Rekod kelajuan pemindahan data dunia dipecahkan sekali lagi minggu ini selepas penyelidik dari Technical University of Denmark (DTU) dan Chalmers University of Technology berjaya menghantar data pada kadar 1.84 petabit/s (Pbps). Ini adalah jauh lebih pantas berbanding trafik internet global yang pada waktu ini adalah 0.997 Pbps (997 Tbps). Ia juga hampir dua kali ganda lebih pantas berbanding rekod terdahulu 1 Pbps yang dicatatkan National Institute of Information and Communications Technology (NICT) pada Jun lalu.
Data dihantar menerusi 223 saluran gelombang dari satu sumber cahaya menerusi kabel gentian optik 37 teras sepanjang 7.9 kilometer. Pada sistem lain lebih 1000 sumber cahaya diperlukan untuk menghantar data pada kelajuan yang sama. Ia turut menggunakan hanya satu cip sahaja untuk berfungsi. Oleh sebab menurut penyelidik sistem yang sama berpotensi memindahkan data sehingga 100 Pbps dengan menambah sumber cahaya, cip dan gentian optik di masa hadapan.