tahun dengan menjadikan akaun mereka peribadi secara lalai, menghalang ciri DM daripada pengguna dewasa dan menghentikan paparan iklan berdasarkan corak pengguna bawah usia.