Redmagic 7s Pro adalah peranti gaming baharu Redmagic yang dilancarkan pada Julai kepas. Kini selepas tiga bulan, peranti ini rasmi dilancarkan di Malaysia. Skrin peranti ini adalah 6.8-inci FHD+ AMOLED dengan kadar segar semula 120Hz dan kadar sentuhan 960Hz. Skrin peranti juga adalah jenis nirbingkai penuh tanpa takuk atau lubang dengan kamera di bawah skrin. Peranti dijana dengan cip pemprosesan Snapdragon 8+ Gen 1 yang dipadankan dengan memori sehingga 18GB RAM LPDDR5 dan storan dalaman mencapai 512GB UFS 3.1.

Kamera peranti ini menggunakan konfigurasi tri-lensa daripada sensor 64+8+2 Megapixel. Kamera swafoto bawah skrin tadi adalah 16MP. Peranti ini menjalankan sistem operasi RedMagic OS 5.5 berasaskan Android 12. Redmagic 7s Pro turut dilengkapi dengan port bicu audio 3.5mm untuk pengguna menikmati permua dengan lebih imersif.
Redmagic turut menjamin yang peranti mereka boleh berkongsi fail sehingga 30% lebih pantas dan boleh meningkatkan prestasi sehingga 10% dengan teknologi RAM Boost. Redmgaic turut menyertakan cip tersendiri Red Core 1 untuk mengendalikan ciri gaming seperti audio dan haptik.

Redmagic 7s Pro turut menggunakan sistem penyejukan tersendiri iaitu REDMAGIC ICE 10.0 Multi-dimensional Cooling System yang dilengkapi dengan kipas penyejuk RGB yang berpusing pada kadar 20,000 RPM. Bateri peranti ini adalah 5000mAh dengan kuasa pengecasan 65W. Peranti ini turut dilengkapi dengan sokongan REDMAGIC Studio untuk menyambungkan peranti ke monitor atau TV dan mengawalnya dengan papan kekunci atau tetikus.


Seperti kebanyakan peranti gaming lain, Redmagic 7s Pro turut mempunyai hab permua tersendiri iaitu Game Space yang mempunyai pelbagai kawalan bagi memastikan permua sentiasa berjalan dengan lancar. Tidak lupa juga yang Redmagic turut menyertakan butang bahu sentuhan dengan kadar 520Hz.

Redmagic 7S Pro di Malaysia dengan pilihan warna Mercury iaitu warna perak dengan panel lutsinar yang menampakkan corak, rekaan dan kipas RGB di bawahnya, kemudian adalah Supernova iaitu warna hitam yang juga dengan panel lutsinar dan akhir sekali adalah warna Obsidian iaitu hitam yang tiada panel lutsinar. Variasi yang ditawarkan adalah 12/256 GB pada harga (Obsidian sahaja) RM3,999 dan untuk 18/512 GB (Mercury/Supernova) pula dijual pada harga RM4,999.

Jualan akan bermula pada 29 Oktober akan datang. Untuk promosi awal pelancaran, hadiah bernilai RM489 akan diberikan iaitu gelang tangan pintar heyplus 1s Band dan tambahan jaminan untuk satu tahun.