Samsung Dilaporkan Sedang Membangunkan Cincin Pintar Dengan Pengimbas Nadi Dan Sensor ECG

Diterbitkan pada Okt 18, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Samsung tidak asing dengan pelbagai produk peranti boleh pakai seperti jam tangan pintar Galaxy Watch5 atau gelang tangan pintar Galaxy Fit2. Terkini, Samsung dilaporkan sedang membangunkan cincin pintar pula dengan ciri sama seperti gelang tangan pintar, iaitu untuk memantau kecergasan dan kesihatan pengguna.

Samsung dikatakan sudah pun mendaftar paten untuk cincin pintar kepada USPTO (United States Patent and Trademark Office). Cincin ini akan mempunyai pengimbas nadi optikal dan mempunyai sensor untuk ECG. Cincin ini turut didakwa boleh digunakan untuk mengawal telefon pintar, tablet atau televisyen mereka sebagai satu produk untuk ekosistem SmartThings.

Samsung kini sedang mencari pelbagai firma yang boleh membekalkan sensor, modul dan bahan-bahan untuk membangunkan cincin pintar ini. Cincin ini dikatakan akan menjadi pengganti kepada gelang tangan pintar, kerana ia akan mempunyai ketahanan bateri yang lebih lama disebabkan tiada skrin serta lebih bergaya dan mudah untuk dipakai.

Ini bukan kali pertama Samsung dilaporkan ingin hadir dengan cincin pintar. Pada tahun 2015, mereka pernah memfailkan paten untuk produk lebih kurang sama – tetapi lebih kepada sebagai alat kawalan jauh sahaja.

komen


© Amanz / 2022 Kami