Cari @ Amanz

Sejak Amazfit menggunakan Zepp OS pada jam Amazfit GTR 3 Pro, mereka mula menawarkan jam tangan pintar sebenar selepas selama ini sekadar menawarkan jam tangan pintar asas. Antara ciri yang diperkenalkan ialah gedung aplikasi tersendiri, pembantu digital tersendiri, skrin OLED , kemampuan menjawab panggilan telefon dan banyak lagi.

Kini mereka hadir dengan Amazfit GTR 4 dengan ia mula dijual di Malaysia pada 5 Oktober yang lalu.


Spesifikasi Dan Rekaan

Amazfit GTR 4
Sistem OperasiZepp OS
Paparan1.43″, AMOLED, 466×466 pixel
Kaca tertempa
Pemproses?
RAM?
Muatan Dalaman2.3 GB
Bateri475 mAh
SIM / TelefoniTiada/Ya
SensorPengimbas Nadi, Barometer, SPO2, Kitaran haid, Penjejakan tidur
NFCTiada
Sistem operasi disokongAndroid 7.0 ke atas
iOS 12.0 ke atas
Tahap Ketahanan 5 ATM
Saiz46 x 46 x 10.6 mm / 34 gram
WarnaSuperspeed Black
Vintage Brown Leather
Racetrack Grey 
Harga JualanRM829

Amazfit GTR 4 hadir dengan skrin 1.43-inci AMOLED 466 x 466 (326 ppi), yang menyokong mod Always-On Display (AOD). Ia adalah jam yang menggunakan Zepp OS seperti GTR 3. Terdapat tombol berputar pada sisi kanan tubuh. Ia bergetar seperti pada Apple Watch tetapi pada hemat saya sistem haptik tidak begitu kuat jika dibandingkan dengan produk Apple. Sebuah lagi butang fizikal turut diletakkan pada sisi kanan untuk digunakan sebagai akses pantas kepada beberapa aplikasi.

Terdapat sebuah speaker dan mikrofon untuk melakukan panggilan telefon, mendengar notifikasi dan memberikan arahan suara kepada pembantu maya. Baterinya pula berkapasiti 475mAh yang boleh bertahan sehingga 14 hari dengan penggunaan biasa atau sehingga 52 hari dengan mod penjimatan bateri tanpa GPS.

Antara sensor yang disertakan adalah BioTracker 4.0 PPG untuk mengesan kepekatan oksigen dalam darah, sensor geomagnetik, barometer, altimeter dan banyak lagi. Ciri standard sokongan GPS, WiFi 2.4GHz dan Bluetooth 5.0 BLE turut diberikan.

Jam ini diperbuat daripada aluminium dengan plastik berkilat pada panel bawah. Ia hadir dengan pilihan warna Superspeed Black (tali jam fluoroelastomer), Vintage Brown Leather (tali jam kulit) atau Racetrack Grey (tali jam nilon).

Dalam imej promosi yang diletakkan di laman web mereka, kemasan jam kelihatan mewah serta premium. Tetapi realitinya ia kelihatan seperti jam plastik yang murah apabila berada di depan mata. Ini kerana kemasan pada tubuh yang tidak berkilat. Isu indah promosi dari rupa ini adalah perkara yang lazim berlaku pada produk Amazfit. Tali jam fluoroelastomer yang nampak bergaya seakan tali jam Sport Loop Apple Watch. Seperti tubuh, tali jam ini tidak secantik Apple dengan permukaan yang lebih kasar.

Walaupun nampak seperti sebuah jam tangan permainan, ia masih lagi mempunyai kemampuan kalis air sehingga boleh dibawa menyelam ke tahap tekanan 5 ATM atau sehingga kedalaman 50 meter.

Pengalaman Penggunaan

Amazfit GTR 4 memberikan pengalaman penggunaan yang agak memuaskan. Pertama sekali ialah antaramuka Zepp OS yang nampak lebih segar berbanding versi pada Amazfit GTR 3 Pro sebelum ini. Ia lebih ringkas, mudah difahami dan mesra pengguna. Banyak bahagian dalam tetapan telah dikumpulkan mengikut kategori agar ia lebih mudah untuk diakses. Saya tidak perlu membaca manual terlebih dahulu untuk menggunakan jam tangan ini kerana semuanya mudah diagak dibantu oleh ikon-ikon yang jelas.

Antaramuka yang digunakan dikatakan adalah versi tersendiri, tetapi elemen RTOS masih dapat dilihat. Terdapat ciri menarik menyematkan widget kegemaran bagi mengelakkan skrin kelihatan bersemak. Ini adalah antara ciri yang paling menarik minat saya pada Zepp OS.

Saya turut menggemari kemampuan sensor jam ini yang cukup baik dalam pemantauan aktiviti harian seperti berdiri, berjalan atau ketika melakukan senaman ringan. Sensor juga dapat membaca menjejak data dengan tepat. Misalnya bacaan nadi yang dicatatkan sama seperti bacaan Apple Watch Series 7 yang sama gunakan pada waktu yang sama. Perkara yang sama turut berlaku pada bacaan kadar oksigen dalam darah.

Saya turut menyedari pemantauan tidur pada jam ini memberikan maklumat yang saya inginkan dengan baik. Aplikasi Zepp mengesan bilakah saya sedang dalam fasa Deep Sleep, Light Speed, REM dan mengesan jika saya terbangun di tengah malam. Skor kualiti tidur akan diberikan dalam skala 1-100 dengan lebih tinggi bermakna tidur saya lebih berkualiti.

Sebagai eksperimen, saya memakai Apple Watch Series 7 dan Amazfit GTR 4 secara serentak selama beberapa hari untuk melihat sekiranya wujud perbezaan data. Terdapat perbezaan tetapi pada julat yang kecil sehingga boleh dikatakan tidak begitu ketara.

Walaupun mempunyai sokongan GPS aneh sekali jam tidak mempunyai aplikasi pemetaan terbina. Tiada aplikasi peta untuk navigasi. Tetapi peta hanya boleh diakses pada aplikasi dalam telefon pintar sahaja untuk melihat data larian. Apple baru-baru ini telah menambah ciri back trace bagi mengesan pergerakan lalu yang memanfaatkan GPS jam, agak menarik jika Amazfit dapat tawarkan ciri seperti ini.

Tambahan lagi mengenai kemampuan aktiviti, GTR 4 cukup hebat dalam mengesan sebarang senaman yang saya lakukan walaupun saya lupa melancarkan mod sukan. Misalnya ketika saya berjalan pada jarak jauh atau berlari kerana lambat tiba ke sesuatu tempat, GTR 4 akan terus mengaktifkan mod berjalan atau berlari. Bukan itu sahaja, ia turut mempunyai “pelatih” yang memberitahu adakah saya sedang berjalan dan jika saya berhenti seketika ia turut memberitahu adakah saya sudah selesai melakukan aktiviti dan akan membacakan keputusan kalori terbakar, jumlah tapak dan status kecergasan diri.

Saya sedari ciri ini adalah sama ketika saya menggunakan Apple Watch Series 7 semasa menunaikan ibadah Umrah beberapa bulan lalu. Apple Watch mampu mengaktifkan mod sukan secara automatik. Akan tetapi pada GTR 4, mod ini terlalu sensitif sehinggakan berjalan kurang 500 meter pun ia mencadangkan kepada saya sama ada ingin aktifkan mod sukan ataupun tidak. Disebabkan “pelatih” ini tidak cukup pintar, bateri pada jam mudah habis.

Seperti sebelum ini, aplikasi Zepp untuk melakukan sambungan kepada telefon pintar dan pelbagai kawalan tambahan. Ia masih menggunakan antaramuka yang lebih kurang sama dengan Xiaomi Fitness. Jadi untuk saya yang sudah biasa dengan peranti boleh pakai Xiaomi, aplikasi ini tidak rasa janggal untuk digunakan.

Cuma sayang sekali, aplikasi ini masih berserabut dengan cards yang bersepah di skrin sehingga menyakitkan mata saya kurang selesa melihatnya . Saya lebih selesa dengan aplikasi seperti Google Fit atau juga Mobvoi yang lebih kemas.

Perkara paling mengecewakan kali ini adalah kualiti skrin tidak lagi sebaik Amazfit GTR 3 Pro yang lebih terang, jelas dan nampak lebih premium. Terasa wujud penurunan taraf teknologi skrin pada GTR 4. Tombol berputar haptiknya pula ia agak sensitif dan mudah bergerak walaupun tersentuh secara tidak sengaja membuatkan tangan saya yang besar ini rasa geli setiap kali getaran berlaku.

Jam ini juga agak ringan dan rasa murah. Benar, ini bukan model Pro dan tidak pasti jika versi Pro akan dijual nanti. Cuma dengan harga jualan yang menghampiri RM800 membuatkan saya ingin sesuatu yang lebih daripada apa yang Amazfit tawarkan.

Memakai jam ini seakan memakai jam tangan pintar asas Realme atau Xiaomi sahaja dengan beza hanya pada kemampuan sensor. Tambahan lagi, ciri arahan suara melalui pembantu digital tersendiri yang saya amat suka gunakan pada Wear OS dan watchOS tidak boleh digunakan pada Zepp OS dengan baik kerana ia tidak cukup lancar (versi tersendiri) dan akses kepada Amazon Alexa yang tidak disokong secara rasmi tidak Malaysia.

Bateri

Seperti Amazfit GTR 3 Pro sebelum ini, ketahanan bateri adalah sekitar 4 hari sahaja. Ini adalah dengan penggunaan ekstrem seperti menjawab panggilan telefon, notifikasi tanpa henti, sensor sentiasa aktif dan memakainya ketika tidur. Berbanding pesaing GTR 4 mempunyai ketahanan yang cukup baik berbanding, misalnya Apple Watch SE hanya boleh bertahan sehingga 2 hari sahaja.

Jika saya ubah cara penggunaan saya, seperti tutup notifikasi tidak penting, mematikan bacaan sensor 24 jam, atau kurang menjawab panggilan telefon melalui jam saya yakin tiada masalah untuk bateri bertahan sehingga seminggu. Jika kesemua mod pintar dimatikan dan sekadar mod jam digunakan, GTR 4 boleh bertahan sehingga 50 hari menurut Amazfit.

Kami tidak sempat untuk menguji kebenarannya kerana merasakan adalah tidak masuk akal menggunakan sebuah jam angan pintar sebagai jam tangan biasa sahaja. Lebih baik membeli sebuah Casio G-Shock yang lebih murah sahaja yang lebih tahan lasak dan bateri tahan bertahun.

Pengecasan jam ini masih lagi jenis magnetik dengan kabel tersendiri tanpa ada sokongan pengecasan nirwayar. Ia turut tidak menyokong pengecasan pantas dan mengambil masa sekitar dua jam untuk dicas sepenuhnya.

Dalam Kotak

Berikut adalah apa yang diterima dengan setiap pembelian Amazfit GTR 4 di Malaysia.

  • 1x Amazfit GTR 4.
  • 1x Tali jam (siap dipasang).
  • 1x Kabel pengecas USB-A ke magnet
  • 1x Manual.

Kesimpulan

Amazfit GTR 4 tidak dinafikan adalah seutas jam tangan pintar yang cukup baik. Skrin yang rata dengan sentuhan yang lancar serta cantik dan terang. Mempunyai speaker untuk penggera dan notifikasi yang cukup lantang, boleh menjawab dan melakukan panggilan telefon dengan audio yang jelas dan prestasi yang pantas dengan kemampuan sensor setaraf dengan Apple Watch. Harga jualan juga sudah lebih murah berbanding tahun lepas, ini mungkin kerana tiada lagi model Pro. Namun begitu pengorbanan berlaku pada kualiti binaan yang terasa semakin murah.

Walaupun jam ini baik, harga jualan RM829 menjadikannya agak mahal pada saya. Harga jualan ini adalah mahal kerana Apple Watch Series 6 yang mempunyai lebih banyak ciri termasuk ECG boleh dibeli pada harga yang setanding.

Tetapi jika anda inginkan jam dengan kemampuan sensor yang baik, Amazfit GTR 4 adalah alternatif yang masih mampu milik berbanding Garmin, Suunto dan lain-lain yang dijual pada harga lebih RM1000.


Pro

  • Prestasi yang lancar dan pantas.
  • Antaramuka yang lebih mudah digunakan.
  • Tombol berputar dengan kesan haptik.
  • Pemantauan data dan penjejakan yang setaraf Apple Watch.
  • Hayat bateri yang panjang.

Kontra

  • Aplikasi Zepp OS yang kurang kemas.
  • Pembantu digital sukar mendengar arahan suara.
  • Binaan tidak lagi premium seperti GTR 3 Pro.
  • Harga jualan yang agak mahal berbanding jam pesaing yang lebih hebat.
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd