Cari @ Amanz

OnePlus tidak asing dengan memberi nama telefon pintar mereka secara tidak konsisten. Mereka mula hanya dengan nombor seperti OnePlus One, OnePlus Two, kemudian hadir dengan siri T, Nord, siri N, ada siri Ace, berhenti dengan nama T pada siri OnePlus 9 dan menggantikannya dengan nama R kemudian dikembalikan melalui OnePlus 10T.

Terkini peranti mercu OnePlus yang seterusnya dikatakan adalah OnePlus 11. Peranti ini akan menjadi peranti utama mereka dan tiada lagi versi Pro yang biasa digunakan. Agak aneh strategi mereka, misalnya tahun ini tiada OnePlus 10, hanya ada Pro dan T sahaja tetapi tidak lama lagi akan ada hanya OnePlus 11.

OnePlus 11 dikatakan akan mempunyai spesifikasi seperti sebuah peranti Pro mereka, tetapi tidak akan menggunakan nama Pro. Peranti ini dijangka akan dilancarkan pada suku pertama tahun 2023 dan tidak pasti jika akan ada model lain seperti “Pro” atau “T”.

Jika ini benar, OnePlus 11 mungkin akan hadir dengan skrin Fluid AMOLED LTPO 120Hz, dijana cip Snapdragon 8 Gen 2, kamera Hasselblad, kuasa pengecasan lebih 100W SuperVOOC, memori mencapai 16GB RAM dan kembalinya suis lungsur.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd